Now Reading
Malaysia Terima 3 Notis Dari Kedutaan Amerika Kerana Tak Anggap Hamas Pengganas – PM

Malaysia Terima 3 Notis Dari Kedutaan Amerika Kerana Tak Anggap Hamas Pengganas – PM

Menurut Anwar Ibrahim, dua notis demarche telah diterima daripada Kementerian Luar pada 13 dan 30 Oktober lalu serta satu panggilan untuk wakil Malaysia di Amerika Syarikat pada 18 Oktober.

anwar-hamas

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini (31 Oktober) mendedahkan bahawa Malaysia menerima dua notis demarche daripada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) kerana enggan menganggap pejuang Hamas sebagai kumpulan pengganas.

Menurut Anwar, dua notis itu diterima daripada Kementerian Luar pada 13 dan 30 Oktober lalu serta satu panggilan untuk wakil Malaysia di AS pada 18 Oktober.

Menjawab kepada persoalan tentang apakah bentuk ancaman yang diterima, beliau menjelaskan bahawa Kedutaan AS telah menekan Malaysia sebanyak tiga kali supaya memperakui Hamas sebagai kumpulan pengganas.

“Ia disebabkan pendirian kita terutama keengganan kita menganggap Hamas itu sebagai badan pengganas,” kata beliau semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMTQ) di Dewan Rakyat.

Sumber: Malay Mail

Semua Negara Islam Sepakat Dengan Isu Pembukaan Laluan Kemanusiaan Tanpa Sekatan

Dalam pada itu, Anwar turut berkata kesemua negara Islam telah sepakat bahawa pembukaan laluan kemanusiaan tanpa sekatan ke Gaza adalah satu keutamaan.

Isu berkenaan telah dibangkitkan semasa lawatan kerja beliau ke Arab Saudi, Turkiye dan Mesir berhubung serangan Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.

Selain itu, Malaysia turut menyatakan kesediaan negara bekerjasama dengan negara-negara Islam dan sehaluan (like minded countries) lain bagi mencari penyelesaian yang adil dan menyeluruh untuk menangani konflik di Palestin.

Pendirian teguh negara untuk menyokong perjuangan Palestin juga dikongsi bersama 119 negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semasa Mesyuarat Tergempar Majlis Keselamatan PBB pada 27 Oktober lalu.


Wan Fayhsal Berkata Demarche Daripada Pihak AS Bukan Satu Ugutan

Sementara itu, Anggota Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata demarche yang dikatakan oleh PMX itu bukanlah bermaksud ugutan.

Jelasnya, ia adalah satu istilah teknikal yang merujuk kepada pendirian rasmi kerajaan iaitu berkaitan isu Palestin tersebut.

“Beliau menganggap itu satu ugutan tapi saya rasa ini tidak tepat, dia ada impak yang serius terhadap hubungan luar kita dengan mana-mana negara yang dilihat mengancam atas pendirian tentang Palestin,” kata beliau dalam sidang media di Parlimen.

Wan Fayhsal dalam masa sama turut mengaitkan perkara yang dilalui oleh Anwar pada ketika ini dengan masalah yang dihadapi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad terdahulu tentang kelantangan bersuara isu Palestin.

“Kalau ikut sejarah dan diplomasi dasar luar Malaysia, Tun Mahathir lebih lantang, berani serta tegas dalam isu ini tapi tak pernah sekali berkata beliau diugut,” tambahnya lagi.

Sumber: Malay Mail

Baca Artikel Berkaitan: “Kamu Salah Pilih Orang” – PMX Dedah Terima Ugutan Dari Negara Barat, Namun Bertegas Akan Terus Pertahan Palestin

Baca Artikel Berkaitan: PDRM Bakal Tingkatkan Kawalan Keselamatan Anwar Ibrahim

Baca Artikel Berkaitan: Kerajaan Anjur Perhimpunan Malaysia Bersama Palestin Esok, PM Anwar Seru Orang Ramai Turut Serta


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd