[Video] Ini Rupanya Cara Untuk Hilangkan Gam Pada Bulu Kucing. Take Note!
Satu video yang tular di TikTok milik seorang ‘cat groomer’, Anas Abu Amsyar, menunjukkan dia membersihkan seekor kucing yang telah terkena gam tikus.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pemilik kucing mesti dah kenal sangat dengan perangai nakal sesetengah anak bulusnya. Mungkin ada yang suka sepahkan mainan, cakar sofa, gigit langsir dan macam-macam lagilah!
Untuk kucing yang sering keluar rumah pula, tak pelik kalau mereka balik dalam keadaan yang kotor. Kadangkala sampai bulu jadi basah, kehitam-hitaman, atau berminyak.
Jika bulu tak terlalu kotor, boleh sahaja dibersihkan sendiri. Namun kalau kotoran degil yang sukar dihilangkan, selalunya lebih senang kalau kucing dihantar ke ‘cat groomer’.
‘Cat Groomer’ Hilangkan Gam Pada Badan Kucing
Baru-baru ini seorang pemilik ‘cat groomer’, Anas Abu Amsyar telah berkongsi di TikTok tentang seekor kucing yang dibersihkan olehnya.
Menurutnya, kucing tersebut yang merupakan kucing jalanan sebelum ini, telah terkena gam tikus di seluruh badannya sehingga ke kepala.

Anas berkata tuan kucing tersebut telah cuba menghilangkan gam dari bulu kucing itu menggunakan minyak dan air, tetapi tidak berjaya.
Oleh itu, ia telah dihantar ke pusat penjagaan kucing miliknya, Kaka Cat House, untuk dibersihkan.
Menerusi video dimuat naik Anas, dia berkongsi cara-cara untuk menghilangkan minyak pada bulu kucing. Terus jadi cantik semula bulu kucing itu lepas dimandikan!
Cara-Cara Hilangkan Gam Pada Bulu Kucing
Mula-mula, lumurkan minyak masak pada badan kucing sambil menggosok-gosok di tempat terdapatnya gam.
Ini agar gam menjadi ‘cair’ dan dapat ditanggalkan tanpa menyakiti kucing itu. Gunakan sikat kucing, seeloknya jenis ‘butter comb’, untuk buang gam tersebut.

Kemudian, taburkan tepung jagung ke seluruh badan kucing. Fungsi tepung jagung adalah bagi menyerap minyak yang diletakkan pada bulu kucing tadi. Jika tiada tepung, boleh juga gunakan bedak bayi.
Biarkan tepung atau bedak antara lima hingga 10 minit supaya minyak dapat diserap. Buangkan tepung dari bulu kucing menggunakan berus.

Gunakan ‘pet de-greaser’ jika ada untuk hilangkan lagi kesan minyak.
Seterusnya, mandikan kucing menggunakan sabun. Menurut Anas, dia menggunakan syampu ‘deep cleansing’ agar bulu kucing lebih bersih.

Perlu juga menggunakan perapi (conditioner) untuk mengelakkan bulu kucing daripada menjadi rosak.
Akhir sekali, keringkan bulu kucing menggunakan tuala atau alat pengering khas.
Pantau Kucing Untuk Tanda Keracunan Gam
Anas juga mengingatkan agar kucing dipantau selama beberapa hari untuk mengenal pasti sebarang tanda keracunan gam. Ini kerana sesetengah gam seperti gam tikus dan serangga mengandungi racun.
Katanya lagi, kucing yang terkena gam masih boleh dibersihkan bulunya tanpa perlu dicukur.
@kaka.cat.house Kucing kena gam, nak buat apa?? Ok, ni abang share cara nak buang gam daripada bulu kucing. #kakacathouse #groomerlife #professionalgroomer #catgroomer #petgrooming #catgrooming #catgroomingmalaysia #mandikucing #catgroomingpenang #topgroomer
♬ Dream On – Aerosmith
Netizen Puji ‘Cat Groomer’ & Kucing
Biasanya kucing bila dimandikan mesti marah kerana takutkan air. Tapi lain pula kucing-kucing yang dihantar ke Kaka Cat House ini.
Seperti kucing ini, kesemua kucing yang dimandikan pasti diam sahaja sehingga mendapat pujian orang ramai. Seorang individu memuji Kaka Cat House sebagai ‘cat groomer’ terbaik yang pernah dilihatnya.
Orang ramai juga berkata kucing tersebtu seolah-olah memahami bahawa Anas ingin membantunya.
Menjawab soalan seorang individu, Anas berkata apabila menjaga dan membersihkan kucing dengan sepenuh hati, insyaAllah akan dipermudahkan dengan kucing yang baik.






Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.