Now Reading
Pelajar Universiti Terlepas Penerbangan Balik Ke KL Gara-gara Tersalah Tengok Waktu Sistem 24 Jam

Pelajar Universiti Terlepas Penerbangan Balik Ke KL Gara-gara Tersalah Tengok Waktu Sistem 24 Jam

Pelajar universiti itu tidak mengetahui sama ada masa pada tiket menunjukkan penerbangan awal pagi atau petang kerana tidak tertera waktu siang atau malam.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sesetengah masyarakat berpendapat bahawa golongan muda zaman sekarang ini kurang berkemahiran untuk membaca jam analog oleh kerana kebergantungan mereka terhadap jam digital.

Ini boleh dilihat apabila segelintir daripada mereka agak keliru untuk menentukan masa mengikut format 24 jam atau berdasarkan waktu yang diamalkan oleh tentera.

Dalam kes yang berlaku baru-baru ini, seorang pelajar wanita dipercayai terlepas untuk menaiki pesawat penerbangan kerana keliru dengan waktu penerbangan pada tiket.

Menerusi hantaran dimuat naik di laman Facebook, wanita berkenaan terlepas penerbangan dari Sandakan ke Kuala Lumpur kerana tidak pasti sama ada waktu tertera pada tiket adalah awal pagi atau petang.

Difahamkan, tiket penerbangan itu menunjukkan waktu pelepasan mengikut format 24 jam iaitu pada 01:15.

Bagi mereka yang sudah biasa menaiki kapal terbang, masa 01:15 itu menunjukkan waktu pagi manakala 1:15 tengah hari pula akan ditulis sebagai 13:15.


Rupanya Ramai Juga Yang Hadapi Situasi Sama

Keperitan yang dilalui itu menjadi semakin pahit apabila mengenangkan tiket penerbangan yang bernilai RM500 itu hangus begitu sahaja.

Abang kepada pelajar itu berkata tambang penerbangan untuk pulang ke Kuala Lumpur agak mahal dan adiknya terpaksa mengambil cuti tambahan dari universiti kerana kejadian yang berlaku.

Pada awalnya, lelaki ini menyangka hanya adiknya sahaja yang berdepan situasi tersebut. Rupa-rupanya ada juga individu lain yang terlepas penerbangan kerana dipercayai tidak mahir membaca waktu mengikut format 24 jam.

Susulan itu, lelaki berkenaan menasihati orang ramai untuk menyemak jadual penerbangan terlebih dahulu bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku.


Netizen Pelik Bagaimana Kejadian Itu Boleh Berlaku

Netizen terkejut dan tertanya-tanya bagaimana situasi tersebut boleh berlaku.

Seorang netizen berkata bahawa pengguna boleh memilih waktu penerbangan sambil membeli tiket dan keliru mengapa wanita muda itu tidak mengetahui masa penerbangannya.

Sekiranya tiket itu dibeli oleh pihak ketiga, netizen berpendapat wanita berkenaan sepatutnya menyemak terlebih dahulu dengan pihak terbabit dan bukannya menunggu sehingga waktu penerbangan berlalu begitu sahaja.

Bahkan, ada yang mendakwa sistem 24 jam turut digunakan oleh syarikat penerbangan yang lain.

Namun ada juga yang menganggap ia pelik bagi syarikat penerbangan tersebut untuk mempunyai penerbangan awal pagi dari Sandakan ke Kuala Lumpur.

Walau bagaimanapun, sesetengah netizen juga mengakui bahawa mereka turut menghadapi masalah untuk membaca waktu mengikut format 24 jam dan terlepas penerbangan mereka.

Sumber: Facebook

Panduan Untuk Baca Waktu Mengikut Sistem 24 Jam

Membaca jam analog memerlukan sedikit latihan terutamanya bagi kanak-kanak yang mula belajar membaca dan mentafsir nombor.

Walau bagaimanapun, mereka yang mempunyai masalah pembelajaran seperti disleksia akan mengalami sedikit kesukaran untuk membaca jam ini.

Cara paling mudah adalah dengan mengingati bahawa 0 bermula pada tengah malam dan membawa maksudnya 1 hingga 12 adalah 1 pagi hingga 12 tengah hari.

Apabila nombor mula menyebut 13, ia menunjukkan masa bergerak dari tengah hari ke malam. Apa yang anda perlu lakukan adalah dengan menolak 12 untuk mengetahui tempoh waktu.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd