Now Reading
Wanita Trauma Diekori Lelaki ‘Pelik’ Di Parkir Pusat Beli-belah, Siap Ambil Gambar Senyap-senyap

Wanita Trauma Diekori Lelaki ‘Pelik’ Di Parkir Pusat Beli-belah, Siap Ambil Gambar Senyap-senyap

Lebih menakutkan lagi, individu tersebut berpura-pura seperti mengenalinya dan cuba untuk meminta nombor telefon wanita berkenaan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Tidak kiralah berada di tempat terbuka atau tertutup, keselamatan golongan wanita dilihat semakin membimbangkan kerana sudah banyak kes gangguan yang dilaporkan berlaku.

Sebelum ini, seorang influencer dikenali sebagai Mekyun bersama ibunya telah diekori oleh seorang lelaki tidak dikenali ketika mereka berdua sedang berjalan-jalan di pusat membeli-belah SOGO di Kuala Lumpur.

Berang dengan apa yang berlaku, Mekyun kemudiannya berdepan dengan lelaki tersebut manakala ibunya memanggil pengawal keselamatan di lokasi berhampiran.

Tindakan mereka itu membuatkan lelaki berkenaan segera beredar.

Baca Artikel Berkaitan: “Ni Kali Kedua Kena” – Wanita Dedah Dirinya & Ibu Diekori Lelaki Tidak Dikenali Di Pusat Beli-belah


Sekumpulan Wanita Diekori Lelaki Tidak Dikenali Dari Tempat Parkir Kereta Pusat Beli-belah

Situasi hampir sama ini berlaku juga kepada sekumpulan wanita ketika mereka berada di sebuah pusat membeli-belah yang baru sahaja dibuka di Damansara.

Menerusi video dimuat naik di laman X (Twitter @qstiena__), wanita ini menceritakan pengalaman buruknya sewaktu diterjah oleh lelaki tidak dikenali ketika baru sahaja meletakkan kereta di kawasan parkir dalam bangunan.

Jelasnya, lelaki tersebut menghampiri keretanya dan menunggu sehingga dia keluar dari kereta.

Lebih menakutkan lagi, individu terbabit berpura-pura seperti mengenalinya dan cuba untuk meminta nombor telefon wanita berkenaan.

Bukan itu sahaja, dia juga mahu mengikuti mereka ke majlis yang diadakan di sana tetapi mereka menjelaskan ia adalah acara tertutup untuk individu tertentu sahaja.

Selepas keinginannya ditolak, dia cuba untuk mengambil gambar wanita-wanita tersebut secara tersembunyi menggunakan telefon bimbit.

Situasi yang semakin menggusarkan itu membuatkan mereka terus berjalan memasuki pusat membeli-belah dengan meninggalkan lelaki berkenaan di belakang.

Namun, individu terbabit dipercayai mengekori mereka sehingga menyebabkan kumpulan wanita terbabit terpaksa meminta bantuan pengawal keselamatan yang berada di kawasan berhampiran.


Netizen Bengang Lihat Tindakan ‘Stranger’ Ekori Sekumpulan Wanita

Rata-rata netizen terutamanya golongan wanita mula bimbang dengan tahap keselamatan diri mereka selepas melihat situasi yang berlaku kepada kumpulan wanita tersebut.

Netizen turut meluahkan rasa lega apabila mengetahui wanita terbabit tidak keseorangan semasa berdepan lelaki tidak dikenali itu.

Dalam pada yang sama, sesetengah netizen memberi nasihat agar tidak bercakap dengan mana-mana individu yang meragukan sekiranya berada di tempat tertutup seperti kawasan meletak kereta.

Sumber: X (Twitter)

Tips Keselamatan Bagi Kaum Wanita

Masalah melibatkan isu keselamatan wanita kini perlu diambil berat oleh masyarakat kerana ia boleh berlaku pada bila-bila masa sama ada di kawasan terbuka atau kawasan tertutup.

Bagi kaum wanita di luar sana, berikut kami kongsikan beberapa tips keselamatan bagi melindungi diri anda.

  • Jangan berjalan sambil menggunakan telefon kerana ia boleh menghilangkan tumpuan anda terhadap keadaan sekeliling yang sedang berlaku.
  • Elakkan dari berjalan seorang diri di kawasan sunyi.
  • Jangan meletakkan beg tangan atau barangan berharga di tempat duduk penumpang semasa memandu.
  • Sekiranya anda rasa sedang diekori, terus pandu kereta ke balai polis berdekatan dan menghubungi pihak polis untuk memberikan keterangan.
  • Periksa keadaan sekeliling kenderaan sebelum memasuki kereta.
  • Segera mengunci pintu kereta sebaik memasuki kenderaan.
  • Menjerit sekuat hati atau menekan hon jika diganggu individu tidak dikenali.
  • Sediakan penyembur lada, wisel keselamatan atau kunci penggera di dalam beg untuk digunakan sekiranya diserang.
  • Sekiranya berkunjung ke pusat membeli-belah seorang diri, pastikan anda meletakkan kenderaan di kawasan parkir khas untuk wanita.

Baca Artikel Berkaitan: “Mesti Trauma” – Wanita Diekori Lelaki Menyamar Pakai Purdah Dari Tandas Hingga Ke Surau

Baca Artikel Berkaitan: Wanita Gelisah Diganggu Bekas Pekerja ‘Psiko’ Lebih Dari Setahun, Sanggup Hubungi HQ Untuk Jejaki Mangsa

Baca Artikel Berkaitan: 1 Daripada 5 Rakyat Malaysia Pernah Jadi Saksi Wanita Diganggu Secara Seksual


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd