Now Reading
[Video] Kenapa Bilal Tutup Lubang Telinga Semasa Laungkan Azan? Ini Penjelasan Ustaz Azhar Idrus

[Video] Kenapa Bilal Tutup Lubang Telinga Semasa Laungkan Azan? Ini Penjelasan Ustaz Azhar Idrus

Menurut UAI, amalan memasukkan jari telunjuk ke dalam lubang telinga mampu meningkatkan ‘volume’ suara bilal semasa azan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umum sedia maklum bahawa seorang bilal mempunyai pelbagai tugas besar untuk masyarakat termasuklah melaungkan azan.

Laungan azan adalah sebagai satu petanda kepada umat beragama Islam bahawa telah tiba masanya untuk solat fardu.

Namun anda pasti perasan bahawa bilal akan meletakkan jari telunjuknya ke dalam lubang telinga ketika mengumandangkan azan. Persoalannya kenapa?


UAI Perjelaskan Hukum Laung Azan Dengan Kuat

Soalan ini turut diajukan oleh seorang kanak-kanak berusia 12 tahun kepada pendakwah bebas Ustaz Azhar Idrus (UAI) dalam satu tazkirah.

Menerusi video di akaun TikTok (@ridzuan032460), UAI berkata hukum melaungkan azan secara kuat adalah sunat. Jika suara seseorang itu perlahan, adalah tidak afdal baginya untuk menjadi seorang muazin (bilal).

“Dalam Islam, sunat (laung) kuat kalau kita nak azan. Dalam hadis sahih, sejauh mana syaitan dengar (azan), sejauh itu ia akan berlari,” katanya.

Tambah UAI, para ulama dari empat mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafi’e dan Hanbali turut menggalakkan bacaan azan dilaungkan dengan kuat.

“Kalau boleh sampai jatuh siling masjid supaya jauh syaitan lari dan ramai orang dengar (azan). Setiap yang mendengar (azan), batang pokok, kayu, batu dan sebagainya akan menjadi saksi kepada bilal itu pada hari kiamat,” ujarnya lagi.


Jari Telunjuk Perlu Dimasukkan Ke Dalam Lubang Telinga Ketika Azan

Oleh disebabkan galakan melaungkan azan secara kuat, Nabi Muhammad SAW telah menyuruh bilal untuk memasukkan jari telunjuk ke dalam lubang telinga.

Dengan cara sedemikian, seseorang individu itu akan secara automatik bercakap dengan nada yang lebih kuat daripada kebiasaannya.

“Telinga kita kalau kita tutup lubang, kita akan cakap kuat. Sebab itu budak-budak kalau dia pakai headphone, kalau kita cakap dengan dia, dia akan jawab kuat,” jelasnya.

Disebabkan tekanan di bahagian anggota badan ini mampu menguatkan suara, maka bilal disunatkan untuk melaungkan azan sambil menutup lubang telinga dengan menggunakan jari.

Jelas ustaz itu, ada juga sesetengah pihak yang melakukan cara yang salah bagi menguatkan suara mereka seperti meletakkan tapak tangan di pipi atau menarik cuping telinga.


Hukum Pasang ‘Volume’ Azan Di Speaker Masjid Secara Kuat

Sebelum ini, pendakwah berkenaan menerusi laman YouTube juga pernah membahaskan hukum sesetengah masjid atau surau yang memasang pembesar suara secara kuat. Jelasnya, ia bergantung kepada beberapa keadaan.

Jikalau ia melibatkan amalan bukan syiar yang dilakukan seperti mengaji sebelum solat, dan ianya mengganggu orang lain, maka ‘volume’ pembesar suara haruslah diperlahankan.

Manakala untuk azan pula, pemasangan pembesar suara secara kuat adalah dibenarkan kerana ia dikira sebagai syiar Islam.

Baca Artikel Berkaitan: Tidak Perlu Guna Speaker Lebih Kuat Untuk Laungan Azan? Individu Cadang Guna Aplikasi Waktu Solat


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd