YouTuber Jepun Agih Nasi Lemak Di Hong Kong Untuk Sambut Bulan Ramadan
Tak sangka pula nasi lemak yang dibuat dan diagihkan oleh pasangan YouTuber dari Jepun ini mendapat perhatian rakyat Malaysia di Hong Kong.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!
Boleh dikatakan kebanyakan rakyat Malaysia memang bangga dengan makanan tempatan kita seperti roti canai, sate, rendang, nasi lemak dan macam-macam lagi.
Bila makanan tempatan kita dikagumi ramai oleh masyarakat bukan Malaysia, kita pun tumpang bangga kerana ianya seolah-olah menjadi salah satu identiti yang membuatkan orang luar mengenali negara kita.
Makanan itu ibarat jiwa terutamanya kepada rakyat Malaysia yang menghargai budaya serta warisan tradisional. Sebab itulah ada segelintir yang ‘naik angin‘ sekiranya ada golongan cuba merendahkan nilai tradisi tempatan.
Agih nasi lemak dimasak sendiri
Namun siapa sangka makanan tempatan kita juga digemari dan dikagumi oleh masyarakat antarabangsa di luar negara?
Baru-baru ini, seorang YouTuber dikenali sebagai iChang RM dan pasangannya Jimmy dilihat menghargai makanan Malaysia iaitu nasi lemak selepas mereka baik hati untuk mengagihkan makanan tersebut kepada rakyat Hong Kong di kawasan perumahan mereka sekitar Ma Wan.
Pasangan YouTuber dari Jepun ini berbuat demikian bersempena dengan sambutan bulan Ramadan yang sedang diraikan selama satu bulan oleh masyarakat beragama Islam.
Difahamkan pasangan ini memang menggemari makanan dari Malaysia dan mengambil keputusan untuk membuat sendiri ‘Nasi Lemak Bungkus’ daripada proses menanak nasi sehingga membungkusnya ke dalam daun pisang.
Makanan Malaysia tarik perhatian ramai
Pengagihan itu dikongsikan menerusi komuniti di laman Facebook dan telah menarik ramai rakyat Malaysia dan masyarakat tempatan hadir ke rumah mereka untuk mengambil bungkusan nasi lemak tersebut.
Tak sangka pula ramai juga orang Malaysia di kawasan tersebut dan tinjauan menerusi video berkenaan mendapati kebanyakannya berasal dari Ipoh, Perak.
Kesemua 13 bungkus nasi lemak itu habis diberikan dalam tempoh 20 minit sahaja. Wow!
Sebelum ini, pasangan YouTuber dengan jumlah 273,000 orang pengikut pernah membuat sendiri pelbagai jenis kuih-muih masyarakat Melayu seperti tepung pelita, keria serta kuih cara dan memberinya secara percuma kepada penduduk di kawasan perumahan di Hong Kong.
Walaupun pasangan ini bukan warganegara Malaysia, tetapi cara mereka menghargai makanan tempatan sangat mengagumkan.
Bangga kami jadi rakyat Malaysia!
Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.