Now Reading
[Video] Hospital ‘Halau’ Pesakit Jam 4 Pagi Kerana Kad Perubatan Tak Cukup Baki Untuk Dapatkan Katil Di Wad

[Video] Hospital ‘Halau’ Pesakit Jam 4 Pagi Kerana Kad Perubatan Tak Cukup Baki Untuk Dapatkan Katil Di Wad

Farqhan diberitahu bahawa pihak hospital tidak mempunyai kekosongan di wad empat katil yang memenuhi syarat kad perubatan (medical card) dan hanya terdapat bilik ‘superior’ berharga RM650.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Baru-baru ini, seorang lelaki berkongsi pengalaman mengecewakan melibatkan kakitangan perubatan ketika menghantar isterinya ke sebuah hospital di Selangor bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Insiden yang dikongsikan di TikTok itu telah mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen.

Menurut lelaki bernama Farqhan, dia menghantar isterinya ke bilik kecemasan pada jam 9:00 malam beberapa hari lalu selepas dicadangkan oleh doktor.

Apabila tiba di bahagian kecemasan, kakitangan perubatan di sana memberitahu bahawa mereka perlu menunggu kehadiran doktor.

Ketika isterinya diperiksa, Farqhan diberitahu bahawa pihak hospital tidak mempunyai kekosongan di wad empat katil yang memenuhi syarat kad perubatan (medical card) dan hanya terdapat bilik ‘superior’ berharga RM650.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Freepik)

Dalam erti kata lain, insurans mereka hanya akan menanggung kos bilik berharga RM150 dan selebihnya perlu dibayar sendiri.

Memandangkan hari sudah larut malam pada ketika itu, petugas perubatan mencadangkan agar Farqhan dan isterinya keluar dahulu dan menunggu sehingga mempunyai kekosongan.

Namun apabila Farqhan menyemak sama ada syarikat insurans telah menerima notis kemasukan isterinya atau belum, dia mendapati kakitangan perubatan itu tidak menghantar notis tersebut kepada syarikat insurans.


Isteri Diminta Keluar Dari Hospital Seorang Diri Pada Jam 4:00 Pagi

Memandangkan pesakit tidak dibenarkan menunggu di bilik kecemasan, kakitangan perubatan meminta mereka untuk keluar dari hospital terlebih dahulu.

Namun, Farqhan tetap berkeras untuk membiarkan isterinya tinggal di hospital demi keselamatannya dan pulang ke rumah untuk mandi terlebih dahulu.

Ketik dalam perjalanan pulang, dia menerima panggilan daripada isterinya yang mengatakan bahawa kakitangan perubatan telah menghalaunya keluar dari hospital.

Waktu itu pukul 4:00 pagi dan pihak hospital meminta isteri saya untuk keluar daripada hospital seorang diri.

Farqhan.

Farqhan akhirnya terpaksa membayar kira-kira RM705 untuk kemasukan ke hospital yang berasingan daripada bil-bil lain.

Susulan kejadian itu, dia menasihati orang ramai untuk membeli pakej kad perubatan yang lebih mahal bagi mengelakkan masalah sama sepertinya berlaku.


Netizen Beri Reaksi Dengan Tindakan Kakitangan Perubatan Kepada Pesakit

Video dimuat naik oleh Farqhan itu telah meraih 1.5 juta tontonan dan menerima pelbagai reaksi daripada yang netizen yang rata-ratanya mengecam cara kakitangan hospital itu mengendalikan pesakit.

Ada juga netizen yang menceritakan mereka pernah menghadapi masalah sama walaupun mempunyai pakej kad perubatan yang lebih mahal atau tanpa kad perubatan.

Insiden ini menunjukkan beberapa cabaran yang dihadapi oleh rakyat Malaysia ketika ingin mendapatkan rawatan perubatan, terutamanya perlindungan insurans dan akses mendapatkan katil di hospital.

Ia juga menekankan tentang kepentingan komunikasi dan penyelarasan yang betul antara hospital dan syarikat insurans bagi memastikan pesakit menerima rawatan tepat pada masanya.

Artikel Berkaitan: Woman Complains Of 8-Hour Wait At Hospital Without Seeing A Doctor


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd