Berkesan Ke Kalau Boikot Produk Yang Sokong Israel?
Menurut satu kajian, usaha boikot paling berjaya adalah yang telah mendapat liputan media terbanyak, terutamanya terhadap satu syarikat berprofil tinggi.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Maksud boikot sebenar adalah tidak membeli produk ataupun mengambil bahagian dalam sesuatu aktiviti bagi menunjukkan penolakan yang kuat terhadap sesuatu isu.
Dalam keadaan yang kian meruncing pada ketika ini di Palestin, ramai pihak dilihat sudah menjalankan tanggungjawab dengan usaha boikot ke atas produk buatan Isreal serta mana-mana syarikat yang menyokongnya.
Baca Artikel Berkaitan: Perlukah Starbucks, Coca-Cola dan McDonald’s diboikot dalam usaha menentang Israel?
Sejarah Di Sebalik Boikot Ke Atas Israel
Ketika diwujudkan pada tahun 1948, Israel telah menerima tekanan boikot dari negara-negara Arab. Menerusi usaha boikot utama, Israel muncul sebagai sebuah rejim yang dikenali sebagai ‘Economic Island’ disebabkan oleh negara-negara Arab yang tidak ingin melakukan sebarang perniagaan dengannya.
Malah, usaha boikot ini juga dilihat berterusan dengan boikot sekunder di mana Arab serta beberapa negara lain mengancam bakal menghukum syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan dengan Israel.
Ini juga menyebabkan banyak barangan keperluan harian tidak dijual di Israel.
Susulan itu, industri rejim berkenaan tidak boleh mendapatkan bahan mentah serta produk perindustrian dari pihak ketiga yang risau akan ancaman boikot sekunder.
Oslo Accords
Namun begitu, boikot sekunder mula terlerai setelah Perdana Menteri Israel iaitu Yitzhak Rabin dan Perunding Palestine Liberation Organization (PLO) Mahmoud Abbas menandatangani Declaration of Principles on Interim Self-Government Arrangements pada 13 September 1993.
Ia juga lebih dikenali sebagai ‘Oslo Accords’ yang mana perjanjian ini menyebabkan ekonomi Israel meningkat.
Dan sehingga kini, ekonomi Israel tidak lagi mudah terkesan dengan gerakan boikot. Perkara ini berlaku kerana Israel telah meletakkan fokus eksport terhadap barangan unik dan berkualiti tinggi yang membuatkannya sukar diganti oleh pengguna.
Mengulas lanjut, pada November 2015, meskipun memiliki ikatan dengan pihak Israel, Kesatuan Eropah (EU) telah meminta supaya semua produk yang dihasilkan di penempatan Israel di Tebing Barat dilabel.
Ia bertujuan membantu pengguna lain yang ingin mengelakkan diri daripada membeli produk tersebut. Secara tidak langsung, ia menunjukkan bahawa EU menentang penempatan yang dibina tetapi menolak tanggapan bahawa kerajaan Israel itu haram.
Kesan Boikot Terhadap Syarikat
Profesor Brayden King dari Institute for Policy Research Northwestern University, menjelaskan bahawa usaha boikot sering dijalankan dengan matlamat untuk menekan kewangan suatu syarikat dengan meyakinkan orang ramai supaya tidak membeli apa-apa produk/servis daripada sesebuah syarikat.
Namun begitu, King mendapati boikot kebiasaannya tidak memberi impak yang besar terhadap pendapatan syarikat. Perkara ini adalah kerana sifat kebiasaan atau ‘habitual’ pengguna yang telah biasa menggunakan sesuatu produk.
Pada masa yang sama, King berkata pihak yang memboikot sesebuah syarikat itu mungkin bukan pengguna sasaran sejak mula.
Baca Artikel Berkaitan: Starbucks US Ugut Bakal Ambil Tindakan Terhadap Pekerja & Cawangan Yang Sokong Palestin
Sebaliknya, kajian oleh King mendapati bahawa meskipun boikot tidak memberi kesan terhadap pendapatan, tetapi usaha itu boleh mengancam reputasi syarikat. Ancaman ini menjadi lebih besar apabila liputan media secara negatif dilakukan terhadap syarikat tersebut.
Boikot Jadi Efektif Jika Dapat Perhatian Media
Mengulas lanjut, King memberitahu bahawa perhatian media ke atas sesebuah isu merupakan indikasi utama yang menunjukkan bahawa boikot itu efektif dan berkesan.
Walau bagaimanapun, ia tidak diukur melalui jumlah orang yang telah menandatangani suatu petisyen atau berapa ramai pengguna yang digerakkan dalam usaha itu.
Menurut King lagi, usaha boikot paling berjaya adalah yang telah mendapat liputan media terbanyak, terutamanya terhadap satu syarikat berprofil tinggi. Liputan seperti ini akan menyebabkan harga saham menjunam, seterusnya mendesak sesebuah syarikat yang diboikot itu untuk mengubah polisinya.
Melalui satu artikel yang dikeluarkan oleh ‘Knowledge at Wharton’ di Wharton School of the University of Pennsylvania, matlamat boikot adalah supaya syarikat sasaran menurut permintaan pemboikot, kebarangkalian berjaya adalah tidak tinggi.
Professor Emeritus Psikologi Monroe Friedman dari Eastern Michigan University telah mengkaji 90 usaha boikot di Amerika Syarikat dari tahun 1970 hingga 1980. Friedman mendapati hanya 24 daripadanya sahaja berjaya (sama ada sepenuhnya atau separa) dalam mengubah tindakan sasaran boikot.
Dalam masa yang sama, kajian menunjukkan bahawa kempen boikot yang lebih tersusun dan terancang dengan penggunaan kaedah ‘picketing’ atau protes dan teknik-teknik menarik yang lain – mempunyai keberkesanan yang lebih tinggi.
Stephen Pruitt iaitu seorang profesor ekonomi dan kewangan di University of Missouri telah melakukan satu kajian ke atas harga saham 21 syarikat yang menjadi sasaran boikot dan salah satunya adalah Nestle. Dia mendapati bahawa harga saham merudum dua bulan setelah boikot dilancarkan dan setiap syarikat tersebut mengalami purata kerugian lebih $120 juta dalam pemodelan pasaran.
Walau bagaimanapun, tiada penurunan dalam harga saham setelah tempoh dua bulan tersebut, tetapi tiada juga bukti bahawa harga saham meningkat semula. Pruitt merasakan bahawa satu usaha boikot berjaya jika harga saham syarikat disasar menurun, walaupun syarikat tidak menurut permintaan pihak pemboikot.
Adakah Boikot Mampu Beri Tekanan Terhadap Syarikat Yang Sokong Israel?
Jawapannya, YA.
Ini kerana menerusi pelbagai kajian yang dijalankan, jelas bahawa usaha boikot dapat memberikan kesan dalam pelbagai cara termasuklah penurunan harga saham.
Profesor Americus Reed II dari Wharton menjelaskan bahawa untuk menjayakan boikot, perkara yang menyebabkan gerakan itu terjadi perlu jelas dan dahsyat.
Tambahnya lagi, dengan kemajuan internet pada masa ini, berita boleh tersebar dengan pantas kepada lebih ramai orang. Namun begitu, teknologi tersebut turut boleh melemahkan usaha boikot kerana sesetengah individu sudah menjadi tidak sensitif terhadap berita-berita buruk.
Untuk menjayakan usaha boikot ini, Reed berkata gerakan itu perlu memudahkan pengguna untuk menyokongnya melalui kos kewangan dan psikologi yang rendah. Penyertaan di dalam usaha boikot menjadi lebih mudah jika produk atau servis yang ingin diboikot ada penggantinya.
Targeted Boycotting
Orang ramai dalam masa yang sama diingatkan supaya memboikot syarikat yang benar-benar disasar oleh pihak terlibat seperti BDS.
BDS menjalankan usaha boikot secara tersasar atau ‘targeted boycotting’, di mana ianya memberikan fokus boikot terhadap beberapa syarikat tertentu untuk memberi impak maksimum. Syarikat yang disasarkan memainkan peranan jelas dan secara langsung terhadap Israel.
Menurut BDS Malaysia, usaha boikot perlu disasarkan terhadap:
- Caltex
- Caterpillar
- G4S
- HP
- Puma
Nota: Artikel ini telah diolah semula daripada portal Malaysia Bersuara.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.
I enjoy writing and eating at the same time. I sit at my work desk for hours every day. Oh! I like cafe hopping, though I don't drink coffee. I'm, uh.. indecisive. I see eight sides of everything. Currently leading Bahasa desk for The Rakyat Post as the Head Writer.