Now Reading
11 Fakta Anda Perlu Tahu Tentang Banduan Wanita Di Dalam Penjara Malaysia

11 Fakta Anda Perlu Tahu Tentang Banduan Wanita Di Dalam Penjara Malaysia

Berdasarkan data daripada Jabatan Penjara Malaysia, hanya tiga lokasi yang menyediakan kemudahan penjara khas untuk banduan wanita.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Seseorang yang didapati bersalah melakukan sesuatu jenayah mengikut undang-undang, mereka akan dijatuhi hukuman denda dan juga penjara.

Kebiasaannya, banduan yang dimasukkan ke dalam penjara akan menjalani program pemulihan dan mendapatkan rawatan dari segi kesihatan, kaunseling, kebajikan dan pendidikan.

Selain kaum lelaki, wanita juga tidak terkecuali dijatuhi hukuman penjara. Namun, apakah nasib mereka di sebalik tirai besi itu.

Berdasarkan sumber Wiki Impact, berikut adalah beberapa fakta tentang banduan wanita di dalam penjara.

1. Fakta Tentang Banduan Wanita Dalam Penjara: Hanya Tiga Penjara Wanita Disediakan Daripada Sejumlah 52 Penjara Seluruh Malaysia

Sumber: Jabatan Penjara Malaysia

Berdasarkan data daripada Jabatan Penjara Malaysia, banduan wanita ditempatkan di 20 institusi untuk pelbagai faktor kesalahan di seluruh negara.

Buat masa ini, hanya tiga lokasi yang menyediakan kemudahan penjara khas untuk banduan wanita iaitu:

  • Penjara Wanita Kajang, Selangor
  • Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan
  • Penjara Kota Kinabalu, Sabah

Dalam pada itu hanya 300 banduan wanita dari jumlah keseluruhan sebanyak 2000 banduan ditempatkan di Penjara Sungai Udang, Melaka yang terkenal dengan berek berasingan untuk lelaki dan wanita.

2. Fakta Tentang Banduan Wanita Dalam Penjara: Jenayah Dadah Jadi Punca Utama

Sumber: Kumparan

Berdasarkan kajian pada tahun 2016, kebanyakan banduan wanita warga Malaysia dimasukkan ke dalam penjara adalah kerana terlibat dengan jenayah dadah seperti penggunaan dan pengedaran dadah.

Menurut Jabatan Penjara Malaysia, terdapat 3,652 banduan wanita pada tahun 2021 yang membentuk kepada 5.9% daripada populasi penjara seluruh negara.

3. Fakta Tentang Banduan Wanita Dalam Penjara: Banduan Warga Asing Lebih Banyak Dijatuhi Hukuman Gantung

Sumber: Pasbana

Pada tahun 2019, 95% banduan wanita berbanding 70% banduan lelaki, dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana didapati bersalah terlibat dalam jenayah berkaitan dadah.

90% wanita yang dihukum mati kerana mengedar dadah di Malaysia adalah warga asing dari negara seperti Thailand, Indonesia, Filipina, Iran dan China.

4. Fakta Tentang Banduan Wanita Dalam Penjara: Pesalah Yang Dihukum Pertama Kali Mempunyai Latar Hidup Yang Susah

Sumber: Berita Harian

Kajian ke atas banduan wanita yang pertama kali dimasukkan ke dalam penjara mendapati bahawa mereka terlibat dalam jenayah tersebut kerana desakan hidup untuk menyara diri serta keluarga.

Malah, ada juga yang berbuat demikian kerana takut dengan tindakan yang diugut oleh suami mereka. Contohnya seperti kes merogol anak tiri dan jiran (kes subahat).

5. Fakta Tentang Banduan Wanita Dalam Penjara: Tahap Fasiliti Untuk Wanita Perlu Dinaik Taraf

Sumber: Berita Harian

Kajian yang dijalankan ke atas 80 orang banduan wanita yang disabitkan kesalahan mendapati bahawa 33.8% menunjukkan bahawa mereka akan menghadapi gangguan mental seumur hidup.

Separuh daripada pesalah wanita mempunyai gangguan penggunaan bahan seumur hidup dan hampir separuh lagi mempunyai gangguan personaliti antisosial.

Banduan wanita yang dijatuhi hukuman mati tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan khusus seperti pakar sakit puan.

Mereka difahamkan tidak menerima produk kebersihan dan kebersihan yang mencukupi dan dipaksa untuk membeli dalam kuantiti lebih banyak untuk menampung keperluan.

6. Fakta Tentang Banduan Wanita Dalam Penjara: Ibu Mengandung Dijaga Oleh Warden

Sumber: Channel News Asia

Banduan wanita yang hamil akan dipantau oleh doktor ketika berada di peringkat trimester. Sebaik sahaja tiba waktu untuk mereka bersalin, warden akan mengiringi ke hospital.

Walau bagaimanapun, ada di antara mereka yang mengalami kesukaran semasa bersalin kerana pergerakan mereka yang terhad di dalam penjara.

Banduan dengan bayi baru lahir dipisahkan daripada wanita lain dan dibekalkan dengan sel eksklusif beserta katil bayi dan keperluan bayi.

Mereka juga dibenarkan untuk menyusu bayi sehingga berusia dua tahun. Bagi penjara baharu, ruang untuk ibu menyusu juga disediakan.

Namun, ada banduan yang mendedahkan bahawa proses untuk berpantang agak terhad di dalam penjara sehingga terpaksa membuat tungku sendiri menggunakan botol plastik berisi air panas.

7. Fakta Tentang Banduan Wanita Dalam Penjara: Anak Banduan Dibenarkan Tinggal Bersama Ibu Dalam Penjara

Sumber: YouTube

Banduan wanita dibenarkan membawa masuk anak mereka di bawah umur tiga tahun ke dalam penjara dengan kelulusan Ketua Pengarah.

Walau bagaimanapun, kanak-kanak yang mencapai usia tiga tahun akan diserahkan kepada penjaga. Jika tiada penjaga, mereka akan dihantar ke pusat kebajikan sosial.

Dalam kes-kes khas, Ketua Pengarah boleh membenarkan banduan untuk menjaga anak-anak mereka melebihi umur tiga tahun.

8. Fakta Tentang Banduan Wanita Dalam Penjara: Peluang Untuk Pembelajaran Sepanjang Hayat Disediakan

Sumber: Made in UITM

Selain kelas agama dan program pembangunan diri, banduan wanita juga diberi peluang untuk meneruskan pendidikan mereka mengikut sukatan dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Beberapa pegawai dan guru akan dihantar ke penjara untuk membantu banduan dalam bidang pendidikan. Namun bagi program ijazah, Sarjana dan Phd, pembelajaran adalah berbentuk atas talian sahaja.

Kajian pada tahun 2017 mendapati bahawa tiada wanita yang melanjutkan pengajian manakala 38 banduan lelaki telah menerima sijil pelbagai bidang.

9. Fakta Tentang Banduan Wanita Dalam Penjara: Mempelajari Bidang Kemahiran Vokasional

Sumber: inreallife

Banduan diberikan pengajaran dari segi kemahiran vokasional bertujuan untuk memberi peluang bekerja kepada mereka selepas dibebaskan.

Program pemulihan tersebut membolehkan banduan mempelajari sebarang kemahiran dan merangkumi pelbagai laluan seperti menjadi tukang jahit, jurusolek mahupun tukang roti.

Namun, banduan yang akan dikenakan hukuman mati tidak layak untuk mengikuti proram berkenaan.

10. Fakta Tentang Banduan Wanita Dalam Penjara: Penyediaan Tempat Tinggal Transit Selepas Banduan Dibebaskan

Sumber: Khir Khalid

Jabatan Penjara dengan kolaborasi beberapa badan bukan kerajaan menyediakan beberapa tempat tinggal kepada bekas banduan yang baru sahaja dibebaskan selepas dipenjara lebih tiga bulan.

Inisiatif ini disediakan bagi membendung masalah tiada tempat tinggal serta bagi mengurangkan kes jenayah berulang.

Sehingga kini, terdapat 15 tempat tinggal disediakan di sekitar Malaysia. Tetapi difahamkan kesemua lokasi itu dihuni oleh bekas banduan lelaki.

11. Fakta Tentang Banduan Wanita Dalam Penjara: Usaha Untuk Memperbaharui Sistem Penjara Sedia Ada

Sumber: Penjara Wanita Kajang

Organisasi seperti Malaysia Care, SUHAKAM, Pilih Peluang Malaysia dan Amnesty International Malaysia sedang bekerjasama untuk mereformasi sistem penjara di Malaysia.

Langkah ini dilakukan bagi menghapuskan hukuman berbentuk fizikal sebagai hukuman bagi kes berkaitan dadah.

BACA JUGA: Jabatan Penjara Malaysia Perjelas Isu Banduan Cuci Kereta Polis

BACA JUGA: Kanak-kanak 4 Tahun Disumbat Dadah Terpaksa Ditidurkan Akibat Terlalu Lemah

BACA JUGA: [Video] Ajak Banduan Tengok Piala Dunia, Aksi Polis Ini Dipuji Ramai


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd