Now Reading
Boleh Ke Umat Islam Join Acara Larian Anjuran Syarikat Yang Amalkan Riba?

Boleh Ke Umat Islam Join Acara Larian Anjuran Syarikat Yang Amalkan Riba?

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohd Al-Bakri menjelaskan apabila peserta acara larian memakai t-shirt berkenaan, mereka secara tidak langsung telah mempromosikan syarikat yang mengamalkan riba kepada khalayak ramai.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sesetengah masyarakat Malaysia menjadikan aktiviti larian sebagai hobi mereka dan sambil-sambil itu ia juga boleh menyihatkan tubuh badan.

Kepada mereka yang betul-betul suka berlari, jarak 10 hingga 20 kilometer itu adalah perkara biasa dan golongan ini akan sering menyertai acara larian maraton yang dianjurkan oleh syarikat serta badan bukan kerajaan (NGO).

Tetapi, terfikir pula. Apa hukumnya kalau kita menyertai acara yang menyihatkan ini tetapi ia dianjurkan oleh syarikat yang mengamalkan perkara terlarang dalam Islam, iaitu riba?


Hukum Riba Dalam Islam

Bagi menjawab persoalan ini, bekas Mufti Wilayah Persekutuan iaitu Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tampil memberikan penjelasan menerusi laman web Maktabah Al-Bakri.

Beliau menyatakan bahawa acara perlumbaan larian adalah satu aktiviti yang baik untuk tubuh badan seseorang kerana ia menyihatkan.

Sumber: Runner’s World

Namun dari segi pengamalan riba pula, hukumnya jelas sebagai haram berdasarkan hadis serta al-Quran.

Allah SWT berfirman:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ

Maksudnya: Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. (Surah al-Baqarah, ayat ke-275)


Dalam sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ»، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: «الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ»

Maksudnya: Hendaklah kamu menjauhi tujuh perkara yang membinasakan (tujuh dosa-dosa besar). Mereka (sahabat) bertanya: ‘Wahai Rasulullah, apakah perkara-perkara tersebut?’ Baginda bersabda: ‘Syirik kepada Allah, sihir, membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan alasan yang dibenarkan, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri dari medan perang, dan menuduh (berzina) terhadap wanita-wanita yang memelihara maruah diri serta beriman lagi baik (lalai daripada pengaruh sekeliling)’,

Riwayat al-Bukhari (2766) dan Muslim (145).


Dr Zulkifli Perjelas Hukum Sertai Acara Larian Anjuran Syarikat Mengamalkan Riba

Imam Ibn Kathir juga menyebutkan bahawa Allah SWT melarang mereka daripada bersatu atas kebatilan dan tolong-menolong dalam bekerjasama atas perkara yang haram serta berdosa.

Jadi bagaimana seseorang itu dikatakan menyokong syarikat yang mengamalkan riba dengan menyertai acara larian?

Sumber: Runner’s World

Kalau anda perasan, setiap peserta akan diberikan t-shirt dengan beberapa tulisan serta logo syarikat yang berkerjasama.

Dr Zulkifli menjelaskan apabila peserta memakai t-shirt berkenaan, mereka secara tidak langsung telah mempromosikan syarikat yang mengamalkan riba kepada khalayak ramai.

Promosi tersebut dianggap sebagai ‘wasilah’ atau perantara yang membolehkan berlakunya peningkatan dalam amalan riba seperti yang disebutkan oleh Imam al-‘Izz bin Abdul Salam:

“Apa-apa wasilah yang membawa kepada tujuan yang sangat baik, maka wasilah tersebut juga dikira sebaik-baik wasilah. Dan apa-apa wasilah yang membawa kepada tujuan yang sangat buruk, maka wasilah tersebut juga dikira seburuk-buruk wasilah”. (Lihat Qawa‘id al-Ahkam, 1/53).


Kesimpulan

Umat Islam tidak sepatutnya menyertai acara yang melibatkan syarikat mengamalkan riba dan disifatkan sebagai haram serta berdosa jika seseorang masih berdegil untuk mengikutinya.

Dr Zulkifli turut menasihati para pendakwah agar tidak memukul rata terhadap peserta yang mengambil bahagian kerana boleh jadi jika mereka tidak mengetahui tentang syarikat yang mengamalkan riba tersebut.

Dalam pada itu, beliau juga berharap pihak penganjur lebih cakna serta prihatin dengan sensitiviti umat Islam apabila menganjurkan sesebuah acara.

Artikel Berkaitan: Lambat Beli Beras Punca Rezeki Terputus? Ini Penjelasan Dr Zulkifli

Artikel Berkaitan: Boleh Ke Orang Islam Makan Siput Escargot?

Artikel Berkaitan: Dr Zulkifli Perjelas Hukum Makan Salad Udang Hidup Yang Viral. Boleh Ke?

Sumber: Maktabah Al-Bakri


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd