Now Reading
Bayi 17 Bulan Maut Dipercayai Didera Teman Lelaki Ibu Hingga Usus Bocor & Ada Kesan Lebam Pada Badan

Bayi 17 Bulan Maut Dipercayai Didera Teman Lelaki Ibu Hingga Usus Bocor & Ada Kesan Lebam Pada Badan

Mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mempunyai kesan lebam pada beberapa anggota badan sewaktu dihantar ke Klinik Kesihatan Kampung Raja.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Semalam (8 November), seorang bayi berusia 17 bulan disahkan maut dipercayai didera oleh teman lelaki kepada ibu mangsa di Besut, Terengganu.

Menurut Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Abdul Rozak Muhammad, polis telah menerima laporan dari Klinik Kesihatan Kampung Raja memaklumkan bahawa mangsa meninggal dunia di klinik terbabit.

Tambah Abdul Rozak, mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mempunyai kesan lebam pada beberapa anggota badan sewaktu dihantar ke klinik kesihatan.


Bayi Maut Berpunca Daripada Kebocoran Usus Kecil

Susulan itu, hasil laporan bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kebocoran usus kecil.

“Bedah siasat mendapati usus kecil bayi tersebut mengalami kebocoran manakala siasatan lanjut sedang dilakukan sama ada kecederaan disebabkan kesan trauma atau jangkitan kuman,” jelas beliau.


Bayi Diserahkan Kepada Teman Lelaki Ibu Sehari Sebelum Kejadian Berlaku

Selanjutnya, siasatan awal Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati ibu mangsa yang berumur 27 tahun telah menyerahkan anaknya kepada teman lelaki untuk dijaga pada Selasa lalu (7 November) jam 4 petang.

Bayi lelaki itu kemudiannya telah diserahkan kembali kepada ibunya pada pukul 7.30 pagi semalam (8 November).


Ibu Mangsa Telah Direman Bagi Bantu Siasatan Lanjut

Dalam pada itu, ibu kepada bayi tersebut telah ditahan dan direman di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 manakala teman lelakinya sedang dikesan pihak polis bagi membantu siasatan lanjut.

Jika disabitkan kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak, suspek boleh disabitkan denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau keduanya.

Orang ramai dalam masa sama diminta menghubungi ibu Pejabat Polis Daerah Besut di talian 09-6956222 sekiranya mempunyai maklumat tentang kes.


Akta Cederakan Kanak-kanak

Memetik sumber Berita Harian, pengamal undang-undang Fahmi Abd Moin berkata Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 menggariskan kesalahan membabitkan penganiayaan, pengabaian dan pendedahan kanak-kanak kepada perkara yang membahayakan keselamatan dirinya.

Akta tersebut juga menjelaskan mana-mana individu, ibu bapa atau penjaga yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya.

“Buat mereka yang mempunyai pemeliharaan seorang kanak-kanak dan kemudian mendedahkannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi, boleh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” jelas Fahmi.

Baca Artikel Berkaitan: Bayi 8 Bulan Maut Gara-gara Ditinggalkan Dalam Kereta Hampir 10 Jam

Baca Artikel Berkaitan: Bayi 4 Bulan Maut Di Rumah Pengasuh Lepas Kain Lampin Tertutup Muka

Baca Artikel Berkaitan: Dera Bayi 4 Bulan Hingga Koma, 3 Pengasuh Ditahan Di Terengganu


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd