9 Tempat Best Sekitar Lembah Klang Yang Anda Boleh Pergi Dengan Pengangkutan Awam
Ada banyak destinasi menarik sekitar Lembah Klang yang kita boleh pergi dengan menggunakan pengangkutan awam seperti Suria KLCC dan Dataran Merdeka.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!
Penduduk sekitar Lembah Klang dikira sangat bertuah kerana mempunyai pelbagai pilihan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel KL. Kalau rasa malas nak memandu, boleh je pergi ke beberapa lokasi menggunakan kemudahan ini.
Untuk mereka yang sudah ada kad Touch ‘n Go atau Rapid KL, senang sikit nak bergerak menggunakan pengangkutan ini. Yang penting kena ‘berisi’ lah kad itu ya. Tapi kalau tak ada kad pun tak apa, boleh juga beli token di mesin.
Kad atau token dah siap sedia, apa tunggu lagi? Jom mulakan perjalanan kita! Antara lokasi yang anda boleh pergi menggunakan LRT, MRT dan Monorel adalah seperti berikut:
1. Suria KLCC (LRT KLCC)
Kalau yang suka shopping barangan berjenama seperti Gucci, Prada, Louis Vuitton dan Chanel, memang tempat ini ibarat syurga bagi mereka. Tapi jika anda cuma mahu bersiar-siar sahaja, pun boleh juga sebab di luar kawasan Suria KLCC mempunyai air pancut ikonik, taman permainan kanak-kanak dan juga kawasan untuk beriadah.
BACA JUGA: Suria KLCC Buka Tirai Sambutan Aidilfitri Dengan Tema Suasana Kampung. Meriah!
2. Pavilion Kuala Lumpur (MRT Bukit Bintang)
Pavilion KL ini terkenal dengan ruang pengiklanan digital yang besar dan sering mencuri perhatian pengunjung serta pemandu yang melalui kawasan tersebut lebih-lebih lagi jika iklan itu berbentuk tiga dimensi. Memang menakjubkan!
Pavilion KL yang terletak di Bukit Bintang ini hampir sama dengan Suria KLCC kerana mempunyai banyak kedai barangan berjenama.
Dari lokasi ini, anda juga boleh berjalan kaki menuju ke McDonald’s pertama di Malaysia berdekatan WOLO Hotel.
3. MyTown & IKEA Cheras (MRT Cochrane)
MyTown adalah pusat beli-belah yang bersambung dengan IKEA Cheras. Senanglah sikit nak makan bebola daging IKEA lepas habis shopping dengan kawan-kawan atau ahli keluarga.
IKEA Cheras juga bersifat ‘mesra keluarga’ kerana mempunyai taman permainan ‘indoor’ untuk kanak-kanak. Para suami yang malas nak ikut isteri shopping di MyTown, bolehlah bawa anak ke taman permainan ini buat sementara menunggu.
4. Pasar Seni (LRT Pasar Seni)
Pasar Seni terkenal sebagai pusat sehenti tradisi untuk produk seni di Malaysia dan juga negara ASEAN. Terdapat pelbagai jenis kraftangan dijual seperti kain songket, batik Indonesia, ukiran kayu Borneo dan sebagainya.
Selain itu, ada banyak juga kafe menarik berdekatan Pasar Seni seperti Merchant’s Lane, Luckin Kopi, Mingle Cafe dan lain-lain.
BACA JUGA: 5 Kafe ‘Instagramable’ Yang Anda Patut Cuba Di Sekitar KL & Selangor
5. Pusat beli-belah 1 Utama (MRT Bandar Utama)
Siapa yang tak pernah sesat dalam 1 Utama memang kami tabik sungguh kerana pusat beli-belah ini cukup besar dan banyak kedai best. Antara tarikan menarik di sini selain kedai barangan adalah seperti Secret Garden dan FlowRider.
Kepada anda yang sukakan bunga, bolehlah pergi ke Secret Garden di tingkat Upper Roof dengan tiket masuk percuma manakala FlowRider pula sesuai untuk mereka ingin mencuba aktiviti meluncur air.
6. Mid Valley Megamall (LRT Abdullah Hukum)
Mid Valley Megamall adalah pusat beli-belah yang juga bersambung dengan The Gardens Mall serta bangunan pejabat KL Eco City. Dengan mempunyai lima tingkat keseluruhannya, Mid Valley dipenuhi dengan pelbagai kedai pakaian, beg tangan, permainan dan banyak lagi.
Kalau lapar pun jangan risau kerana ada macam-macam kedai makan yang best di sini seperti Plan B, Santan ASEAN, Madam Kwan’s, Family Mart dan lain-lain.
7. Dataran Merdeka (LRT Masjid Jamek)
Kalau anda jenis tak suka pergi ke pusat beli-belah, bolehlah ke Dataran Merdeka yang lebih terbuka sambil menikmati pemandangan bangunan sekitar Kuala Lumpur. Antara tumpuan di sini ialah Bangunan Sultan Abdul Samad yang merupakan bangunan bersejarah sejak tahun 1897.
Di sini juga anda boleh menyewa motor dan skuter elektrik untuk dibawa di sekitar Dataran Merdeka. Kalau datang sini waktu malam pun best juga sebab meriah dengan lampu berwarna-warni.
8. Berjaya Times Square (Monorel Imbi)
Kalau nak beli baju murah-murah, memang inilah tempat yang paling sesuai. Dapat pula pelanggan yang pandai berunding harga dengan peniaga seperti anda, lagi senang nak minta diskaun. Selain membeli-belah, anda juga boleh bermain di taman tema mereka. Jarang kita tengok ada taman tema dalam pusat beli-belah kan?
Untuk pengetahuan anda, taman tema berkeluasan 133,000 kaki persegi ini merupakan taman tema pertama dan terbesar di Malaysia sehingga tersenarai di dalam Malaysia Book of Records. Taman tema ini terbahagi kepada dua kawasan iaitu Galaxy Station dan Fantasy Garden. Kedua-duanya mempunyai pelbagai permainan menarik dan mengujakan.
9. LaLaport (Monorel Imbi & LRT Hang Tuah)
LaLaport Bukit Bintang City Centre (LaLaport BBCC) adalah pusat beli-belah yang baru sahaja dibuka pada Januari 2022 dengan 400 jenama kedai dari Jepun. LaLaport BBCC yang merupakan milik syarikat hartanah Tokyo, Mitsui Fundosan merupakan Lalaport kedua dibuka di luar negara selepas di Shanghai dan juga yang pertama dilancarkan di Asia Tenggara.
Antara tarikan menarik di LaLaport adalah kawasan terbuka dari atas bangunan dengan pemandangan beberapa bangunan sekitar Kuala Lumpur. Nak bergambar di sini pun cantik. Memang ‘instagramable’ betul.
Best sebenarnya bila berjalan-jalan menggunakan pengangkutan awam sebab tak perlu nak hadap kesesakan lalu lintas. Tapi untuk mereka yang tak biasa menaiki kemudahan ini, mungkin agak penat sedikit kerana perlu berjalan jauh dan berdiri di dalam tren sekiranya tiada tempat duduk.
Selain itu, tempoh perjalanan pula bergantung kepada lokasi anda. Contohnya kalau anda dari Sri Rampai nak ke Damansara, anggaran perjalanan adalah lebih kurang 40 ke 60 minit.
Kalau anda nak berjalan-jalan sekitar Lembah Klang tanpa rasa serabut hadap kereta di jalan raya, bolehlah cuba berjinak dengan LRT dan MRT.
Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.