Now Reading
“Ringan Sedikit Beban Kami”- Penerima Kit Makanan Dari 99 Speed Mart & JAWI Luah Kesyukuran Dengan Sumbangan Sempena Aidilfitri

“Ringan Sedikit Beban Kami”- Penerima Kit Makanan Dari 99 Speed Mart & JAWI Luah Kesyukuran Dengan Sumbangan Sempena Aidilfitri

Sebanyak 10,000 kit makanan diagihkan oleh 99 Speed Mart untuk golongan asnaf menjelang 1 Syawal 2024.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Bulan Ramadan adalah bulan di mana umat Islam digalakkan untuk meningkatkan amal ibadah seperti melakukan solat sunat dan juga bersedekah. Dengan melakukan amalan-amalan ini juga, ia secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan sesama masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

Agak rugi bagi mereka yang tidak mengambil peluang ini untuk meningkatkan berat timbangan pahala mereka kerana setiap kebaikan yang dilakukan, Allah SWT akan memberikan ganjaran pahala sehingga 70 kali ganda.

Di bulan yang mulia ini juga, semua pintu syurga dibuka seluas-luasnya seperti mana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ

Maksudnya: Apabila menjelmanya Ramadan, nescaya dibuka pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Oleh disebabkan itu juga, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengambil kesempatan ini untuk membantu meringankan beban masyarakat di bulan yang penuh keberkatan ini.


JAWI Anjur Majlis Penyerahan Kit Makanan Sumbangan 99 Speed Mart Kepada Para Penerima

Pada Rabu lalu (3 April), JAWI dengan kerjasama 99 Speed Mart telah mengagihkan bantuan bersempena dengan bulan Ramadan pada tahun ini berupa 500 kit makanan berisi barangan asas.

Setiap satu kit itu dianggarkan bernilai RM63 untuk setiap satunya dengan mengandungi beberapa makanan seperti serbuk Milo, bijirin Honey Star, sebotol air dan sebagainya.

Sumber: TRP

Majlis penyerahan kit makanan itu telah dihadiri oleh Pengarah JAWI iaitu Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail yang turut mengagihkan bantuan kepada para penerima yang hadir di Ruang Legar JAWI Food Bank.

Turut serta dalam majlis tersebut adalah Ketua Pegawai Operasi 99 Speed Mart Sdn Bhd, Yong Eng Kwang. 

Alhamdulillah pertamanya kami bersyukur kepada Allah SWT kerana pada petang ini (3 Mac) JAWI Food Bank bersama dengan 99 Speed Mart yang diketuai oleh Encik Yong, kami dapat memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan menjelang perayaan Aidilfitri.

Pengarah JAWI, Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail.

Jelas beliau lagi, JAWI Food Bank adalah sebuah entiti yang melaksanakan bantuan dari sumber-sumber seperti sumbangan daripada pelbagai pihak termasuklah 99 Speed Mart, rakan strategik yang lain serta Tabung Musaadah JAWI.

Ajib menjelaskan bahawa bantuan ini diberikan dengan tujuan untuk mewujudkan perasaan gembira kepada para penerima di samping membuatkan mereka berasa bahawa ada pihak yang mengambil berat tentang kebajikan mereka.

Sumber: TRP

Kata beliau, bantuan ini dikhaskan bagi golongan asnaf yang memerlukan tanpa mengira latar belakang agama sama ada mereka penganut beragama Islam atau bukan.

Sumbangan kita kepada mereka tidak mengira sesama Islam atau tidak sebab Tabung Musaadah JAWI ditubuhkan ketika Covid-19 melanda negara pada waktu itu. Dan saya melihat peranan masjid dan surau perlu untuk dinilai semula.

Pengarah JAWI, Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail.

Bagi pihak 99 Speed Mart pula, Yong berkata bantuan ini secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan kasih sayang antara masyarakat.

Sumber: TRP

Para Penerima Anggap Sumbangan Ini Dapat Ringankan Beban

Susulan pengagihan sumbangan kit makanan ini, team TRP berkesempatan untuk menemu ramah beberapa penerima di sekitar Ruang Legar JAWI Food Bank.

Ketika sempat berbual dengan mereka, rata-ratanya meluahkan rasa bersyukur dengan bantuan yang diterima kerana mereka berpendapat ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban untuk membeli barangan keperluan asas bagi seisi keluarga.

Antara penerima yang sempat ditemu bual adalah seorang pekerja pembersihan di JAWI iaitu Nurasyikin binti Ahmad, 44, yang menzahirkan perasaan gembira mendapat kit makanan ini dan berharap agar usaha baik pihak JAWI Ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

Wanita dari Sumatera, Indonesia ini berkata gajinya yang ‘cukup-cukup makan’ menjadikan bantuan ini menjadi sangat bermakna untuk menampung sedikit kos membeli barangan keperluan.

Saya memang tak sabar nak bawa balik kit ini untuk anak-anak kerana pastinya mereka sangat teruja. Ada sesetengah barang yang saya beli sekarang dah kurang mampu. Dengan bantuan ini juga dapat membantu persiapan raya keluarga saya.

Nurasyikin binti Ahmad.
Sumber: TRP

Seorang lagi penerima iaitu Agus Dimas Adrian, 18, yang hadir ke majlis berkenaan bersama kesemua ahli keluarganya seramai empat orang turut berharap agar bantuan ini dapat kekal diteruskan oleh pihak JAWI kerana dia berasa gembira pemberian tersebut dapat membahagiakan keluarganya.

Ketik Agus ditemu bual, lelaki ini dilihat bergenang air mata ketika menjawab pertanyaan kami mengenai bagaimana makanan ini dapat menggembirakan ahli keluarganya.

Keluarga saya sahaja yang berada di Malaysia. Yang lain semua di Indonesia. Jadi hanya kami sahaja yang beraya saya di sini. Saya pun baru tujuh bulan bekerja di Malaysia. Kami satu keluarga terharu bila ada pihak yang mengambil berat tentang kami.

Agus Dimas Adrian.
Sumber: TRP

Satu-satunya warga Malaysia yang ditemu bual oleh kami iaitu Nur Ain Julie, 53, pula menzahirkan perasaan teruja apabila dia tersenarai untuk mendapat bantuan ini lebih-lebih lagi menjelang perayaan Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Saya dah 32 tahun duduk di Semenanjung sejak tamat belajar di UiTM Shah Alam dari tahun 80an. Anak-anak saya dah besar dah. Tapi sejak barang makin naik, saya terasa bebannya. Sumbangan ini membuatkan hati saya ‘ringan’ sedikit kerana dapat mengurangkan kos untuk membeli barangan keperluan.

Nur Ain Julie.
Sumber: TRP

Sebagai info, sumbangan ini pertama kali diberikan pada Mei 2020 bagi menyantuni golongan asnaf serta B40 yang memerlukan di Wilayah Persekutuan.


99 Speed Mart Serikan Ramadan & Syawal Bersama Golongan Kurang Bernasib Baik dan Asnaf

Di bulan Ramadan yang mulia ini, 99 Speed Mart turut menyantuni golongan kurang bernasib baik dan asnaf di mana 10,000 kit makanan ramadan telah disumbangkan untuk mengurangkan bebanan golongan sasar.

Sumber: TRP

Majlis penyerahan kit makanan Ramadan kali ini telah berlangsung serentak dengan Majlis Berbuka Puasa bersama Kumpulan Sasar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat KPWKM yang turut diserikan dengan kehadiran Datuk Seri Hajah Nancy Shukri selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat.

Majlis berbuka puasa tersebut telah diadakan di Rumah Seri Kenangan, Cheras.

Sumber: TRP

Selain itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Exco Kerajaan Tempatan & Pelancongan Negeri Selangor serta Majlis-majlis Agama Islam turut menerima kit makanan tersebut untuk diserahkan kepada umat Islam yang daif dan asnaf.

Antara Majlis Agama Islam yang terlibat adalah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), dan juga Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).


1,500 Kit Makanan Diagihkan Mengikut Keperluan

Untuk makluman, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat telahpun menerima sejumlah 1,500 kit makanan – manakala selebihnya pula diagihkan mengikut keperluan kepada setiap kementerian, exco, dan majlis-majlis agama yang terlibat.

Sumber: TRP

Kit makanan ramadan kali ini berjumlah RM50,000 di mana ia merangkumi barangan asas seperti gula, biskut, minuman manis, bihun, tepung, gandum, santan, serta ketupat.

Penyerahan kit makanan ini merupakan kali ke-8 dianjurkan oleh 99 Speed Mart yang pada ketika ini memiliki 2,579 cawangan di seluruh negara dan juga terkenal dengan slogan “Dekat Lagi Murah atau Near n’ Save”.

“Kami sentiasa peka dengan keperluan rakyat Malaysia dan pada bulan Ramadan dan menjelang Syawal, kami yakin bantuan seperti ini akan menjadi penyeri serta mengurangkan bebanan penerima yang kebanyakan mereka adalah dari kumpulan B40.

“Mereka pun sentiasa menjadikan 99 Speed Mart sebagai pilihan mereka, jadi ini bukan sahaja satu pemberian sebaliknya ia adalah tanggungjawab kami kepada rakyat Malaysia,” jelas Yong Eng Kwang selaku Ketua Pegawai Operasi 99 Speed Mart.

Sumber: TRP

Mengulas lanjut, Yong berkata selain Ramadan, kit makanan ini turut diedarkan ketika program bersempena dengan Tahun Baru Cina dan juga Deepavali.

Diharapkan agar pengagihan kit makanan ramadan 99 Speed Mart ini akan menyerikan lagi sambutan Syawal di samping mengeratkan silaturahim.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd