Now Reading
[Video] “Hilang 20KG” – Perjalanan Rutin Diet Khairul Aming Jadi Inspirasi Orang Ramai

[Video] “Hilang 20KG” – Perjalanan Rutin Diet Khairul Aming Jadi Inspirasi Orang Ramai

Menurut Khairul Aming, dia telah memulakan misi menurunkan berat badannya dengan mengawal kandungan kalori dalam pemakanan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kalau dilihat trend zaman kini, sesetengah penduduk di Malaysia amat menggemari makanan-makanan viral tidak kiralah golongan muda atau dewasa.

Namun, kebanyakan makanan tular tersebut mempunyai kalori tinggi akibat kandungan gula yang melampau. Malah pengambilan makanan tersebut yang tidak kira waktu juga akan mendorong kepada masalah kesihatan.

Jika pengambilan makanan tinggi kalori itu tidak dikawal, pelbagai masalah akan timbul seperti penyakit jantung, obesiti dan banyak lagi.

Baca Artikel Berkaitan: ‘Kuah Banjir’ Punca Berat Badan Naik, Malaysia Negara Obesiti Tertinggi Di Asia Tenggara


Khairul Aming Hilang 20 KG Sepanjang Tahun 2023

Hari ini (21 Disember), content creator terkenal Khairul Aming menerusi perkongsiannya di media sosial telah mendedahkan perjalanan diet yang dilakukan sepanjang tahun 2023.

Menurutnya, misi mengamalkan gaya hidup sihat berjaya apabila dia kehilangan berat badan sebanyak 20 kilogram! Tempoh berdiet tersebut turut dibantu oleh pelatih peribadinya yang telah memberi panduan sejak awal tahun.


Khairul Aming Mulakan Diet Dengan Membuat Kiraan Kalori Makanan

Bercerita tentang kisahnya, Khairul Aming berkata dia telah mendapat kesedaran untuk kembali sihatkan badan pada bulan Januari. Menurutnya, dia tidak mempedulikan jenis makanan yang diambil selain kurang melakukan aktiviti senaman.

Oleh disebabkan itu, kebanyakan pakaian dikatakan semakin sendat dan dirinya sering mengalami masalah semput ketika berjalan.

Cakna dengan masalah dilalui, dia telah membuat keputusan untuk menjaga pemakanannya dan memastikan kalori defisit sentiasa dikawal. Jika dilihat daripada video hantaran, Khairul Aming telah menggunakan penimbang berat untuk mengetahui jumlah kalori diambil bagi setiap jenis hidangan.

Namun begitu, Khairul Aming berkata dia tidak mampu meninggalkan hidangan nasi yang menjadi satu keperluan buat rakyat tempatan.

“Jangan suruh aku berhenti makan nasi. Itu aku tak boleh buat. Kita duduk Malaysia kena makan nasi,” ujarnya.

Sumber: Instagram (@khairulaming)

Khairul Aming Mula Lakukan Aktiviti Fizikal Di Gym

Menjelang bulan Februari pula, dia bertekad untuk melakukan aktiviti fizikal dengan mengunjungi gym di kediamannya kerana masih belum mendapatkan keberanian untuk bersenam depan khalayak ramai.

Pada bulan Mac, Khairul Aming telah ke peringkat seterusnya apabila dia memutuskan untuk pergi ke gym awam dan menggunakan fasiliti serta mesin yang berada di situ seperti alat angkat berat.

Walau bagaimanapun, dia mengadu mengalami sakit belakang dan di bahagian anggota badan yang lain kerana tidak mahir menggunakan alatan tersebut.

Maka, dia membuat keputusan untuk mengupah pelatih peribadi semasa bulan April untuk mengenal pasti jenis senaman perlu dilakukannya termasuklah mengetahui postur badan yang tepat bagi setiap aktiviti fizikal tersebut.

Seperti yang anda tahu, Ramadan pada tahun ini berlangsung pada bulan April. Namun ia tidak menjadi penghalang buat dirinya bagi meneruskan misi mengamalkan gaya hidup yang sihat.

“Aku buat video masak banyak bulan puasa hari itu, tetapi sebenarnya aku dekat gym setiap hari dan makan pun jaga,” jelasnya.

Sumber: Instagram (@khairulaming)

Tubuh Badan Mula Nampak Perubahan Pada Mei

Selepas berbulan-bulan menerapkan amalan di atas, Khairul Aming akhirnya melihat perubahan pada tubuh badan di mana baju miliknya tidak ketat dan kembali muat.

Atas kejayaan mendapatkan badan yang fit, dia meluahkan rasa gembira selain tidak lagi berasa mengah apabila keluar rumah.

Bagi bulan-bulan seterusnya, dia masih mengamalkan rutin penjagaan badan yang sama walaupun kadangkala berasa bosan dan hanyut dengan keseronokan dunia seperti makan di Hat Yai, Thailand.

Baca Artikel Berkaitan: Khairul Aming Kongsi 9 Tempat Makan Best Di Hat Yai. Harga Pun Murah!

“Rutin tu aku teruskan sampai ke hari ini dan makan pun aku tak perlu timbang macam awal-awal dulu sebab dah boleh adapt.

“Alhamdulillah it has been a long year and journey. Sangat memenatkan, nak nangis pun ada. Tetapi harap result kali ini berkekalan dan boleh istiqamah,” katanya.

Di akhir perkongsian tersebut, Khairul Aming berharap agar kisah tersebut boleh dijadikan contoh kepada orang ramai untuk menjaga kesihatan pada tahun 2024.

Sumber: Instagram (@khairulaming)

Reaksi Netizen Lihat Rutin Diet Khairul Aming

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet telah terkesima dengan rutin dijalankan oleh Khairul Aming walaupun sentiasa mengeluarkan video resepi masakan untuk para pengikut di media sosial.

“Respect betul. Post video masak-masak tetapi boleh kurus. So inspiring! Tahun depan saya cuba kuruskan badan pula,” kata seorang lelaki.

Sementara itu, orang ramai juga dilihat mengucapkan terima kasih kepadanya kerana memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan tubuh badan.

“Tahniah dan terima kasih untuk video yang memberikan inspirasi ini. Sebenarnya pemakanan kita lah paling susah untuk dijaga. Bagi saya exercise, hiking memang selalu buat tetapi selera makan tu perlu dikawal untuk turunkan berat badan, which is a constant battle,” ujar seorang wanita.

Sumber: Instagram (@khairulaming)

Terdahulu anda asyik ikut resepi masaknya sahaja, apa kata mulai tahun depan kita ikut rutin sihat Khairul Aming pula? Buat anda yang sedang dalam proses menurunkan berat badan, semoga berjaya!

Baca Artikel Berkaitan: “Habiskan Pembelajaran” – Khairul Aming Nasihati Anak Muda Yang Mahu Jadi ‘Content Creator’


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd