‘The Art of Healing’: Pengunjung Fahami Isu Kesihatan Mental & Sertai Terapi Melalui Seni
Acara tersebut memaparkan karya seni peserta program latihan terapi seni Social Healing Impact Peer Support (SHIPS) yang dijalankan setiap bulan oleh myWIPHealing.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
‘The Art of Healing’ telah berlangsung pada 13 dan 14 Oktober lalu di Muzium Telekom sempena sambutan Bulan Kesedaran Kesihatan Mental.
Baca Artikel Berkaitan: Pameran Seni & Terapi ‘The Art of Healing’ Pada 14 & 15 Oktober Sempena Bulan Kesedaran Kesihatan Mental
Bertemakan ‘Appreciating Beauty of Diversity with Everyone’ atau ABODE, program ini dianjurkan oleh kumpulan komuniti sosial myWIPHealing dengan sokongan Yayasan TM.
Gimik pelancaran program tersebut dilakukan dengan sesi menandatangani satu model kapal. Kapal diambil sebagai simbol sempena program latihan terapi seni Social Healing Impact Peer Support atau SHIPS yang dijalankan oleh myWIPHealing.

Intipati utama program ini adalah sesi bual bicara yang berkongsikan kisah pejuang-pejuang kesihatan mental dalam menyembuhkan diri mereka dan berhadapan dengan stigma masyarakat.
Selain itu, perbincangan panel turut diadakan bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan pakar perunding mengenai undang-undang dan dasar kesihatan mental dalam negara serta penerimaan golongan ‘neurodiverse’ oleh masyarakat.
Pameran Tonjolkan Karya Seni Peserta SHIPS
Sempena nama ‘The Art of Healing’, program tersebut mempamerkan seni terapi yang dihasilkan melalui program SHIPS. Kesemua karya seni ini dihasilkan oleh peserta sesi SHIPS yang dijalankan setiap bulan.

Di samping itu, program berlangsung dengan beberapa persembahan, antaranya persembahan muzik oleh Ahmadul Amin dan Imran Ajmain, serta ekspresi teater berjudul ‘Kita Manusia’ oleh kumpulan ASWARA.

Aktiviti Terapi Buat Pengunjung
Sepanjang program berlangsung, pada hadirin dapat turut serta dalam pelbagai aktiviti kesihatan mental dan terapi seni yang disediakan.
Kaunter saringan kesihatan mental yang dikendalikan oleh pakar-pakar dari UCSI University turut dibuka di lokasi terbabit.

Peserta turut diberi peluang untuk menyertai bengkel terapi seni yang dijalankan seperti melukis menggunakan kopi, mengecat dan menghasilkan terarium.

Pengalaman Kesihatan Mental Beri Ilham Penubuhan MyWIPHealing
Pengasas MyWIPHealing, Khairini Jamaluddin berkata idea menubuhkan kumpulan komuniti sosial itu adalah berdasarkan kepada pengalaman kesihatan mentalnya sendiri.
Idea penubuhan MyWIPHealing timbul kerana saya mengalami isu kesihatan mental ketika itu dan mendapati seni sebagai satu terapi.
Khairini Jamaluddin, Ahli Terapi Seni Bertauliah & Pendukung Kesihatan Mental.
Ditubuhkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan sekitar tahun 2020, MyWIPHealing kini menjalankan sesi terapi seni secara fizikal setiap bulan bersama para peserta.
Sesi terapi tersebut terbuka kepada orang ramai dan boleh disertai secara percuma. Individu yang berminat boleh menghubungi pihak MyWIPHealing melalui laman web mereka.
Baca Artikel Berkaitan: #YouMatter Di Suria KLCC Cipta ‘Safe Space’ Sempena Kempen Kesedaran Mental
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.