DG Hisham ‘Throwback’ Hari Pertama PKP Akibat Covid-19 Pada 4 Tahun Lalu
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menganggap ia adalah detik bersejarah buat negara selepas Akta 342 terpaksa dikuatkuasakan di seluruh Malaysia ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Tahun 2020 adalah tahun yang menjadi sejarah buat rakyat Malaysia apabila kerajaan memerintah pertama kali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh melibatkan semua lapisan masyarakat.
Ketika PKP dilakukan, hanya golongan tertentu sahaja yang boleh keluar rumah untuk bekerja iaitu petugas barisan hadapan seperti doktor, jururawat, tentera dan pihak polis.
Sewaktu tempoh berkenaan, orang ramai tidak dibenar sama sekali untuk keluar dan hanya terhad kepada ketua keluarga sahaja bagi urusan membeli barangan keperluan.
DG Hisham Imbau Kembali Tempoh Tahun Pertama PKP Ketika 2020
Menerusi ciapan dimuat naik di laman X (@DGHisham), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang merupakan bekas Ketua Pengarah Kesihatan dilihat telah mengimbau semula detik bersejarah Malaysia ketika pertama kali melaksanakan PKP pada empat tahun lalu ketika 18 Mac 2020.

Jelasnya, situasi pandemik Covid-19 ketika itu berdepan sedikit kesukaran kerana masih belum mempunyai ubat, vaksin dan mesin PCR sebagai perlindungan.
Ia adalah detik bersejarah buat negara selepas Akta 342 terpaksa dikuatkuasakan di seluruh Malaysia. Apabila dilihat semula, pandemik Covid-19 telah menguji ketahanan serta perpaduan kita semua berbanding sebelum ini.
Bekas Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Bersempena dengan bulan Ramadan, DG Hisham mengajak orang ramai agar bermuhasabah semula di sebalik perkara yang berlaku ini untuk sentiasa bersiap sedia serta menguatkan lagi sistem kesihatan.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat untuk tidak lupa kepada semangat bersatu padu dalam kalangan komuniti serta memperingati individu yang terkorban akibat pandemik tersebut.
Jangan kita lupakan mereka yang sudah ‘pergi’ dan morbiditi akibat Covid. Ketakutan terbesar saya adalah apabila orang ramai leka serta lalai dalam mengambil pengajaran semasa pandemik Covid-19 dan tidak mengukuhkan sistem kesihatan mereka.
Bekas Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Today March 18, exactly 4 years ago we faced our first day of an unprecedented lockdown due to Covid-19. We did not have therapeutic medicines and vaccines then, coupled with limited diagnostic capacity using PCR. It was a historic moment to enforce act 342 for the whole country.… pic.twitter.com/ZMbK9XRxKj
— Noor Hisham Abdullah (@DGHisham) March 18, 2024
Malaysia Berdepan Beberapa Siri PKP Selepas Tahun 2020
Pejam celik, sudah empat tahun berlalu sejak Malaysia melaksanakan PKP 1.0 selepas kes pertama direkodkan pada tahun 25 Januari 2020.
Selepas tempoh tiga bulan pelaksaan PKP pada kali pertama, rakyat Malaysia kemudiannya dibenarkan untuk keluar seperti biasa dengan beberapa syarat ditetapkan seperti:
- Perlu memakai pelitup muka di mana-mana sahaja.
- Mengimbas kod masuk untuk memasuki mana-mana premis di aplikasi MySejahtera.
- Menjaga jarak dengan individu lain.
Tidak lama selepas itu, PKP 2.0 pula diumumkan di enam buah negeri untuk tempoh selama 14 hari bermula dari 13 Januari sehingga 26 Januari 2021.

Kemudian pada tahun sama, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bersetuju melaksanakan PKP buat kali ketiga iaitu ‘total lockdown’ yang bermula dari 1 Jun sehingga 14 Jun sebelum dilanjutkan kepada dua minggu lagi dari 15 Jun sehingga 28 Jun 2021.
Pada tahun 2022, bekas Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah memberi jaminan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak lagi akan dilaksanakan meskipun kes Covid-19 semakin meningkat.
Baca Artikel Berkaitan: Dijamin Tiada Lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) – Azmin Ali
Baca Artikel Berkaitan: Dr Noor Hisham Kembali Berkhidmat Sebagai Pakar Bedah Di Hospital Putrajaya
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.