Hanya Kerana Bertudung, Pelajar Islam Disamakan Dengan Simbol Neo-Nazi Oleh Profesor Universiti Di Jerman
Profesor di Jerman melarang pelajar beragama Islam untuk memakai tudung ketika menghadiri kelasnya seperti mana dia tidak membenarkan seorang neo-Nazi memakai simbol swastika.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!
Isu perkauman melibatkan agama Islam sering berlaku terutamanya di negara yang mempunyai majoriti penduduknya bukan beragama Islam.
Sesetengah masyarakat beragama Islam lebih-lebih lagi wanita yang memakai tudung kerap menjadi mangsa. Sebagai contoh, hijab mereka ditarik sesuka hati oleh individu tidak dikenali di tempat terbuka.
Bukan itu sahaja, segelintir umat Islam juga pernah dipulaukan kerana masyarakat sekeliling tidak mahu bergaul bersama mereka.
Profesor Di Jerman Hina Pelajar Beragama Islam Yang Memakai Tudung
Baru-baru ini, isu melibatkan individu bersikap ‘racist’ terhadap umat Islam sekali lagi menjadi perbualan ramai apabila seorang pelajar wanita beragama Islam telah menjadi mangsa hinaan berbaur perkauman dari seorang profesor di Jerman.
Tudung yang dipakai oleh pelajar wanita bernama Gulsen Kurt yang menuntut pengajian di Bonn-Rhein Seig University itu telah dibandingkan dengan simbol swastika neo-Nazi.
Memetik laporan Anadolu, profesor berkenaan melarang pelajarnya untuk memakai tudung ketika menghadiri kelasnya seperti mana dia tidak membenarkan seorang neo-Nazi memakai simbol swastika.
Profesor itu juga mengugut saya untuk melaporkan tentang pemakaian tudung kepada bahagian pengarah universiti.
Pelajar wanita beragama Islam, Gulsen Kurt.
Tindakan profesor itu telah mengejutkan ramai pelajar lain dan menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk meninggalkan kelas tersebut sebagai tanda protes.
Peguam, Fatih Singal yang mewakili pelajar berusia 23 tahun itu menjelaskan bahawa hak memakai tudung bagi wanita beragama Islam adalah termaktub dalam Artikel 4 Perlembagaan Jerman yang memberikan kebebasan beragama kepada seseorang.
Berikutan isu tersebut, lembaga pengarah universiti telah memohon maaf kepada pelajar wanita berkenaan atas perkara yang berlaku dan menegaskan bahawa sikap pensyarah itu tidak mencerminkan pegangan mereka.
Jerman Merupakan Negara Eropah Kedua Paling Banyak Mempunyai Rakyat Beragama Islam
Dengan jumlah penduduk seramai 84 juta, Jerman merupakan negara kedua paling banyak memiliki masyarakat beragama Islam di Eropah selepas Perancis dengan anggaran seramai 5 juta orang.
Walaupun menjadi negara kedua paling ramai masyarakat beragama Islam di Eropah, Jerman telah mencatatkan peningkatan kes perkauman dan Islamofobia disebabkan oleh propaganda sesetengah pihak.
Sehingga tahun lalu, pihak polis Jerman juga telah merekodkan sebanyak 5,372 kes xenofobia (ketakutan mendalam terhadap orang asing) dan 610 jenayah kebencian melibatkan individu anti-umat Islam.
BACA JUGA: ‘Tour Guide’ Kongsi Pengalaman Kurang Senang Ketika Bawa Pelancong Malaysia Ke Paris
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.