“Dia Ada Masalah Keluarga” – Nenek Mohon Orang Ramai Tak Kecam Cucu Calar Kereta
Kanak-kanak perempuan itu dilihat berkeliaran seorang diri sambil mencalarkan bahagian belakang kereta penghuni flat Blok 52 Taman Cendana, Pasir Gudang, Johor.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!
Tertekan dengan dugaan dalam kehidupan boleh menjadi punca seseorang menghadapi masalah mental sehingga bertindak melakukan sesuatu di luar kawalan.
Kesihatan mental juga penting untuk dijaga seperti mana kita menjaga organ dalaman tubuh badan.
Perunding Psikiatri Sunway Medical Centre Velocity Dr Lim Wai Jenn berkata, setiap perubahan yang berlaku dalam kehidupan boleh memberi tekanan hingga menyebabkan individu mengalami kebimbangan dan kemurungan.
BACA JUGA: Fadzilah Kamsah Dedah 7 Tanda Seseorang Hidap Anxiety Tanpa Sedar
Tular Video Kanak-kanak Perempuan Calarkan Kereta Penghuni Flat
Menerusi satu perkongsian video dimuat naik semula oleh pengguna TikTok (@wanabcvcll7), seorang wanita yang merupakan penghuni di sebuah flat sempat merakam kejadian kurang menyenangkan penghuni perumahan itu.
Dalam video tersebut, kanak-kanak perempuan itu dilihat berkeliaran seorang diri di tempat parkir kenderaan sambil mencalarkan bahagian belakang beberapa kereta menggunakan objek tajam.
Kejadian itu dipercayai berlaku di Blok 52 Taman Cendana, Pasir Gudang, Johor.
Selain itu, kanak-kanak berkenaan dikatakan dengan sengaja membuang penyepit dan juga selipar milik jiran ke tingkat bawah.
Tindakannya itu membuatkan perakam bertanya dengan nada lembut kepada kanak-kanak itu apakah tujuan dia melakukan tindakan sedemikian, tetapi tiada respon diberikan.
Video tersebut telah mendapat perhatian ramai sehingga meraih 1.7 juta tontonan setakat artikel ini ditulis.
Ramai Kecam Tindakan Kanak-kanak Calarkan Kereta Penghuni Flat
Di ruangan video tersebut, ramai netizen meluahkan rasa geram dengan tindakan kanak-kanak perempuan itu yang sesuka hati mencalarkan kereta penghuni flat berkenaan.
Tindakan itu dikecam ramai kerana menyedari kos yang perlu ditanggung untuk mengecat semula sebuah kereta.
Malah, rata-rata netizen memberi pendapat untuk melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis supaya dapat diambil tindakan sewajarnya.
Namun, ada pula segelintir netizen yang memberi cadangan untuk berjumpa dengan keluarga kanak-kanak itu terlebih dahulu bagi mengetahui punca sebenar.
Nenek Mohon Maaf Dan Minta Orang Ramai Tidak Kecam Cucu Calarkan Kereta
Memetik laporan Harian Metro, seorang nenek mualaf berusia 57 tahun dan dikenali sebagai Fatimah memohon maaf atas perbuatan yang dilakukan oleh cucunya seperti mana yang tular di media sosial.
Menurut Fatimah, cucunya berusia lapan tahun berkemungkinan kesunyian dan tertekan dengan masalah keluarga yang dihadapinya.
Nenek kepada kanak-kanak bernama Bavani itu memberitahu bahawa tindakan mencalarkan kereta dan membuang barangan jiran ke tingkat bawah adalah satu tabiat baharu.
Difahamkan, kanak-kanak berkenaan sebelum ini merupakan seorang yang berperwatakan ceria, lincah dah tidak berdepan dengan masalah pembelajaran.
Namun semuanya mula berubah apabila bapanya terpaksa tinggal berjauhan dengan keluarga dan Fatimah pula jatuh sakit.
Ibu bapa Bavani sudah bercerai dan bapanya pula terpaksa berjauhan dengan keluarga. Sejak akhir tahun lalu, saya mengalami penyakit darah tinggi dan sakit jantung, jadi saya tak mampu nak membawanya ke mana-mana.
Fatimah.
Sejak tularnya video tindakan cucunya itu, Fatimah yang merupakan penjaga kepada Bavani telah memohon maaf dan telah memberi teguran agar perkara itu tidak berulang lagi.
Selepas tularnya video tersebut, ramai pihak yang ingin mendapatkan penjelasan daripada kami dan sebagai penjaga Bavani, saya memohon maaf dan berjanji ia tidak akan berulang.
Fatimah.
Ketua Blok 52 iaitu Karim Abd Rahman juga berkata mereka tidak mempunyai sebarang masalah dengan jiran berhampiran melainkan kejadian yang berlaku baru-baru ini.
Jika anda atau sesiapa sahaja yang dikenali mempunyai masalah menguruskan kesihatan mental, di sini kami menyediakan beberapa sumber yang boleh membantu masalah tersebut:
- MALAYSIAN MENTAL HEALTH ASSOCIATION (MMHA) @+6 03 2780 6803 | E-mail: admin@mmha.org.my | Website: https://mmha.org.my/
- BEFRIENDERS @ KL: +6 03 7956 8145 (24 hours), Ipoh: +6 05 547 7933 (4pm to 11pm), Penang: +6 04 281 5161 (3pm to midnight) | E-Mail: sam@befrienders.org.my | Website: https://www.befrienders.org.my/
- ALL WOMEN’S ACTION SOCIETY (AWAM) @ Telenita helpline: +6 03 7877 0224 | E-Mail: awam@awam.org.my | Website: https://www.awam.org.my
Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram