Now Reading
Cukai Tertunggak Jadi Punca LHDN Sekat Perjalanan Lebih 180,000 Individu

Cukai Tertunggak Jadi Punca LHDN Sekat Perjalanan Lebih 180,000 Individu

Sekatan yang dilakukan oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ini adalah bertujuan bagi mewujudkan komuniti yang bertanggungjawab untuk membayar cukai.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umum sedia maklum, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah menetapkan bahawa cukai pendapatan perlu dibayar oleh mereka yang mempunyai gaji melepasi syarat ditetapkan.

Kegagalan mereka untuk membuat pembayaran boleh memberikan kesan negatif kerana akan melibatkan tindakan mahkamah sehingga mengakibatkan harta anda disita atau dilelong.

Walau bagaimanapun, masih ada pihak yang enggan membayar cukai pendapatan mereka dan tidak mengendahkannya sehingga menyebabkan tunggakan.


Lebih 180,000 Individu Dihalang Ke Luar Negara

Memetik laporan Astro Awani, LHDN telah menyekat perjalanan seramai 182,666 individu ke luar negara kerana mereka mempunyai tunggakan cukai yang belum dilunaskan.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying menjelaskan bahawa 171,571 kes adalah melibatkan individu yang mempunyai tunggakan cukai pendapatan manakala 11,095 orang yang lain pula mempunyai isu dari segi cukai keuntungan harta tanah.

LHDN menguatkuasakan sekatan perjalanan ke luar negara mengikut peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 104, Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Seksyen 22, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.
Sumber: MalayMail

Jelas beliau lagi, pihak LHDN juga telah bekerjasama dengan Jabatan Imigresen bagi melaksanakan sekatan ini dengan terkawal.

Mereka telahpun dihubungi dengan menghantar surat peringatan, menerusi e-mel dan juga talian telefon bagi memaklumkan mengenai tunggakan cukai mereka yang perlu diselesaikan.

Hui Ying berkata tindakan yang dilakukan ini bertujuan untuk mewujudkan masyarakat yang bertanggungjawab dan sama-sama membangunkan negara dengan membayar hasil cukai seperti ditetapkan.


Pelbagai Reaksi Dari Orang Ramai Selepas Mengetahui Tentang Sekatan Ini

Berita mengenai sekatan perjalanan itu telah meraih pelbagai reaksi oleh netizen di media sosial sehingga ada yang mengaitkannya dengan keluarga ahli politik yang dahulunya memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Malah, ada juga sesetengah netizen yang menganggap tindakan itu seperti bersifat ‘berat sebelah’ kerana dipercayai tidak dikenakan kepada golongan yang lebih kaya.

“Marhaen je yang kena. Yang lain senang-senang je keluar,” ujar netizen.

Sumber: X

Cukai Pendapatan Peribadi

Untuk rekod, cukai pendapatan dinilai pada asas tahun semasa dan kebiasaannya dipanggil Tahun Taksiran yang akan berlangsung bermula dari 1 Januari sehingga 31 Disember.

Berikut merupakan tarikh penting berkaitan dengan pemfailan cukai peribadi yang perlu anda ketahui. Antaranya:

  • Penghantaran Borang EA oleh majikan kepada pekerja tidak lewat dari hari terakhir bulan Februari bagi tahun berikutnya.
  • Tarikh penutup pemfailan  Borang BE, BT, M, MT oleh individu yang tidak menjalankan perniagaan (seringkali dirujuk sebagai pekerja) adalah pada 30 April bagi tahun berikutnya.
  • Tarikh penutup memfailkan Borang B oleh  individu yang menjalankan perniagaan selaku pemilik tunggal adalah pada 30 Jun untuk tahun berikutnya.
  • Tarikh penutup memfailkan Borang P oleh rakan-rakan kongsi termasuk bagi perkongsian liabiliti terhad PLT adalah pada 30 Jun untuk tahun berikutnya.
Sumber: MalayMail

Cara-cara Untuk Isytihar Cukai

Bagi mereka yang belum pernah mengisytiharkan cukai pendapatan, anda boleh berbuat demikian menerusi portal rasmi MyTax, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Cara-caranya adalah seperti berikut:

#1. Layari Laman Web MyTax

Selepas melayari laman web MyTax, anda perlu memilih jenis pengenalan diri yang terdiri daripada:

  • Nombor kad pengenalan.
  • Nombor passport.
  • Nombor tentera.
  • Nombor polis.

Kemudian anda juga perlu sertakan nombor pengenalan diri masing-masing dan klik ‘hantar’.

Buat mereka yang mendaftar untuk kali pertama, pembayar cukai perlu melengkapkan borang CP55D secara dalam talian dan sertakan alamat e-mel.

Pautan pengaktifan Log Masuk kali pertama akan terus dihantar kepada e-mel pembayar cukai yang berdaftar dengan LHDN.

Sumber: MyTax
#2. Klik e-Filing

Selepas berjaya masuk, anda perlu menekan e-Filing di dashboard tertera kemudian pergi ke e-Borang (e-Form).

Selepas klik bahagian tersebut anda harus memilih tahun taksiran untuk pengguna dan melengkapkan borang itu dengan maklumat yang tepat.

Untuk info, kategori e-Borang terbahagi kepada beberapa kategori pencukaian iaitu:

  • e-BE (individu pemastautin tiada punca pendapatan perniagaan).
  • e-B (individu pemastautin ada punca pendapatan perniagaan).
  • e-BT (individu pemastautin yang terdiri daripada pekerja berpengetahuan atau pekerja berkepakaran yang telah diluluskan oleh Menteri).
  • e-M (borang pengembalian cukai bagi individu bukan pemastautin).
  • e-MT (individu bukan pemastautin yang terdiri daripada pekerja berpengetahuan yang tertakluk pada kelulusan oleh Menteri.
Sumber: MyTax
#3. Pilih Kategori e-BE (Individu Makan Gaji)

Buat mereka yang menerima pendapatan daripada majikan, anda harus memilih kategori e-BE untuk isi e-Filing cukai pendapatan individu tahun 2022.

Sejurus itu, tab lain akan dibuka memaparkan Borang Nyata Individu yang perlu diisi oleh setiap pengguna.

Paling penting, jangan terlepas daripada mengisi kesemua bahagian pada borang berkenaan iaitu profil individu, profil lain, pendapatan serta pelepasan cukai sebelum klik pada ruang tandatangan dan hantar.

Jangan lupa untuk memuat turun salinan e-Borang buat simpanan peribadi.

Sumber: MyTax

Baca Artikel Berkaitan: T20 Sumbang 85% Cukai Pendapatan Peribadi Pada Tahun 2022 – LHDN

Baca Artikel Berkaitan: Cukai Barangan Online 10% Hanya Untuk Produk Import Sahaja – Fahmi Fadzil

Baca Artikel Berkaitan: eMADANI: Gagal Tebus Sumbangan RM100 Gara-gara Tak Isytihar Cukai


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd