Now Reading
TMJ Bakal Dilantik Pemangku Sultan Johor Ketika Sultan Ibrahim Jalankan Tanggungjawab YDPA

TMJ Bakal Dilantik Pemangku Sultan Johor Ketika Sultan Ibrahim Jalankan Tanggungjawab YDPA

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah mengamanahkan Kerajaan Negeri Johor untuk memberi tunjuk ajar kepada Tunku Mahkota Johor.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Hari ini (22 November), Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah bertitah bahawa Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibrahim akan dilantik sebagai Pemangku Sultan sepanjang baginda menjalankan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Ke-17.

Menerusi undang-undang Perlembagaan, baginda perlu melepaskan tampuk pemerintahan negeri kepada Tunku Mahkota Johor sepanjang tempoh memegang jawatan sebagai YDPA.

Dalam pada itu, baginda mengamanahkan Kerajaan Negeri Johor untuk memberi tunjuk ajar kepada TMJ sepanjang ketiadaan Sultan Ibrahim.

Sumber: Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

“Sama macam mana saya dibimbing sebagai Pemangku Sultan ketika Almarhum ayahanda saya menjadi Yang di-Pertuan Agong pada 1984.

“Pemangku Sultan akan memikul tanggungjawab untuk menjaga negeri dan rakyat Johor, serta menjalankan segala hak dan kuasa pemerintahan negeri kecuali sebagai Ketua Agama Islam.

“Walaupun saya bersemayam di Istana Negara, ini bukan bermakna saya berhijrah terus ke Kuala Lumpur. Saya akan selalu balik ke Johor kerana ini kampung saya. Harap orang Johor janganlah lupakan saya dan janganlah buat tak kenal selepas ini,” titah baginda menerusi perkongsian di Facebook.


Baginda Jaga Kepentingan Rakyat

Ketika berlangsungnya Majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-65 di Dewan Singgahsana Istana Besar Johor Bahru hari ini, baginda turut bertitah bahawa pelantikan sebagai YDPA bukanlah satu kenaikan pangkat.

Baca Artikel Berkaitan: [Terkini] Sultan Johor Dilantik Sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17

Namun ia disifatkan sebagai tambahan tanggungjawab yang memerlukan pengorbanan masa serta tenaga sebagai Ketua Negara.

Sultan Ibrahim bertitah, keutamaan baginda bukan untuk menjaga kepentingan bidang politik yang terdiri daripada 222 wakil rakyat.

Namun sebaliknya sejumlah 33 juta warga Malaysia yang akan menjadi kepentingan dan keutamaan baginda.

“Saya merasakan negara pada hari ini telah dijangkiti satu virus yang pernah saya sebutkan dahulu semasa di Pasir Gudang iaitu virus perpecahan.

“Virus ini berpunca daripada pemimpin politik yang sanggup berbalah, caci-mencaci, menabur fitnah dan memecah perpaduan rakyat demi mengejar kuasa serta kedudukan demi kepentingan diri sendiri.

“Sehubungan itu saya menitahkan dan menyeru semua pemimpin bertolak ansur, dan hormat menghormati di antara satu sama lain untuk meningkatkan kemakmuran serta kesejahteraan hidup rakyat,” titah baginda dalam hantaran sama.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd