Suspek Kes Serang Jururawat Sudah Ditahan Polis
Jururawat wanita terbabit memaklumkan dia tidak dirompak, sebaliknya hanya dipukul di bahagian kepala, malah siasatan di lokasi juga mendapati tiada barang peribadi yang hilang.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Baru-baru ini, tular di media sosial video seorang jururawat wanita yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi Jalan Simpang Tiga Dangi, Johol, Kuala Pilah.
Wanita itu ditemui pada Jumaat lalu (19 April) dalam keadaan tertiarap di luar keretanya dengan enjin kenderaan jenis Perodua Myvi berwarna kuning itu masih hidup.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintenden Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, mangsa berusia 30-an itu lengkap berpakaian uniform putih ditemui kira-kira jam 10 malam, lapor Sinar Harian.
Suspek hanya diserang, tidak disamun
Menurutnya, mengikut keterangan awal mangsa memaklumkan tidak dirompak sebaliknya hanya dipukul di bahagian kepala, malah siasatan di lokasi juga mendapati tiada barang peribadi yang hilang.
Susulan itu, pihak polis kemudiannya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.
Suspek serang jururawat ditahan polis selepas serah diri di IPD Kuala Pilah
Terbaharu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Gani memaklumkan suspek seorang lelaki telah ditahan selepas menyerah diri, kira-kira jam 4 petang di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Pilah, semalam (21 April).
Menurutnya, permohonan reman terhadap suspek yang berusia 34 tahun itu telah dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Pilah pada pagi tadi dan akan direman selama empat hari bermula hari ini.
“Seorang lelaki ditahan di IPD, petang semalam bagi membantu siasatan berkaitan kes jururawat wanita yang ditarik dari keretanya sebelum dipukul sehingga separuh sedar malam Jumaat lalu,” katanya dipetik Harian Metro.
Menurutnya lagi, pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek untuk mengetahui motif kejadian selain hubungannya dengan wanita itu.
“Siasatan lanjut masih dijalankan berkenaan pembabitan suspek dalam kes ini,” katanya lagi.
Diserang ketika dalam perjalanan pulang ke rumah
Terdahulu, media melaporkan jururawat wanita terbabit dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Durian Tunggal, Melaka dari tempat kerja di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) dengan melalui Jalan Dangi.
Setelah ditemui tidak sedarkan diri, mangsa di bawah ke HTAN untuk diberikan rawatan lanjut.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.