Now Reading
Boleh Ke Urus Duit Raya Anak Sama Rata? Ini Penjelasan Tentang Hukum Sebenar

Boleh Ke Urus Duit Raya Anak Sama Rata? Ini Penjelasan Tentang Hukum Sebenar

Duit raya yang diterima oleh anak-anak menjadi hak milik mereka dan tidak boleh diguna dengan sesuka hati oleh ibu bapa.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pemberian duit raya telah menjadi satu tradisi dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia. Kebiasaannya, sesetengah orang akan memberi jumlah duit raya yang berbeza mengikut umur kanak-kanak.

Bagi anak-anak yang sudah besar, mereka biasanya akan menyimpan sendiri duit raya yang diterima, manakala ibu bapa akan menyimpankan duit raya anak-anak kecil untuk elakkan daripada tercicir.

Memandangkan duit raya anak-anak telah tercampur, mungkin sesetengah ibu bapa akan sekalikan sahaja kesemua wang tersebut dan dibahagikan sama-rata apabila hendak disimpan. Namun begitu, adakah perkara ini boleh dilakukan?

Baca Artikel Berkaitan: Ini Hukum Memberi & Meminta Duit Raya, Boleh Jatuh Haram Rupanya!

Baca Artikel Berkaitan: Adakah Tradisi Duit Raya Berkait Dengan Tradisi Pemberian Angpau Ketika Tahun Baru Cina?


Duit Raya Anak-Anak Hak Milik Mereka

Menerusi penjelasan oleh Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Ilmuan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Islami) Kebangsaan, Ustaz Ahmad Hafiz Mohd Rozmizi di Facebook, setiap duit raya anak-anak adalah hak milik masing-masing tidak kira sama ada lebih atau kurang.

Katanya, ibu bapa tidak boleh mengambil hak mana-mana anak untuk diberi kepada anak yang lain agar mereka mendapat duit raya yang sama banyak.

Sumber gambar: Aniq Danial/ Unsplash

Kanak-Kanak Belum Baligh Tak Layak Buat Pengeluaran Harta

Bagaimana pula dalam kes ibu bapa telah memaklumkan kepada anak-anak agar duit raya dibahagi sama rata?

Ustaz Ahmad berkata perkara ini tidak boleh dilakukan terhadap anak-anak yang masih belum baligh.

Ini adalah menurut penulisan Dr Wahbah al-Zuhaili dalam kitab al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, bahawa mereka tidak layak dari segi syarak untuk melakukan urusan pengeluaran harta miliknya seperti sedekah dan memberi pinjam walaupun dengan izin ibu bapa.

Sumber gambar: MT Elgassier/ Unsplash

Tambah Duit Sendiri Jika Ingin Sama Ratakan Duit Raya Anak-Anak

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa ibu bapa tidak boleh mencampurkan duit raya anak-anak untuk disamaratakan kerana ia mengambil hak anak dan bertentangan dengan syarak.

Walau bagaimanapun, ibu bapa masih boleh menyamaratakan duit raya yang diterima anak-anak dengan cara menambah duit sendiri pada mereka yang mendapat jumlah kurang.


Apa Nak Buat Jika Duit Raya Anak-Anak Dah Tercampur?

Ustaz Ahmad juga berkongsi satu kaedah yang boleh dilakukan bagi ibu bapa sekiranya duit raya anak-anak sudah bercampur-campur.

Pertama, asingkan duit raya mengikut sampul raya yang sama. Kemudian, kumpulkan duit raya daripada sampul yang tidak sama.

Ibu bapa perlu menambah duit sendiri agar nilai duit dari sampul yang tidak sama itu sama banyak dan barulah dibahagikan sama rata kepada anak-anak.

Sudah tentu lebih elok jika ibu bapa mengasingkan duit raya anak-anak sejak mula agar tidak timbul sebarang kekeliruan.


Boleh Ke Ibu Bapa Guna Duit Raya Anak?

Sementara itu, Pengerusi Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ISLAMI) Kedah, Ustaz Wadi Annuar menegaskan bahawa duit raya adalah hak anak dan tidak boleh diguna oleh ibu bapa dengan sesuka hati.

Jika ibu bapa telah menggunakan duit raya anak dalam keadaan tidak terdesak dan bukan untuk kegunaan anak, duit tersebut wajib diganti semula.

Namun begitu, terdapat kelonggaran penggunaan duit raya anak-anak bagi ibu bapa yang terdesak dan tidak mampu.

Baca Artikel Berkaitan: Ini Hukum Ibu Bapa Guna Duit Raya Anak Untuk Tujuan Simpanan Pendidikan


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd