Now Reading
“Al-Quran Bukan Nyanyian” – Syeikh Ayman Suwaid Beri Teguran Kepada Qari & Qariah

“Al-Quran Bukan Nyanyian” – Syeikh Ayman Suwaid Beri Teguran Kepada Qari & Qariah

Syeikh Ayman Suwaid juga berkata bacaan al-Quran dengan tarannum secara berlebihan banyak dilakukan di negara-negara Timur termasuk Malaysia.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Tarannum al-Quran telah dipraktikkan sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Ia bermakna ilmu atau kaedah tentang bunyi-bunyian seperti nada, rentak dan irama yang diucapkan demi menjadikan suatu bacaan al-Quran kedengaran lebih merdu.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, membaca al-Quran dengan bertarannum adalah digalakkan berdasarkan kepada beberapa hadis Rasulullah SAW.

Namun begitu, qari dan qariah harus berhati-hati dalam pembacaan tersebut dan menjaga tajwid agar makna ayat al-Quran tidak diubah.


Syeikh Ayman Suwaid Beri Teguran Pada Peserta Program Bacaan Al-Quran

Baru-baru ini, tular satu video di TikTok yang menunjukkan pakar ilmu qiraat, Syeikh Ayman Suwaid, menegur seorang peserta satu program bacaan al-Quran kerana membacakan ayat suci dengan berlagu secara melampau.

Setelah peserta itu selesai membacakan ayat al-Quran tersebut, Syeikh Ayman telah mengucapkan sebanyak dua kali:

لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّٰهِ

Maksudnya: “Tiada daya dan upaya kecuali dengan kekuatan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung”.

Menerusi sarikata yang diterjemah ke dalam Bahasa Melayu, Syeikh Ayman berkata al-Quran merupakan kalam Allah SWT yang merupakan pedoman hidup buat manusia.

Ia merangkumi ilmu tentang Allah SWT, para Nabi, hari Akhirat, Syurga dan Neraka, serta segala suruhan dan laranganNya terhadap manusia.

Beliau menekankan bahawa al-Quran merupakan aturan hidup manusia dan bukanlah lagu yang melalaikan.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Pexels)

“Banyak Dilakukan Di Filipina, Indonesia & Malaysia” – Syeikh Ayman Suwaid

Selain itu, beliau menerangkan maksud memperbaiki suara ketika membaca al-Quran dilakukan agar hati dapat menerima dan memahami kalamNya, dan bukan berpaling terhadapnya dengan alunan suara sedemikian.

Syeikh Ayman menegur bahawa perbuatan ini banyak dilakukan di negara-negara Timur seperti Filipina, Indonesia, dan malah Malaysia.

Katanya negara-negara ini gemar membacakan al-Quran dengan cara melenggok-lenggokan alunan suara. Beliau turut berpesan agar perbuatan sedemikian tidak diikut.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Pexels)

Bacaan Sedemikian Akan Menyesatkan Pendengar

Malah, beliau berkata perbuatan ini akan menyesatkan orang ramai yang mendengari bacaan mereka.

Allah SWT tidak menurunkan al-Quran menjadi alat muzik.

Pakar ilmu qiraat, Syeikh Ayman Suwaid.

Sebaliknya, Syeikh Ayman menerangkan bahawa umat Islam diperintahkan untuk membaca al-Quran menerusi tahsin al-sout, iaitu seni mengaji dengan suara yang lembut, menurut syariat Rasulullah SAW:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ

Maksudnya: “Bukan daripada kalangan kami (umat Nabi Muhammad SAW), sesiapa yang tidak memperlagukan bacaan al-Qurannya.”

Riwayat Abu Daud (1469)

Nabi Muhammad SAW juga bersabda:

زَيِّنُوا الْقُرْآنَ بِأَصْوَاتِكُمْ

Maksudnya: “Hiasilah al-Quran dengan suara-suara kamu.”

Riwayat Abu Daud (1468)

Menurut Syeikh Ayman, syariat-syariat ini bermaksud supaya al-Quran dibaca agar segala makna kalam Allah SWT di dalamnya difahami, serta menjalankan segara suruhan dan meninggalkan laranganNya.


Bertarannum Al-Quran Tapi Tak Faham Makna Ayat

Menjengah ke ruangan komen, beberapa netizen berkongsi pemahaman mereka terhadap teguran oleh Syeikh Ayman. Mereka berkata bahawa al-Quran perlu dibaca dan difahami, bukan hanya leka mendengar bacaan yang melenggok.

Malah, sesetengah bacaan mungkin dilakukan secara berlebihan sehingga tersalah tajwid dan menjadikan makna ayat al-Quran tersebut lari.

Sumber: @tadabburcentre/ TikTok

Selain itu, sesetengah pembaca al-Quran juga hanya bertarannum tanpa memahami makna ayat suci tersebut. Perkara ini boleh menyebabkan mereka membaca al-Quran dengan mendayu-dayu walhal ayat suci itu menerangkan tentang suatu hukuman.

Sumber: @tadabburcentre/ TikTok
@tadabburcentre

Peserta dari Indonesia, Suaranya Merdu & Mendayu – Dayu .. Syeikh Ayman Suwaid: “La haula wala quwwata illa billah!” Teguran buat mereka yang melampau dalam melagukan al-Quran. Allahul Musta’an… #quran #lagu #janganmelampau #tarannum

♬ original sound – tadabburcentre – tadabburcentre

Kelebihan Membaca Al-Quran Dalam Bulan Ramadan

Umat Islam pasti mengetahui bahawa hukum membaca al-Quran adalah sunat. Namun begitu, dalam bulan Ramadan, ganjaran membaca al-Quran adalah seperti melakukan amalan wajib.

Ini kerana setiap amalan sunat yang dilakukan pada bulan suci Ramadan akan mendapat pahala satu amalan fardu. Manakala setiap amalan fardu atau wajib yang dilakukan pada bulan suci ini akan diberikan 70 pahala berbanding bulan lain.

Di samping itu, jangan terlupa membaca al-Quran dengan Lailatul Qadar yang bakal hadir pada sepuluh malam terakhir Ramadan. Allah SWT berkata bahawa bacaan al-Quran pada malam tersebut adalah lebih baik berbanding seribu bulan bacaan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Qadr, ayat 1 hingga 3:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam lailatulqadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam lailatulqadar itu? Malam lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan.”

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Pexels)

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd