Now Reading
LHDN Wajibkan Guna E-Perkhidmatan Bagi Pencukaian Bermula 1 September

LHDN Wajibkan Guna E-Perkhidmatan Bagi Pencukaian Bermula 1 September

Antara e-Perkhidmatan yang diwajibkan bermula 1 September ini adalah pendaftaran nombor pengenalan cukai, permohonan nombor pin dan bayaran pendahuluan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Dalam satu kenyataan media hari ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan penggunaan e-Perkhidmatan melalui gerbang perkhidmatan Portal MyTax akan diwajibkan secara berperingkat mulai 1 September ini.

Perubahan itu dibuat sejajar dengan transformasi teknologi dan pendigitalan sistem perkhidmatan percukaian. Ia juga bertujuan bagi memperkasa dan melestari pendigitalan sistem penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Kewajiban menggunakan sistem e-Perkhidmatan bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan perkhidmatan secara dalam talian secara berperingkat dan sepenuhnya menjelang 1 Januari 2024. Perkhidmatan dalam talian ingin dilakukan secara sepenuhnya iaitu dari proses mula hingga akhir atau End-to-End (E2E).

LHDN di dalam kenyataannya juga berkata bahawa langkah itu merupakan antara usahanya dalam menerapkan elemen Awareness, Education and Services (A.E.S) di semua Kaunter Perkhidmatan LHDN.

Dengan menggunakan Perkhidmatan E2E bagi semua transaksi termasuk kaedah pembayaran secara dalam talian, transaksi yang dilakukan akan direkod, selamat dan teratur.


6 Perkhidmatan LHDN Wajib Dilakukan Secara Dalam Talian

Setakat ini, enam e-Perkhidmatan yang wajib digunakan bermula 1 September adalah seperti berikut:

  • Pendaftaran nombor pengenalan cukai (TIN)
  • Permohonan nombor pin
  • Pengemaskinian maklumat
  • Bayaran pendahuluan
  • Pengemukaan borang nyata, dokumen percukaian dan surat cara
  • Permohonan dan rayuan

Namun begitu, pendaftaran TIN secara manual masih boleh dilakukan bagi kategori entiti Labuan, pendapatan petroleum, harta pusaka, penghibur awam bukan pemastautin, dan penerima bukan pemastautin bagi tujuan bayaran cukai pegangan.

Bagi e-perkhidmatan yang belum diwajibkan, pengguna masih digalakkan untuk menggunakannya seperti bagi tujuan pembayaran cukai. Dua e-perkhidmatan yang belum diwajibkan adalah e-CKHT dan e-Permohonan Pindaan BE.

e-CKHT merupakan aplikasi yang membolehkan semua kategori pembayar cukai membuat pengisian dan penghantaran Borang Nyata Cukai Keuntungan Harta Tanah (BNCKHT).

Aplikasi e-Permohonan Pindaan BE pula membolehkan pembayar cukai individu yang terlebih melaporkan pendapatan atau terkurang menuntut pelepasan semasa mengemukakan e-Borang memohon pindaan.

Orang ramai boleh merujuk kepada panduan penggunaan ePerkhidmatan DI SINI melalui butang Panduan Pengguna.

Pertanyaan berkaitan boleh diajukan kepada LHDN melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 (Luar Negara); HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL DI SINI.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd