Now Reading
Jom Explore 10 Tempat Best Di Pulau Langkawi. #2 Paling Wajib Pergi!

Jom Explore 10 Tempat Best Di Pulau Langkawi. #2 Paling Wajib Pergi!

Antara lokasi menarik yang menjadi tumpuan pelancong di Pulau Langkawi ialah Makam Mahsuri dan pertunjukan api di Pantai Chenang.

10 tempat menarik di langkawi

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Bila nak cari tempat untuk pergi bercuti di Malaysia, mesti Pulau Langkawi akan menjadi salah satu pilihan utama. Dipenuhi dengan flora dan fauna, lokasi ini turut diiktiraf sebagai UNESCO Global Geopark kerana kaya dengan pelbagai ‘hidden-gems’.

Antara lokasi ‘hidden-gems’ di Pulau Langkawi adalah Blue Lagoon.

BACA JUGA: Blue Lagoon Langkawi Dianggap ‘Hidden-Gem’ Di Gunung Mat Cincang

Kepada anda yang baru pertama kali ingin menerokai pulau ini bersama rakan-rakan atau ahli keluarga, jom kami bantu anda dengan menyenaraikan beberapa lokasi menarik sekitar Pulau Langkawi.

Antara beberapa lokasinya adalah seperti berikut:

1. Makam Mahsuri

Sumber: Eddy Rush Fatboys Studio & Co/Percutian Bajet

Makam ini dibina untuk memperingati kisah legenda Mahsuri binti Pandak Mayah apabila kakak iparnya iri hati dengan kecantikan yang dimiliki sehingga sanggup membuat fitnah kononnya Mahsuri tidak setia kepada suaminya.

Selepas tersebarnya fitnah itu, Mahsuri telah dihukum mati tanpa perbicaraan dan telah menyumpah Pulau Langkawi sehingga tujuh keturunan untuk membuktikan bahawa dirinya dia tidak bersalah atas fitnah tersebut.

Kalau anda datang ke Makam Mahsuri, jangan lupa untuk mempelajari dengan lebih mendalam tentang sejarah Mahsuri sambil menikmati seni bina dan kesenian Melayu di pameran muzium ini.

2. Dataran Helang

Sumber: Lembaga Pembangunan Langkawi

Dataran Helang adalah lokasi ikonik yang terkenal di Langkawi dengan patung burung helang setinggi 12 meter. Untuk pengetahuan anda, nama Langkawi ini adalah inspirasi daripada perkataan helang dan kawi.

Di Jeti Kuah, patung burung helang itu turut dilihat sebagai simbol yang mempelawa kemasukan para pelancong untuk datang ke Langkawi. Kalau datang Langkawi tapi tak ambil gambar di Dataran Helang, memang tak sah!

3. Cable Car

Sumber: Percutian Bajet

Terokai juga pemandangan hijau di Langkawi dengan menaiki kereta kabel yang paling curam di dunia iaitu Langkawi SkyCab. Pada ketinggian 708 meter dari paras laut, bukan setakat Pulau Langkawi, Selatan Thailand pun boleh dilihat dari jauh.

Paling best, anda boleh menikmati pemandangan seluas 360 darjah di dalam kereta kabel yang dinaiki.

Untuk menjadikan percutian anda lebih menarik, boleh singgah di Langkawi Skybridge dan bergambar di jambatan melengkung terletak di puncak tertinggi Gunung Machincang.

4. Underwater World Langkawi (UWL)

Sumber: Visit Langkawi/ARBA Travel

Underwater World Langkawi (UWL) adalah salah satu akuarium marin dan air tawar terbesar di Asia Tenggara. Lokasi ini dibina bagi menekankan kepentingan untuk melindungi hidupan laut dengan menyediakan beberapa tarikan kepada pelancong seperti:

  • Tropical Rainforest & River Ecosystem
  • Temperate & Sub-Antarctic and Marine Section
  • Freshwater Fish Section
  • The Seashell Display
  • The Koi Pond
  • The Reptilium Section
  • Invertebrate Section
  • The Coral Reef Section
  • The Poisonous & Venomous Section

Kalau nak best lagi, anda boleh lalu di terowong sepanjang 15 meter untuk melihat hidupan laut seperti ikan yu dan penyu besar pada jarak yang lebih dekat.

5. Pertunjukan api di Pantai Chenang

Sumber: YouTube Samaikka Neramillia

Pantai Chenang adalah tarikan yang paling meriah di Langkawi. Memang best sangat kalau nak melepak dan bersantai sambil menikmati pemandangan pantai atau matahari terbenam kerana disediakan beberapa bean bag untuk para pengunjung.

Nak lagi best, anda perlu tunggu pada waktu malam kerana akan ada pertunjukan api dengan pelbagai aksi yang cukup ‘wow’. Ada yang siap berpusing sambil bertukar-tukar gelung api sesama sendiri.

6. Kilim Karst Geoforest Park

Sumber: Paradise 101/TripGuru

Jelajahi alam semula jadi di Kilim Karst Geoforest Park dengan pelbagai tarikan flora dan fauna yang cukup memukau seperti batu kapur gergasi, fosil, gua, lagun, pantai dan hutan paya bakau. Selain banyak dengan tupai, lokasi ini juga dipenuhi dengan ketam, monyet dan biawak berendam di dalam air.

Berhampiran dengan Kilim Karst Geoforest Park, terdapat ladang ikan terapung dan dan gua tersembunyi yang padat dengan tumbuhan paya bakau berusia lebih 100 tahun.

7. Muzium Laman Padi

Sumber: Shore Exercusions Asia/Langkawi Travel Guide

Lokasi seterusnya yang anda perlu lawati ialah Muzium Laman Padi kerana Langkawi merupakan negeri pengeluar padi terbesar di Malaysia. Muzium ini dibuka pada tahun 1998 sebagai lokasi untuk mempelajari tentang padi menerusi artifak, carta, gambar serta alatan penanaman padi.

Selain belajar tentang padi konvensional dan cucuk tanam, pengunjung turut berpeluang mencuba sendiri teknik penanaman padi.

8. Kompleks Kraf Langkawi

Sumber: Jom Jalan/Langkawi Permata Kedah

Kompleks Kraf Langkawi mula beroperasi pada tahun 1996 dengan keluasan 32 ekar dan terletak di Jalan Teluk Yu di daerah Bohor, Langkawi. Reka bentuk kompleks dibina dengan bertemakan Islamik serta gabungan seni budaya Melayu.

Pengunjung berpeluang untuk melawati Muzium Warisan, Kastam dan Perkahwinan serta melakukan beberapa aktiviti kraf tangan. Jangan lupa untuk bergambar di Dataran Tangga Seribu kerana lokasi ini adalah simbolik Kompleks Kraf Tangan.

9. MARDI Agro Technology Park

Sumber: Lembaga Pembangunan Langkawi

Taman ini dibuka untuk orang ramai bagi memberi pendedahan tentang inovasi agrikultur di Malaysia. Selepas penat berjalan-jalan di MARDI Agro Technology Park, anda boleh menikmati lebih 20 jenis buah-buahan tempatan seperti durian, pulasan, mangga, rambutan, belimbing, cempedak, longan dan sebagainya.

10. 3D Art Langkawi

Sumber: Panorama Langkawi

Terdapat lebih 100 hasil seni halus yang dibina oleh 23 orang tukang dari Korea dan beberapa pakar lain. 3D Art Langkawi adalah muzium seni tiga dimensi yang kedua terbesar di dunia dan pastinya terbesar di Malaysia dengan keluasan 2,000 kaki persegi.

Beberapa zon di muzium ini yang mempunyai tema dan hasil kerja tiga dimensi tersendiri. Antaranya adalah:

  • Zon akuarium yang dipenuhi gambar hidupan laut.
  • Zon safari yang menggambarkan hidupan haiwan.
  • Zon mimpi yang membuatkan anda seolah-olah sedang berada dalam mimpi.

Sebenarnya banyak je tempat best di Langkawi untuk anda terokai. Dari lokasi pantai untuk bersantai sehingga aktiviti berseronok dan mempelajari tentang sejarah, semuanya ada.

Jadi apa tunggu lagi? Jom ajak ahli keluarga dan rakan-rakan bercuti ke Pulau Langkawi!


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd