Now Reading
Luka Pembedahan Czer Lambat Sembuh? Ini 5 Mitos & Fakta Anda Perlu Tahu

Luka Pembedahan Czer Lambat Sembuh? Ini 5 Mitos & Fakta Anda Perlu Tahu

Menurut seorang doktor kesihatan, terdapat beberapa kenyataan oleh orang ramai yang tidak benar tentang cara mempercepatkan penyembuhan luka pembedahan Caesarean (czer) buat para ibu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Bila berbicara tentang kehamilan, sudah pasti ramai ibu di luar sana inginkan proses yang normal berbanding terpaksa melakukan pembedahan Caesarean atau Czer.

Namun, pembedahan tersebut kadangkala tidak dapat dielakkan atas beberapa faktor seperti bayi songsang, masalah tumbesaran, komplikasi kehamilan dan banyak lagi.

Walau bagaimanapun, terdapat banyak kaedah para ibu boleh amalkan agar kesan luka pembedahan itu dapat pulih dengan pantas.


Ini 5 Mitos & Fakta Tentang Cara Sembuhkan Luka Pembedahan Czer

Baru-baru ini, seorang doktor kesihatan menerusi akaun laman X (Twitter @DoktorSamhan) telah berkongsi bahawa dia sering mendengar pelbagai mitos daripada orang ramai tentang perkara yang membuatkan luka pembedahan czer sembuh dengan segera.

Oleh disebabkan itu, doktor berkenaan telah menyenaraikan beberapa fakta yang betul dari segi perubatan tentang kenyataan salah tersebut. Antaranya:

#1. Telur

Mitos: Makan telur boleh menyebabkan luka berasa gatal, bernanah dan lambat sembuh.

Fakta: Untuk info, telur merupakan salah satu sumber protein yang kaya dengan kandungan vitamin dan mineral.

Setakat ini, tiada sebarang kajian yang mendedahkan bahawa pengambilan telur dalam pemakanan akan menyebabkan luka menjadi gatal, bernanah atau lambat sembuh.

Sumber: Pexels
#2. Daging Ayam

Mitos: Mengelakkan diri daripada makan daging ayam betina selepas sahaja pembedahan Czer.

Fakta: Sama seperti telur, daging ayam adalah salah satu sumber protein dan tiada larangan untuk mengambilnya selepas selesai pembedahan bagi mempercepatkan tempoh masa luka untuk sembuh.

Sumber: Freepik
#3. Ikan Haruan

Mitos: Pengambilan ikan jenis haruan atau belut amatlah digalakkan untuk mempercepatkan kadar kesembuhan luka pembedahan.

Fakta: Zat protein adalah sangat penting buat tubuh badan bagi menyembuhkan luka. Namun tiada jenis ikan yang khusus disarankan untuk makan oleh ibu selepas bersalin.

Ikan haruan, ikan linang dan belut mempunyai kandungan protein sama seperti jenis yang lain.

Sumber: Facebook Kaki Pancing
#4. Gamat

Mitos: Minum pati gamat atau menyapu minyak gamat pada bahagian luka akan mendorong kepada penyembuhan luka dengan kadar yang segera.

Fakta: Tiada kajian oleh pakar yang menyokong kenyataan mitos tersebut. Kalau anda nak tahu, kebanyakan jenis pati mengandungi kandungan garam yang tinggi.

Oleh itu, pati gamat tidak digalakkan untuk diambil dengan banyak dalam masa sehari.

Sumber: Shopee Mahsuri6Mart
#5. Sayur & Buah-buahan

Mitos: Pengambilan buah dan sayur-sayuran tidak digalakkan selepas pembedahan kerana khuatir elemen sejuk di dalamnya bakal melambatkan luka kembali pulih.

Fakta: Kenyataan di atas adalah tidak benar kerana buah dan sayur-sayuran amat kaya dengan vitamin dan garam mineral yang boleh membantu para ibu untuk mempercepatkan proses penyembuhan luka.

Sumber: Freepik

Senarai Makanan Tinggi Nutrisi Untuk Ibu Selepas Pembedahan Czer

Anda baru sahaja bersalin menggunakan kaedah Czer?

Jom kami kongsikan beberapa jenis makanan boleh diamalkan oleh ibu yang baru sahaja menjalani pembedahan Czer.

Kalau anda nak tahu, makanan-makanan tersebut kaya dengan nutrisi serta elok untuk tubuh badan. Antaranya:

  • Oat.
  • Bijirin.
  • Papaya.
  • Bawang putih.
  • Kacang badam.
  • Makanan tinggi zat besi seperti ikan bilis dan sayuran hijau.
Sumber: Pexels

Ini Jenis Makanan Ibu Berpantang Perlu Elakkan

Tempoh berpantang merupakan waktu di mana ibu perlu mengambil berat tentang pemakanan yang diambil dalam rutin harian agar badan kembali kuat.

Malah, ia juga bagi memastikan bayi baru lahir mendapat khasiat terbaik daripada ibu.

Antara makanan yang perlu dielakkan oleh ibu baru bersalin adalah seperti berikut:

  • Makanan berproses.
  • Produk tenusu seperti yogurt dan keju.
  • Buah yang tinggi kandungan asid seperti oren dan nenas.
  • Makanan laut yang mempunyai kandungan merkuri yang tinggi seperti ikan kembung dan ikan todak.
Sumber: Pexels

Risiko Pembedahan Czer Buat Ibu Hamil

Buat mereka yang bakal bergelar seorang ibu tidak lama lagi, mungkin anda tidak tahu apakah risiko kesihatan boleh dialami sekiranya melakukan pembedahan Czer.

Di sini kami kongsikan beberapa risiko menurut sumber Hello Doktor:

  • Jangkitan di kawasan pembedahan.
  • Jangkitan endometrial yang  menyebabkan demam dan sakit perut.
  • Darah beku (trombosis) di kaki yang berbahaya.
  • Pendarahan berat.
  • Pundi kencing atau ureter (tiub yang menghubungkan antara buah pinggang dan pundi kencing) cedera.

Namun begitu, usah risau. Amalan klinikal oleh doktor seperti memberikan antibiotik kepada para wanita sebelum pembedahan, bakal mengurangkan risiko yang dinyatakan.

Baca Artikel Berkaitan: Ibu Hamil Perlu Elak Skincare Yang Ada 6 Bahan Kimia Ini. Bahaya Untuk Kandungan!

Baca Artikel Berkaitan: Baru 2 Bulan Selesai Bersalin Czer, Wanita Terhamil Lagi!

Baca Artikel Berkaitan: Wanita Kongsi Kisah Pilu Lepas Janin 9 Bulan Meninggal Dunia Akibat Virus Toxoplasma Kucing


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd