Now Reading
4 Lelaki Pakistan Ditahan Polis Kerana Pukul Pemandu Kereta Rempuh Rakan Mereka Hingga Maut Di Pagi Raya

4 Lelaki Pakistan Ditahan Polis Kerana Pukul Pemandu Kereta Rempuh Rakan Mereka Hingga Maut Di Pagi Raya

Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, hasil siasatan mendapati kejadian memukul pemandu itu berlaku pada jam 8.10 pagi selepas kemalangan berlaku.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada pagi 1 Syawal kelmarin (10 April), tiga lelaki warga Pakistan maut, manakala tiga yang lain parah selepas dirempuh kereta semasa mereka sedang dalam perjalanan untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Kejadian terbabit berlaku di Kilometer 16 Jalan Teluk Intan-Bidor, dekat Batu 12 Changkat Jong melibatkan seorang suspek iaitu pemandu lelaki kereta jenis Proton Saga.

Pemandu sudah ditahan, positif dadah

Suspek yang berusia 36 tahun itu didapati positif ganja semasa kejadian berlaku dan kini sedang ditahan reman oleh pihak polis selama empat hari menegikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Turut tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) semasa kejadian berlaku dan video selepas kemalangan yang menunjukkan beberapa individu memukul pemandu kereta terbabit.

Polis tahan empat lelaki Pakistan pukul pemandu kereta langgar rakannya

Susulan itu, pihak polis turut menahan empat lelaki warga Pakistan kerana memukul pemandu kereta terbabit yang telah melanggar rakan senegara mereka.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata mereka ditahan pada jam 4.20 petang semalam (11 April) selepas polis mengenal pasti suspek menerusi video tular berkenaan.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian memukul pemandu itu berlaku pada jam 8.10 pagi selepas kemalangan berlaku.

Jelasnya Ahmad Adnan, pemandu berkenaan membuat laporan polis berhubung perkara itu pada kira-kira pukul 1 tengah hari semalam.

Tiada kecederaan serius dialami pemandu, hanya luka di kepala

Menurutnya lagi, tiada kecederaan serius dialami pemandu kereta terbabit melainkan luka di bahagian kepala.

“Kes memukul ini telah dibuka siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959,” katanya dipetik Harian Metro.

Terdahulu, tiga warga Pakistan yang maut dalam kemalangan itu dikenali sebagai Zahir Nur Muhammad, 31; Shayan Mumtazali, 22 dan Adil Noorullah, 33, manakala tiga yang cedera Kamran Muhammad Wali, 26; Yasen Afzalsha, 19 dan Salem Said Rasol, 23, dirawat di Hospital Teluk Intan.

Suspek akan dituduh di mahkamah hari ini berkaitan dadah

Ahmad Adnan berkata pemandu kereta terbabit akan dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Majistret Teluk Intan, hari ini (12 April).

Pada masa sama, rakaman kemalangan yang tular di media sosial juga mendapat perhatian ramai, di mana rata-rata netizen mengecam pemandu kereta terbabit yang memandu di bawah pengaruh dadah.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd