Now Reading
Sanusi Ditahan Jam 3 Pagi, Mengaku Tak Bersalah Atas 2 Pertuduhan

Sanusi Ditahan Jam 3 Pagi, Mengaku Tak Bersalah Atas 2 Pertuduhan

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dihadapkan ke Mahkamah Selayang dan berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 (Akta 15).

Menteri Besar Kedah Ditahan Polis Jam 3 Pagi Hari Ini, 18 Julai (1)

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini telah menimbulkan kontroversi apabila mengeluarkan satu kenyataan didakwa menghina institusi diraja Selangor menerusi pelantikan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau didakwa mengeluarkan kenyataan tersebut dalam satu ceramahnya baru-baru ini dengan membandingkan urusan pelantikan jawatan Menteri Besar Kedah dan Amirudin selaku MB Selangor.

“Sultan Kedah sampai sekarang dari satu susur galur tak pernah putus, itulah Kedah Darul Aman. Hebatnya Sultan Kedah begitu teratur, bukan ‘koman-koman’, tengok menteri besar (Kedah).

“Sultan hebat macam itu (Sultan Kedah) tak akan pilih menteri besar ‘cokia’ macam Amir (Amirudin) tu. Inci pun tak berapa cukup, tarik balik fasal inci,” ucap Muhammad Sanusi.


Ahli Dewan Diraja Selangor Buat Laporan Polis Atas Dakwaan Dihina Oleh Menteri Besar Kedah

Susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Muhammad Sanusi, ahli-ahli Dewan Diraja Selangor telah membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam pada Jumaat lalu (14 Julai).

Individu yang terlibat dalam membuat laporan polis itu adalah:

  • Datuk Emran Kadir
  • Tan Sri Ambrin Buang
  • Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa
  • Tan Sri Mohd Zawawi Salleh
  • Datuk Mohammed Khusrin Munawi

Muhammad Sanusi Dakwa Akaun TikTok Miliknya Telah Disekat

Menerusi video yang dimuat naik di laman TikTok (@sanusimdnor), beliau mendakwa akaun miliknya di platform TikTok telah disekat daripada diakses oleh orang ramai di dalam Malaysia tetapi masih boleh dilihat bagi penduduk berada di luar negara.

Disebabkan itu, Muhammad Sanusi bertindak untuk membuat satu lagi akaun TikTok ‘back up’ untuk kegunaannya.

Sumber: TikTok @sanusimdnor

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi dalam satu ceramahnya yang dimuat naik oleh pengguna TikTok (@alfattah366) dilihat beliau meluahkan rasa bengang tindakan yang dilakukan itu telah menghalangnya untuk berkempen secara atas talian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bulan Ogos ini.

TikTok (saya) dah tiada lah malam ni (sebab) kena padam. 5.2 juta ‘like’ habis (hilang), pengikut pun juta juga, nak buat lain kena cari seorang demi seorang lambat. Kalau betul mereka anak jantan, pulangkan TikTok saya.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menerusi video yang sama, beliau turut menyifatkan tindakan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) ibarat di negara Korea Utara yang takut kepada kebebasan media.


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Nafi Sekat Dan Padam Akaun TikTok Milik Muhammad Sanusi

SKMM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 16 Julai lalu sebaliknya menafikan kenyataan Muhammad Sanusi tentang dakwaan pihak mereka yang menyekat akaun TikTok milik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu.

BACA JUGA: SKMM Nafi Sekat & Padam Akaun TikTok Sanusi

Jelas SKMM, pihak mereka tidak menerima sebarang arahan berhubung isu tersebut dan hanya platform media berkenaan sahaja yang mempunyai garis panduan komuniti bagi menentukan tindakan boleh diambil kepada mana-mana pengguna.

Garis panduan komuniti sedemikian menetapkan jangkaan, mempromosikan keterangkuman dan mengurangkan kandungan memudaratkan atau yang berbaur jelik yang boleh mengganggu keharmonian dalam komuniti.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Sultan Selangor Anggap Kenyataan Muhammad Sanusi Hina Institusi Diraja

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik semalam (17 Julai) di laman Facebook (Selangor Royal Office), Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan sokongan dan penghargaan kepada ahli-ahli Dewan Diraja Selangor yang bertindak membuat laporan polis.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani menjelaskan Tuanku berbesar hati dengan sokongan ahli-ahli Dewan Diraja Selangor yang menganggap kenyataan dari Menteri Besar Kedah itu sebagai menghina institusi Diraja dan mempertikaikan kewibawaan baginda dalam memilih menteri besar.

Duli Yang Maha Mulia Tuanku juga amat berbesar hati di atas sokongan yang ditunjukkan oleh ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor serta semua pihak yang berkaitan.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.

Sultan Selangor Anggap Isu Masih Belum Selesai Meskipun Muhammad Sanusi Sudah Buat Permohonan Ampun

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menjelaskan Muhammad Sanusi telah membuat permohonan ampun kepada Sultan Selangor berhubung isu dakwaan menghina institusi diraja.

Walau bagaimanapun, pihak polis akan tetap terus melakukan siasatan selepas mereka menerima 57 laporan berkaitan Muhammad Sanusi sehingga 15 Julai lalu.

Pihak polis kini sedang menyiasat Muhammad Sanusi berkaitan isu 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Malah, Sultan Selangor juga bertitah bahawa isu ini masih belum selesai meskipun Muhammad Sanusi telah melakukan permohonan ampun kepada baginda.

BACA JUGA: Sanusi’s Apology To Selangor Sultan May Not Be Enough, Says Law Minister


Muhammad Sanusi Ditahan Oleh Pihak Polis Pada Jam 3:00 Pagi Hari Ini, 18 Julai

Terbaharu, Muhammad Sanusi telah ditahan oleh pihak polis sekitar jam 3:00 pagi hari ini (18 Julai) di sebuah hotel di Kuala Lumpur dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menaiki sebuah kenderaan multi guna (MPV).

Memetik laporan Astro Awani, Muhammad Sanusi akan dihadapkan ke Mahkamah Selayang pada pagi ini berhubung dakwaan menghina institusi Kesultanan Selangor dalam memilih menteri besar negeri tersebut.

Beliau akan berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) kerana perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja (Yang Dipertuan Agong dan Sultan Selangor).

Jika sabit kesalahan, beliau boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.


Muhammad Sanusi Mengaku Tidak Bersalah Atas Dua Pertuduhan

Memetik laporan Harian Metro, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini (18 Julai) atas dua pertuduhan selepas mengeluarkan kata-kata berbaur hasutan berhubung lantikan Menteri Besar Selangor.

“Saya faham, saya mengaku tidak bersalah Yang Arif,” kata Muhammad Sanusi selepas dua pertuduhan dibacakan oleh Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Osman Affendi Mohd Shalleh di bilik berasingan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Peguam Cara Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh manakala Muhammad Sanusi pula diwakili peguam Datuk Shaharudin Ali dan Wan Rohimi Wan Daud.

Mahkamah juga menetapkan 4 Oktober untuk sebutan semula kes.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd