Individu Jual 4 Bunga Kantan RM2 Sahaja, Berniaga ‘Style’ Layan Diri Jadi Tumpuan
Seorang peniaga menjual barangan masakan murah dengan konsep layan diri di sebuah pondok sekitar Jalan Jabar Meru, Klang di Selangor.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sikap berbaik hati dan bersedekah amatlah dituntut dalam agama Islam. Bukan sahaja dikurniakan ganjaran pahala, malah ia dalam masa sama akan mengurangkan beban orang yang menerima.
Kadangkala, ada individu di luar sana yang tidak mampu membeli barang masakan untuk dimasak di rumah.
Ia mungkin disebabkan oleh situasi sulit atau kekangan kewangan yang mereka hadapi. Setiap orang, lain kisahnya.
Peniaga Jual 4 Batang Bunga Kantan Dengan Harga RM2 Sahaja
Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman satu group Facebook MERU KLANG RESIDENTS OFFICIAL apabila seorang wanita dikenali sebagai Fardzliana mendedahkan tindakan seorang peniaga tidak dikenali menjual barangan masakan dengan harga yang sangat murah.
Peniaga itu menjual seikat bunga kantan yang terdiri daripada 4 batang dengan harga RM2 manakala RM1 bagi seikat serai yang mempunyai lebih kurang 5 batang. Seikat daun kesum juga dijual dengan harga sama iaitu RM1.
Bahan masakan untuk lauk Asam Pedas tersebut sememangnya dijual dengan harga yang amat murah kalau nak dibandingkan dengan di pasaran. Kalau anda beli sebatang bunga kantan di pasar raya, ia boleh mencecah RM3 sehingga hampir RM5.
Untuk info, bahan masakan itu dijual sekitar sebuah pondok usang di Jalan Jabar Meru, Klang di Selangor.
Jual Guna Konsep Layan Diri, Peniaga Hanya Letak Tabung Di Pondok
Lebih menarik perhatian adalah peniaga tersebut tidak kelihatan di kawasan tersebut, sebaliknya hanya menggunakan sebuah tabung di mana pembeli boleh meletakkan duit di situ.
Dalam erti kata mudah peniaga berkenaan menggunakan konsep layan diri.
Nota comel je. Jadi faham jenis (jual beli) layan diri. Baik hati betul peniaga ni, dah la percayakan pelanggan. Ya Allah murah sangat harga dia letak tu. Seikat bunga kantan RM2, ada 4 batang.
Fardzliana.
Pun begitu, Fardzliana berharap agar peniaga tersebut datang ke pondok tersebut sekali sekala untuk memerhatikan jualan miliknya agar perkara tidak diingin berlaku lebih-lebih lagi terhadap tabung yang diletakkan.
Wanita berkenaan dalam masa sama telah menitipkan doa buat si peniaga agar sentiasa dimurahkan rezeki pada hari mendatang.
Netizen Puji Peniaga Ikhlas Menjual Dengan Harga Murah
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen dilihat memuji tindakan peniaga yang menjual barangan tersebut dengan harga murah.
“Murah sangat. Mungkin berniaga sambil bersedekah. Sekarang bunga kantan dan serai mahal sangat. Sekuntum (bunga kantan) ada yang sampai RM4, serai 3 batang RM1. Bagi yang tiada tanah nak tanam, terpaksa beli juga walaupun mahal,” jelas seorang warganet.
Ada juga yang berkata menjual dengan konsep layan diri turut dilakukan di negeri lain.
“Style menjual begini banyak di Sabah. Kena jujur bayar,” ujar seorang wanita.
Sementara itu, ramai juga telah mendoakan yang baik-baik buat peniaga yang tidak mengambil keuntungan dalam perniagaannya.
Baca Artikel Berkaitan: “Untung Sikit Pun Takpe” – Peniaga Ayam Penyet Tawar Nasi & Sup Free Flow Raih Pujian
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Beri 550 Orang Makan Percuma Setiap Hari, Usahawan Tak Sanggup Lihat Penduduk Berlapar
Baca Artikel Berkaitan: Peniaga Jual Nasi Arab Ayam ‘Seekor’ RM35 Tarik Perhatian Ramai [Video]
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram