Now Reading
“Baca Bismillah & Al-Fatihah Sebelum Makan Babi” – Wanita ‘Bertudung’ Ajar Cara Halalkan Babi Buat Ramai Bingung

“Baca Bismillah & Al-Fatihah Sebelum Makan Babi” – Wanita ‘Bertudung’ Ajar Cara Halalkan Babi Buat Ramai Bingung

Wanita berkenaan yang disyaki warga Indonesia berdasarkan percakapannya berkata seorang Islam halal memakan khinzir setelah membaca Bismillah dan surah al-Fatihah.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Baru-baru ini, tular satu video dipercayai dimuat naik oleh seorang wanita warga Indonesia yang membicarakan topik mengenai memakan daging khinzir buat kalangan Muslim.

Di dalam video tersebut, dia dilihat memakai tudung dan memberi ‘tutorial’ untuk memakan daging yang diharamkan itu secara halal.

Dia berkata tutorial itu dilakukannya bagi individu beragama Islam yang teringin memakan daging itu. Dia turut mengakui bahawa memakan daging khinzir adalah haram menurut al-Quran.

Katanya, sebelum memakan daging tersebut, seorang beragama Islam harus membaca Bismillah dan diikuti dengan surah al-Fatihah supaya ia menjadi halal.

Dia membaca surah al-Fatihah secara penuh sebelum memakan daging khinzir yang dihidang bersama mi segera.

Dapat dilihat dia menunjukkan rasa berpuas hati ketika memakan hidangan itu.

Menurut sumber lain, dia turut menjemput beberapa orang tokoh dan para ulama Indonesia iaitu Ma’aruf Amin, Anwar Abbas, Napoleon Bonna Parte, Habib Rizieq, Ustaz Abdul Somad dan Ustaz Adi Hidayat untuk melakukan hal sedemikian.

Malah, dia juga berkata seorang mualaf rugi kerana telah berhenti daripada memakan daging khinzir.


Wanita Indonesia Menetap Di Amerika Syarikat

Di dalam video itu, wanita tersebut dilihat memakai kaca mata hitam seolah-olah ingin menyembunyikan identiti dirinya.

Seorang pengguna Twitter (@mohamadnasren) mendakwa wanita berkenaan merupakan seorang Cindo (Cina Indonesia) bernama Lin Sin Halim, yang sengaja melakukan video itu untuk memburukkan agama Islam.

Berdasarkan artikel oleh Kilat.com, wanita berkenaan yang dikenali sebagai Dewi Bulan, bukanlah seorang beragama Islam. Sebaliknya dia merupakan seorang penganut agama Kristian.

Dewi juga tidak lagi menetap di Indonesia, tetapi sudah berpindah ke Amerika Syarikat, menjadikan dia bebas daripada dikenakan tindakan berdasarkan undang-undang negara asalnya.

Perbuatannya jelas merupakan satu kesalahan pelecehan agama atau mempersendakan agama Islam.

Jika perbuatan sedemikian dilakukan di Malaysia, individu didapati melakukan kesalahan menurut Seksyen 30 Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah dan boleh dikenakan denda tidak lebih dua ribu ringgit, atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya.

Sebelum ini, seorang pempengaruh Indonesia, Lina Mukherjee, pernah ditahan pihak berkuasa di sana kerana membuat video TikTok memakan daging khinzir sambil membaca Bismillah.


Khinzir Merupakan Najis Mughallazah

Umat Islam diwajibkan untuk memakan makanan daripada sumber yang halal dan baik (tayyib). Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 168:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

Secara ringkasnya, makanan halalan tayyiban adalah makanan yang bersih dan terhindar daripada najis, serta menjauhi perkara yang buruk seperti bangkai, darah, daging khinzir dan lain-lain. 

Daging khinzir merupakan salah satu najis berat atau mughallazah yang diharamkan ke atas umat Islam untuk menyentuh apatah lagi memakannya.

Al-Quran menyebutkan bahawa khinzir adalah najis secara zatnya pada semua bahagian termasuk daging, bulu dan kulit. Allah SWT telah berfirman:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging khinzir (termasuk semuanya).”

Sumber: Republika | Kilat.com


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd