Now Reading
Ini 9 ‘Common Sense’ Tetamu Perlu Tahu Bila Beraya Di Rumah Orang Nanti!

Ini 9 ‘Common Sense’ Tetamu Perlu Tahu Bila Beraya Di Rumah Orang Nanti!

Di sebalik keseronokan kita menziarahi keluarga dan rakan-rakan untuk beraya, jangan lupa untuk jaga adab sebagai tetamu juga.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Bermula minggu hadapan, mesti ramai yang akan sibuk menziarahi ahli keluarga sempena menyambut perayaan Aidilfitri pada tahun ini.

Selepas dua tahun aktiviti kunjung-mengunjungi ketika Syawal disekat, akhirnya inilah peluang untuk bertemu semula dengan ahli keluarga jauh yang sudah lama terpisah.

BACA JUGA: Ini 7 Checklist Barang Penting Sebelum Balik Raya. #5 Tu Penting Oi!

Dalam kita menyambut kemeriahan Aidilfitri, jangan lupa untuk menjaga adab ketika berada di rumah seseorang, tak kisahlah serapat mana kita dengan mereka sekalipun.

Sumber: Sinar Harian

‘Common sense’ bila pergi beraya

Topik tentang ‘common sense’ ketika beraya pernah dibincangkan dan segelintir netizen dilihat memberi pendapat mereka selepas perkara itu dibangkitkan oleh seorang pengguna Twitter (Shabina) baru-baru ini.

Di ruangan komen tweet berkenaan, ramai netizen turut berkongsi beberapa perkara yang perlu diambil berat jika menziarahi ahli keluarga atau rakan-rakan semasa hari raya.

Antaranya adalah seperti berikut:

1. Perhatikan kelakuan anak-anak

Tidak dinafikan segelintir kanak-kanak agak hiperaktif ketika di rumah orang lain sehinggakan ada yang sesuka hati memasuki bilik tuan rumah tanpa izin dan membuat sepah.

Walaupun ibu bapa teruja dapat berjumpa dengan kenalan yang sudah lama tidak bersua, tapi kalau boleh perhatikan dan kawal tingkah laku anak-anak supaya tidak menggangu tuan rumah.

Ada yang berkongsi pengalaman televisyen di rumah terjatuh dan juga kucing kesayangan mereka ‘dibuli’. Macam-macam ya.

2. Beritahu awal sebelum datang ke rumah

Walaupun raya Aidilfitri disambut selama satu bulan, tetapi itu tidak bermakna kita boleh sesuka hati berkunjung ke rumah orang lain pada bila-bila masa. Mana tahu mereka pun pergi beraya di tempat lain.

Seeloknya maklumkan kepada mereka terlebih dahulu dalam tempoh beberapa hari atau jam sebelum berkunjung.

3. Jangan sesuka hati cium bayi kecil

Bila nampak bayi kecil mesti ramai yang teruja melihat kecomelan mereka. Tetapi itu tidak boleh menjadikan ‘tiket’ untuk anda menggomol dan mencium mereka sepuas hati. Cukuplah sekadar tengok dan ‘menikmati’ pemandangan comel di depan anda.

Dalam masa yang sama, elakkan untuk memberi apa-apa makanan kepada mereka tanpa pengawasan ibu bapa mereka. Kita tak tahu mungkin dia ada alergi dengan sebarang bahan atau produk.

4. Basuh pinggan lepas makan

Biasa tak dengar tuan rumah cakap “eh tinggal je kat sinki tu, tak perlu basuh pun”? Selalu kan? Sebagai tetamu apa salahnya kalau kita basuh sendiri pinggan untuk meringankan beban tuan rumah yang sudah sediakan hidangan.

Tapi kalau tuan rumah sekeras-kerasnya melarang, kita ikut sahajalah permintaannya kerana mungkin mereka kurang selesa nak bagi tetamu tengok keadaan dapur.

5. Makan kuih raya berpada-pada

Memang kuih raya dihidang untuk tetamu tetapi kita kena beringat yang tuan rumah ada ramai lagi jemputan lain akan datang di rumah. Jadi beringatlah ketika sedang leka makan tart nenas sambil berborak.

Kalau makan kuih yang ada paper cup seperti kuih almond london, janganlah pula diselit kertas itu di celahan atau bawah sofa. Sebaiknya kita kumpul di satu tempat dan buang dalam tong sampah.

6. Jamah sedikit hidangan walaupun sudah kenyang

Bila pergi beraya di rumah orang, confirm kita akan makan dan minum tanpa henti. Tapi bila dah di beberapa rumah terakhir, ramai yang akan kekenyangan. Sebagai tuan rumah, mereka semestinya akan menghidangkan juadah kepada tetamu.

Walaupun anda kenyang macam mana sekali pun, sekurang-kurangnya jamahlah sedikit hidangan yang disediakan oleh tuan rumah untuk menjaga hati serta perasaan mereka.

Nanti sedih pula tuan rumah tengok kalau air yang dibuat langsung tidak diminum.

7. Jangan merokok di kawasan rumah

Elakkan merokok walaupun di luar rumah terutamanya jika tuan rumah mempunyai bayi atau anak kecil kerana asapnya tetap boleh masuk ke dalam kediaman mereka. Asap rokok itu bukan sahaja boleh membahayakan kesihatan kanak-kanak, malah sistem pernafasan orang dewasa juga boleh terganggu.

Kalau nak merokok juga, pergilah ke kawasan terbuka yang lebih jauh daripada kediaman tuan rumah bagi menghormati orang lain.

8. Jangan ‘beraya’ di rumah sehingga lewat malam

Kebiasaannya pada hari raya pertama, ramai yang akan pulun beraya dari siang hingga ke malam. Tapi kalau boleh hadkan waktu berkunjung anda sebelum senja kerana pastinya tuan rumah juga ingin berehat selepas seharian melayan tetamu yang datang ke rumah.

Agak-agak kalau tuan rumah dah tunjuk tanda kurang selesa atau nampak matanya sudah layu, segeralah berangkat untuk pulang ke rumah. Kalau rasa macam tak cukup lagi nak bersembang, jangan risau esok pun boleh jumpa lagi.

9. Jangan tanya soalan sensitif kepada tuan rumah

Walaupun sudah lama tidak berjumpa antara satu sama lain, tetapi elakkanlah bertanya soalan yang agak sensitif kepada tuan rumah terutamanya tentang rezeki, anak, politik, bentuk badan dan sebagainya.

Sesetengah soalan yang ditanya mungkin agak biasa bagi kita tetapi boleh mengguris perasaan tuan rumah tanpa kita sedar kerana kita tak tahu apa yang dilalui oleh mereka sebelum ini.


Di sebalik keseronokan menyambut perayaan Aidilfitri, sama-samalah menjaga adab ketika berziarah supaya tuan rumah pun selesa dengan kunjungan kita.

Selain itu, ramai juga yang memberi nasihat untuk ‘membutakan mata dan membisukan mulut’ ketika masuk serta keluar dari rumah seseorang supaya tiada aib tuan rumah didedahkan kepada orang lain.

Sumber: Astro Awani

Semoga raya kali ini dapat mengubati kerinduan anda untuk menziarahi saudara-mara serta kenalan yang sudah lama tidak berjumpa.

Raya-raya juga tapi jangan lupa patuhi SOP dengan memakai pelitup muka serta sentiasa membawa hand sanitizer untuk melindungi keselamatan diri dan orang lain.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd