Now Reading
Ini Cara Untuk Bersih & Tanam Uri Bayi. Para Ayah Perlu Tahu!

Ini Cara Untuk Bersih & Tanam Uri Bayi. Para Ayah Perlu Tahu!

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum menanam uri adalah sunat.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Dalam menyambut kelahiran bayi, ibu bapa sudah tentu telah membuat pelbagai persediaan seperti membeli pakaian, barangan dan menyiapkan bilik khas bayi.

Ibu bapa juga pasti akan mempelajari perkara yang bakal dihadapi sewaktu mengandung, hendak bersalin dan dalam pantang.

Khas untuk kaum bapa, jangan lupa bahawa anda perlu menguruskan uri bayi sewaktu ibu sedang dalam pantang.

Oleh yang demikian, seorang pengguna laman X @ezzahnor telah berkongsi cara-cara menguruskan uri bayi di akaun miliknya.

Sumber gambar: Unsplash

Cara-Cara Basuh & Tanam Uri

Menurut Ezzah, uri perlu dibersihkan dengan betul sehingga bau hanyir darah hilang agar tidak menarik perhatian haiwan liar.

Tambahnya lagi, bahan-bahan yang diperlukan untuk membersihkan dan menanam uri ialah:

  1. Garam
  2. Asam jawa
  3. Asam keping
  4. Kain

Sebelum menanam uri, ia seelok-eloknya dibersihkan terlebih dahulu. Pertama, membaca bismillah dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Kemudian basuh uri untuk menghilangkan darah padanya.

Lumur garam dan asam jawa untuk menghilangkan bau hanyir dan darah.

Selepas itu, cuci uri dengan air bersih sekali lagi dan seterusnya, keringkan uri menggunakan tisu atau kain.

Uri yang telah dikeringkan dimasukkan ke dalam kain bersama-sama asam keping dan sedikit garam, kemudian ikatkan kain tersebut.

Sumber gambar: Unsplash

Tanam Uri Dalam-Dalam Supaya Tak Digali Haiwan

Akhir sekali, tanamkan uri ke dalam tanah yang telah digali dengan kedalaman 1.5 kaki atau yang secukupnya agar tidak dikorek oleh haiwan liar. Boleh juga letakkan batu atau pasu berat di atas.

Ezzah berkata uri seelok-eloknya diuruskan secepat mungkin. Namun, jika uri tidak dapat diuruskan dengan cepat, letakkan dahulu di dalam peti sejuk.

Menurutnya, kini terdapat banyak set pengurusan uri bayi di pasaran yang akan lebih memudahkan urusan membersih dan menanamnya.


Uri Bayi Tak Wajib Ditanam

Penanaman uri bayi sudah menjadi satu budaya dalam kalangan masyarakat Melayu. Tetapi bagaimana pula dari segi hukum?

Mengikut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum menanam uri bayi sebenarnya adalah sunat.

Status uri bayi boleh dikategorikan kepada dua iaitu suci ataupun najis. Bagi uri yang suci, ia boleh dicuci ataupun tidak, kemudian sunat dibungkus dengan kain dan ditanam.

Sebaliknya, jika anak telah meninggal dunia, uri menjadi najis dan lebih elok disempurnakan seperti pengurusan jenazah iaitu dengan membersihkannya.

Namun begitu, tidak berdosa sekiranya uri dibuang terus dan tidak ditanam. Akan tetapi, salah satu sebab uri lebih elok ditanam adalah bagi mengelakkan perbuatan sihir.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd