Now Reading
Putera Mateen Sah Bergelar Suami Kepada Dayang Anisha

Putera Mateen Sah Bergelar Suami Kepada Dayang Anisha

Sebanyak 17 das tembakan dilepaskan di perkarangan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, Brunei selepas Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah dan Dayang Anisha Rosnah Adam selamat diijabkabulkan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Tarikh 11 Januari 2024 menjadi hari bersejarah buat Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah apabila baginda pada hari ini telah sah bergelar suami kepada pasangan pilihannya iaitu Dayang Anisha Rosnah Adam dengan jumlah mahar sebanyak seribu Ringgit Brunei tunai.

Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja telah berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, Brunei.

Istiadat tersebut yang turut disiarkan secara langsung di laman Facebook Radio Televisyen Brunei (RTB) News menyaksikan Putera Mateen yang berbusana berwarna putih dan Dayang Anisha selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz sekitar jam 2:17 petang tadi.

Majlis yang penuh bermakna itu turut disaksikan oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah serta kaum kerabat diraja.

Istiadat bersejarah itu dimulakan selepas Putera Mateen tiba di perkarangan pintu masjid. Kemudian awang-awang berbaju hitam menyalakan Dian Empat di setiap penjuru tempat duduk baginda sebagai simbolik keunikan Istiadat Diraja Brunei.

Selepas selesai diijabkabul, 17 das tembakan telah dilepaskan di perkarangan masjid sebagai tanda Istiadat Akad Nikah Diraja telah disempurnakan sebelum ia diakhiri dengan bacaan doa selamat.

Sebelum bergerak pulang, Putera Mateen telah bersalaman dengan ayahanda dan juga bapa kepada pengantin diraja perempuan iaitu Awang Adam Abdullah.


Istiadat Perkahwinan Selama 10 Hari

Amalan sejak turun-temurun ini mempamerkan majlis istiadat perkahwinan selama 10 hari yang telah bermula sejak 7 Januari dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja.

Acara kemuncak dalam istiadat perkahwinan diraja selama 10 hari ini adalah Majlis Bersanding Pengantin Diraja di Istana Nurul Iman yang akan diadakan pada 14 Januari.

Majlis persantapan diraja pula diadakan pada malam 15 Januari dan majlis istiadat akan berakhir pada 16 Januari dengan bacaan doa selamat serta Menutup Gendang Jaga-Jaga.

Dayang Anisha Rosnah Adam. (Sumber: X (Twitter @arfdy12)

Profil Tentang Putera Mateen Dan Dayang Anisha

Untuk anda yang kurang mengenali Putera Mateen dan Dayang Anisha, berikut adalah sedikit latar belakang mengenai mereka berdua.

Putera Mateen merupakan anakanda Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bersama Datin Paduka Seri Mariam Abdul Aziz manakala Dayang Anisha pula adalah cucu kepada Pehin Datuk Isa yang merupakan penasihat khas kepada Sultan Brunei.

Sumber: Instagram

Putera Mateen dan pasangannya mempunyai jarak umur tiga tahun di mana Putera Mateen berusia 33 tahun dan Dayang Anisha pula berusia 30 tahun.

Memetik Sinar Plus, Putera Mateen dan Dayang Anisha dikatakan mula rapat pada tahun 2019 dan hubungan mereka mula dikesan pada tahun 2022 apabila dilihat hadir bersama ketika majlis perkahwinan diraja Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah bersama Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar yang diadakan pada 15 Januari 2022 di Istana Nurul Iman.

Baca Artikel Berkaitan: Istiadat Perkahwinan Diraja Putera Mateen & Pasangan Siap Ada Lagu Rasmi, Dicipta Khas Oleh Peserta Pertandingan


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd