Now Reading
Tak Semua Penganut Yahudi Sokong Israel. Ini Penjelasannya

Tak Semua Penganut Yahudi Sokong Israel. Ini Penjelasannya

Bila sebut sahaja individu beragama Yahudi, pasti di fikiran masing-masing akan terlintas bahawa golongan ini adalah sama seperti Zionis yang suka menindas, kan?

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umum sedia maklum, sehingga ke hari ini (7 November) keganasan yang dilakukan oleh rejim Zionis dilihat tiada penghujungnya. Malah, puluhan ribu mangsa rakyat di Gaza yang tidak bersalah telah terkorban dek konflik Palestin-Israel ini.

Oleh disebabkan itu, tanah suci Palestin yang sedang dijajah ketika ini menyebabkan orang menganggap bahawa setiap individu beragama Yahudi adalah musuh masyarakat yang bergama Islam.

Sumber: Envato

Hubungan Islam & Yahudi

Menurut Ustaz Ahmad Syukri Yusoff, sifat dan perjuangan Rasulullah SAW membuktikan Islam sebagai agama yang damai dan bertoleransi. Ini kerana setibanya Baginda di Madinah, Baginda melakukan perjanjian dengan masyarakat Yahudi dan tidak menghalau mereka.

Malah, antara intipati perjanjian tersebut adalah supaya negara Islam menghormati kepercayaan mereka.

Jika golongan ini wajib diperangi, sudah tentu Rasulullah SAW tidak akan merangkumkan mereka dalam negara Islam ketika itu.

Tambahan pula, Rasulullah SAW juga difahamkan pernah berjiran dengan ahli kitab dan sering memberi serta menerima hadiah daripada mereka.

Sebab itulah umat Islam disarankan dan dinasihati untuk berbuat baik sesama bukan Islam yang tidak melawan agama Islam.

Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surat Al-Mumtahanah: Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Al-Mumtahanah 60:8).

Mengulas lanjut, Dr. Phil. Syafiq Hasyim selaku Felo Pelawat di ISEAS Yusof Ishak Institute turut berpendapat bahawa agama Islam yang damai dan tidak mengizinkan penganutnya melakukan kekerasan bermakna anjuran memerangi agama lain tidak betul sepenuhnya.

Katanya, petikan tentang memerangi kaum Yahudi dan Nasrani di dalam al-Quran adalah berdasarkan sejarah agama dan ayat-ayat sedemikian diturunkan ketika berlakunya peperangan dan serangan ke atas masyarakat Islam.


Rakyat Palestin Tidak Semuanya Bergama Islam

Untuk info, Israel ditubuhkan pada 14 Mei 1948, serta-merta mencetuskan Perang Arab-Israel. Akibat kejadian ini, wilayah berkenaan telah terbahagi kepada tiga iaitu:

  1. Semenanjung Gaza
  2. Tebing Barat
  3. Israel

Pecahan itu bagaimanapun telah menyebabkan sebanyak 750,000 masyarakat Palestin kehilangan tempat tinggal mereka.

Sumber: Envato

Mungkin ramai masih tidak tahu bahawa bukan kesemua penduduk di Palestin adalah beragama Islam.

Menurut Institute for Middle East Understanding (IMEU), kira-kira 93% penduduk adalah Islam dan 6% lagi beragama Kristian. Terdapat juga sebilangan kecil penganut Samaritan, satu kumpulan agama Yahudi awal, yang mendiami kawasan Nablus di Tebing Barat.

Selain itu, di Palestin juga terdapat penganut Yahudi Ultra-Orthodox atau Haredi. Salah satu kediaman yang didiami mereka adalah kejiranan Mea Shearim di Jerusalem.


Yahudi anti-Zionis Anggap Tindakan Israel Seumpama Ambil Tugas Tuhan

Zionism adalah satu gerakan yang berusaha untuk mewujudkan negara Yahudi di Palestin yang dikenali sebagai Israel.

Nama Zionism diambil sempena Zion iaitu satu bukit di daerah Jerusalem.

Namun sebenarnya, tidak semua golongan Yahudi bersetuju dengan gerakan Zionism. Kebanyakan mereka yang menentang Zionism biasanya adalah golongan Orthodox yang mempercayai bahawa Israel hanya boleh didapatkan secara ajaib.

Sebaliknya, tindakan kerajaan Israel sekarang dilihat sebagai usaha manusia yang seolah-olah ingin mengambil alih tugas Tuhan.

Salah satu kumpulan yang popular dengan tentangan mereka terhadap Zionism adalah Neturei Karta yang melihat diri mereka sebagai penduduk Palestin.

Kumpulan ini boleh ditemui di Mea Shearim, Jerusalem.

Rabbi Meir Hirsh berkata tindakan pihak Zionis bertentangan dengan kitab Taurat kerana mendapatkan tanah Israel secara paksa. 

Mengulas lanjut, kumpulan berkenaan juga berdemonstrasi dengan masyarakat Arab dalam solidariti bagi pembebasan Palestin. Hirsh telah menghantar tiga orang pengikutnya ke Jenin untuk menyokong bekas tahanan yang dituduh sebagai pengganas oleh Israel.

Mereka telah ditahan oleh polis Israel selama beberapa hari sebelum dibebaskan.

Hirsh menekankan bahawa mereka merupakan pengkhianat kepada Zionis dan tidak menyembunyikan pemikiran mereka. Dia juga mendakwa terdapat 70,000 keluarga yang menentang penjajahan oleh Zionis di situ.


Yahudi Tentang Penjajahan Israel Di Negara Lain

Mungkin ramai yang tidak cakna tentang topik ini bahawa selain daripada golongan anti-Zionis di Palestin sendiri, terdapat juga individu Yahudi yang menentang penjajahan Israel di negara lain.

Salah seorang daripadanya adalah Rabbi Michael Lerner di Amerika Syarikat (AS).

Dalam satu ucapan beliau ketika upacara pengebumian peninju Muhammad Ali, Lerner berkata masyarakat Yahudi di Amerika bersolidariti dengan umat Islam dan tidak akan bertolak ansur dengan sesiapa yang merendahkan martabat Islam atau menyalahkan mereka atas sebab tertentu.

Malah, menerusi majalah Yahudi Liberal Progresif Tikkun Magazine, pihaknya telah menyeru kerajaan Amerika untuk mengambil tindakan terhadap Israel yang menindas rakyat Palestin.

Menurutnya lagi, penganut Yahudi percaya bahawa setiap individu dicipta dengan adil oleh Tuhan dan ini adalah termasuk rakyat Palestin yang harus dilindungi.

Baca Artikel Berkaitan: Berkesan Ke Kalau Boikot Produk Yang Sokong Israel?


Kesimpulannya, Sebenarnya Tak Semua Penganut Yahudi Sokong Israel

Bila sebut sahaja individu beragama Yahudi, pasti di fikiran masing-masing akan terlintas bahawa golongan ini adalah sama seperti Zionis yang suka menindas, kan?

Tapi sebenarnya jelas menunjukkan bahawa individu yang menganuti agama Yahudi tidak semestinya menyokong pembentukan Israel.

Malah, terdapat segolongan daripada mereka yang menentang pihak Israel dan memberi sokongan kepada kebebasan Palestin.

Sumber: Envato

#FreePalestine

Dalam masa yang sama, umat Islam diingatkan supaya tidak memetik ayat al-Quran tanpa memahami konteks. Seperti yang disebutkan oleh Dr Syafiq, harus diingat bahawa sesetengah ayat al-Quran diturunkan berdasarkan keadaan ketika ia diturunkan.

Nota: Artikel ini telah diolah semula daripada portal Malaysia Bersuara.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd