Now Reading
“Good Vibes Festival Sangat Dekat Di Hati Saya Kerana Ia Ditubuhkan Pada Tahun Anak Saya Lahir” – Ben Law, Founder Future Sound Asia

“Good Vibes Festival Sangat Dekat Di Hati Saya Kerana Ia Ditubuhkan Pada Tahun Anak Saya Lahir” – Ben Law, Founder Future Sound Asia

Ben Law menegaskan pihak Future Sound Asia tidak menerima atau membenarkan tingkah laku seperti yang dilakukan oleh Matty Healy dan dia sememangnya layak untuk dikecam.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Hari ini (27 Julai), sebuah majlis Sidang Media ALIFE telah diadakan pada jam 2:30 petang di The Bee, Publika dan ianya bertemakan ‘Setting The Record Straight’ bagi menjawab segala persoalan yang timbul berkenaan kekecohan yang terjadi di pentas Good Vibes Festival (GVF2023) baru-baru ini.

Pengamal media dijemput hadir untuk melontarkan persoalan yang ingin dijawab sendiri oleh pihak Future Sound Asia iaitu Ben Law, Pengasas FSA dan juga Wan Alman Ariffin, Ketua Hiburan FSA.

Majlis telah dimulakan dengan sepatah dua kata daripada Pengasas FSA iaitu Ben Law sendiri dengan ucapan yang begitu menyentuh hati di mana dia menjelaskan bahawa tahun ini sepatutnya mereka akan merayakan ulang tahun ke-10 festival ini.

Festival ini sangat dekat di hati saya, kerana ia ditubuhkan pada tahun anak lelaki saya dilahirkan. Itulah sebabnya saya berdiri di sini hari ini, merasa kesedihan yang mendalam. Tujuan Festival Good Vibes sentiasa untuk membina satu platform di mana pencinta muzik boleh bersatu dan berkongsi pengalaman bermakna. Ia adalah satu kemunduran yang besar bagi kami apabila festival kami dibatalkan akibat tindakan seorang individu.

Ben Law, Pengasas FSA.

Matty Healy Adalah ‘The Problem’

Ben dalam masa yang turut menjelaskan perkara sebenar iaitu persembahan dibatalkan oleh kerana kelakuan tidak terkawal oleh Matty Healy di mana dia telah menggunakan bahasa yang kasar/provokatif, merosakkan peralatan (drone) dan melakukan tindakan tidak senonoh di atas pentas.

“Healy dengan jelas telah melanggar panduan persembahan tempatan dan melanggar undang-undang serta peraturan di Malaysia,” ujar Ben.

Ben menegaskan pihak mereka tidak menerima atau membenarkan tingkah laku seperti ini dan kelakuan Healy sememangnya layak untuk dikecam. Malah, perbuatan tersebut juga telah meninggalkan kesan dan akibat yang buruk buat rakyat Malaysia. Kejadian ini juga tidak diduga dan bertentangan dengan perjanjian di antara pihak FSA dengan The 1975.

“Kami telah mendapat jaminan dari pasukan pengurusan The 1975 bahawa mereka akan mematuhi undang-undang dan peraturan tempatan, secara bertulis. Kami juga mengulanginya lagi dengan pengurus lawatan sebelum persembahan mereka,” jelas Ben.


FSA Akui Percaya Dengan Komitmen Yang Telah Diberikan Oleh The 1975 Ketika GVF2016 Sebelum Ini

Mengulas lanjut, Ben memaklumkan pihak FSA percaya dengan komitmen yang pernah diberikan oleh The 1975, terutamanya setelah kejayaan dan pematuhan persembahan mereka pada Festival Good Vibes 2016.

“Apabila kejadian berlaku, kami bertindak dengan segera untuk mengurangkannya sebaik mungkin,” kata Ben.

Untuk rekod, Future Sound Asia sentiasa mempunyai hubungan kerja yang produktif dengan PUSPAL dalam mendapatkan semua kelulusan yang diperlukan bagi semua persembahan antarabangsa, sama juga untuk persembahan The 1975 untuk beraksi di GVF2023.

“Kami tetap teguh dalam komitmen kami untuk mematuhi peraturan dan panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan mengekalkan kepercayaan komuniti terhadap kami. Kami akan belajar dari kesilapan kejadian ini,” ujar Ben lagi.

Ben mengakhiri ucapannya dengan menyatakan beliau akan berusaha untuk memastikan masa depan ‘live music’ di Malaysia akan lebih selamat dan harmoni. Pihak FSA juga akan memperjuangkan penyelesaian yang sesuai untuk menjamin keselamatan dan sensitiviti budaya tanpa menghalang kepelbagaian acara antarabangsa yang berkembang di Malaysia.

Artikel Berkaitan: Future Sound Asia Pertimbang Ambil Tindakan Terhadap Matty Healy


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd