Now Reading
Video Tular Makan Babi Punca Influencer Indonesia Ini Ke Penjara

Video Tular Makan Babi Punca Influencer Indonesia Ini Ke Penjara

Selain dipenjara, influencer dikenali sebagai Lina Mukherjee itu juga dikehendaki membayar denda berjumlah 250 juta rupiah (RM76,175).

influencer indonesia makan babi dipenjara

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Seperti yang kita semua tahu, terdapat beberapa larangan yang ditegah kepada penganut agama Islam seperti meminum arak dan memakan daging babi.

Hukum melakukan larangan tersebut adalah haram dan berdosa besar jika sengaja melakukannya.

Walaupun telah dilarang oleh Allah SWT, namun ada sesetengah pihak yang mengambil secara sambil lewa dengan mempersendakannya.


Influencer Indonesia Dipenjara Dan Didenda Kerana Sengaja Menghina Agama Islam Dengan Cara Memakan Daging Babi

Seorang influencer wanita di Indonesia dikenali sebagai Lina Mukherjee telah didapati bersalah di mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun berhubung perbuatannya yang dipercayai telah menghina agama Islam.

Menurut Ketua Majlis Hakim Roni Sinatra, perbuatan influencer berkenaan telah mencetuskan persoalan dalam kalangan masyarakat terutamanya penganut agama Islam.

Mahkamah Indonesia membuat keputusan sedemikian selepas Lina yang beragama Islam telah memuat naik video tular menunjukkan dia membaca ‘bismillah’ sebelum memakan daging babi.

Sumber: ANTARA news/ Detik.com

Selain dipenjara, influencer terbabit juga dikehendaki membayar denda berjumlah 250 juta rupiah (RM76,175). Jika bayaran itu gagal dilunaskan, hukuman penjaranya akan ditambah selama tiga bulan.

Selepas perkara yang berlaku, Lina menerima keputusan yang dikeluarkan oleh pihak mahkamah dan mengakui menyesali perbuatan lampaunya itu.


Influencer Indonesia Ini Mengakui Video Makan Hidangan Haram Itu Hanya Konten Semata-mata

Dalam video yang dimuat naik di laman TikTok (@lilumukerji) pada 9 Mac lalu, Lina mengakui pernah termakan daging tersebut ketika di berada Sri Lanka, India kerana mendakwa tidak mengetahui ‘pork’ adalah nama hidangan tersebut dalam Bahasa Inggeris.

Pun begitu, Lina sekali lagi mahu memakan daging babi bersama nasi putih kerana ingin mengetahui rasanya dengan lebih teliti.

Dakwanya, daging berkenaan tidak seenak yang diperkatakan kerana ia seolah-olah daging lembu yang telah dijemur dan bertekstur keras.

Ya Allah, habislah aku kena buang keluarga. Tidak seenak yang diperkatakan orang di TikTok. Ya Allah maafkan aku, cuma content.

Influencer Indonesia, Lina Mukherjee.

Pendakwah Indonesia Tampil Buat Laporan Polis

Memetik sumber Fajar, perbuatan Lina itu telah mendapat perhatian seorang pendakwah yang juga peguam di Indonesia, M Syarif Hidayat sebelum bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Daerah (Polda) Sumatera Selatan pada 15 Mac yang lalu.

Pendakwah berkenaan melihat aksi tersebut sebagai sesuatu yang menghina agama Islam.

Dalam pada itu, pemimpin Islam dari Nahdlatul Ulama, Gus Miftah turut menyelar perbuatan wanita berkenaan yang berani mempamerkan aksi sedemikian di media sosial.

Artikel Berkaitan: Demi Konten TikTok, Influencer Indonesia Sanggup Makan Babi Siap Baca Bismillah [Video]


Kes Yang Sama Pernah Berlaku Sekali Lagi, Tetapi Individu Lain Pula

Pada 28 Ogos lalu, tular sekali lagi sebuah video menunjukkan seorang wanita memakai tudung serta cermin mata hitam yang didakwa menghina agama Islam.

Dalam video yang dimuat naik semula di laman X (Twitter @MALAYSIAVIRALLL), individu tersebut dilihat membaca ‘bismillah’ serta Surah Al-Fatihah sebelum memakan daging babi.

Artikel Berkaitan: “Baca Bismillah & Al-Fatihah Sebelum Makan Babi” – Wanita ‘Bertudung’ Ajar Cara Halalkan Babi Buat Ramai Bingung

Wanita berkenaan didakwa merupakan seorang Cindo (Cina Indonesia) bernama Lin Sin Halim atau dikenali sebagai Dewi Bulan.

Dewi yang dipercayai sengaja melakukan video tersebut untuk memburukkan agama Islam telah berpindah ke Amerika Syarikat pada ketika itu dan menyebabkan dia bebas daripada dikenakan tindakan undang-undang Indonesia.

Jika perbuatan sedemikian dilakukan di Malaysia, individu didapati melakukan kesalahan menurut Seksyen 30 Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya.


Khinzir Dikategorikan Sebagai Najiz Mughallazah

Umat Islam diwajibkan untuk memakan makanan daripada sumber yang halal dan baik (tayyib). Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 168:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”


Secara ringkasnya, makanan halalan tayyiban adalah makanan yang bersih dan terhindar daripada najis, serta menjauhi perkara yang buruk seperti bangkai, darah, daging khinzir dan lain-lain. 

Al-Quran menyebutkan bahawa khinzir adalah najis secara zatnya pada semua bahagian termasuk daging, bulu dan kulit. Allah SWT telah berfirman:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging khinzir (termasuk semuanya).”

Daging khinzir merupakan salah satu najis berat atau mughallazah yang diharamkan ke atas umat Islam untuk menyentuh apatah lagi memakannya.

Sumber: Kosmo | Fajar | Republika | Kilat.com


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd