Now Reading
Ini Hukum Ibu Bapa Guna Duit Raya Anak Untuk Tujuan Simpanan Pendidikan

Ini Hukum Ibu Bapa Guna Duit Raya Anak Untuk Tujuan Simpanan Pendidikan

Ibu bapa dibenarkan untuk menggunakan duit raya anak atas sebab-sebab tertentu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umum mengetahui, musim perayaan adalah waktu untuk kanak-kanak mengumpul duit raya ketika menziarahi sesuatu rumah.

Kebiasaannya, duit raya yang diterima oleh golongan kanak-kanak akan disimpan oleh ibu bapa mereka kerana berasa risau ia tercicir dan sebagainya. Ada juga penjaga yang bertindak memegang duit raya anak kerana berniat untuk menyimpankannya dalam akaun bank si kecil.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Tak Tahu Nak Buat Apa Dengan Duit Raya Anak? Ini 3 Tabung Simpanan Paling Menguntungkan

Namun begitu, mungkin terdapat segelintir ibu bapa yang terlepas pandang mengenai perkara tersebut dan terguna duit raya anak-anak.

Sumber: Nur Hazwani/TRP

Oleh disebabkan itu, seorang wanita menerusi laman X (Twitter @Atikah10) telah memberi peringatan kepada ibu bapa bahawa duit raya anak adalah hak mereka.

“Duit raya anak adalah hak anak. Ibu bapa tak boleh menggunakan duit raya anak,” kata Atikah.


Boleh Ke Ibu Bapa Guna Duit Raya Anak Untuk Tujuan Pembelajaran

Namun di ruangan balas, ada seorang pengguna X bertanya adakah duit raya anak yang disimpan untuk tujuan belajar juga tidak boleh digunakan?

Soalan ini ditanya kerana wanita tersebut beranggapan bahawa kos pelajaran anak-anak dikira sebagai tanggungjawab yang perlu dilunaskan oleh para ibu bapa.

Sehubungan itu, kami telah melakukan pencarian dan mendapati Jabatan Mufti Negeri Selangor sebelum ini telah menjelaskan tentang perkara yang dibangkitkan itu.

Menurut Jumhur fuqaha daripada Imam Abu Hanifah, mazhab Maliki dan mazhab Shafi’i, ibu bapa dibenarkan menggunakan harta anaknya untuk tujuan peribadi namun sekadar memenuhi keperluan sahaja.

Hadis diriwayatkan daripada Umarah bin Umair RA, ibu saudaranya pernah bertanya kepada Sayyidatina Aisyah RA:

فِي حِجْرِي يَتِيمٌ أَفَآكُلُ مِنْ مَالِهِ فَقَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏: إِنَّ أَطْيَبَ مَا أَكَلَ الرَّجُلُ مِنْ كَسْبِهِ وَوَلَدُهُ مِنْ كَسْبِهِ

Maksudnya: “Dalam rumahku (jagaanku) terdapat seorang anak yatim, adakah boleh aku memakan sebahagian daripada hartanya? Aisyah RA menjawab, sabda Nabi SAW: Sesungguhnya makanan terbaik yang dimakan oleh seorang lelaki ialah hasil usahanya, dan anak seseorang itu adalah termasuk daripada hasil usahanya.”

[Riwayat Abu Daud]


Guna Duit Raya Anak Dibenarkan Atas Sebab-sebab Tertentu

Ibu bapa yang menggunakan harta anaknya boleh dipecahkan kepada dua tujuan iaitu:

Tujuan memenuhi keperluan asasi:

Tujuan kemaslahatan (kebaikan) anak melibatkan aspek memenuhi keperluan asasi mereka seperti makan minum, pelajaran dan lain-lain. Harta anak yang digunakan untuk tujuan tersebut tidak perlu digantikan semula oleh ibu bapa.

Sumber: Pexels

Tujuan keperluan diri sendiri:

Tujuan keperluan diri sendiri pula adalah seperti membayar sewa rumah, bil elektrik, makan minum peribadi ibu bapa dan lain-lain.

Bagi kategori tersebut, ibu bapa tidak boleh menggunakan duit anak kecuali dalam keadaan terdesak.

Bagaimanapun, jika ibu bapa menggunakan harta anaknya sedangkan dia tidak berada dalam keadaan terdesak, maka mereka wajib menggantikannya semula. Dalam konteks itu, ibu bapa dianggap sedang meminjam (qard) harta anak.

Sumber: Pexels

Buat golongan ibu bapa dalam keadaan miskin dan terdesak, mereka dibolehkan menggunakan duit raya anak untuk tujuan peribadinya walaupun tanpa izin. Namun penggunaan wang tersebut hanya dibenarkan dengan kadar urf (biasa) secara ma’ruf.

Ma’ruf adalah apabila individu itu membelanjakan duit raya berkenaan dengan kadar biasa atau tidak berlebihan dan mewah.

Kesimpulannya, ibu bapa tidak boleh menggunakan duit raya anak sewenang-wenangnya namun hukum menggunakan duit raya anak untuk tujuan maslahat (kebaikan) seperti pelajaran adalah harus dan tidak perlu diganti semula.

Baca Artikel Berkaitan: Ini Hukum Memberi & Meminta Duit Raya, Boleh Jatuh Haram Rupanya!

Baca Artikel Berkaitan: Adakah Tradisi Duit Raya Berkait Dengan Tradisi Pemberian Angpau Ketika Tahun Baru Cina?


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd