Now Reading
Penyucian Dividen Konvensional KWSP 2023 66%, Ini Cara Bersihkan Bagi Pencarum Islam

Penyucian Dividen Konvensional KWSP 2023 66%, Ini Cara Bersihkan Bagi Pencarum Islam

Dividen konvensional Kumpulan Wang Simpanan Pekerja terhasil daripada dua portfolio pelaburan iaitu Portfolio Konvensional yang tidak patuh syariah, dan Portfolio Syariah.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Setiap pekerja dan majikan swasta di Malaysia tertakluk kepada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Secara asasnya, pekerja perlu membuat caruman sebanyak 11%, manakala majikan pula sebanyak 13% bagi setiap pekerjanya.

Orang ramai pasti mengetahui bahawa KWSP mempunyai dua akaun iaitu Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah.

Simpanan Shariah KWSP telah diperkenalkan pada tahun 2017 yang memberi pilihan kepada ahli beragama Islam untuk menukar dari Simpanan Konvensional.

Namun begitu, mungkin masih ada umat Islam yang belum sempat membuat pertukaran tersebut.

Untuk rekod, pada 3 Mac lalu KWSP telah mengumumkan dividen sebanyak 5.5% bagi Simpanan Konvensional dan 5.4% bagi Simpanan Shariah tahun 2023.


Ahli Islam Perlu Lakukan Penyucian Dividen Konvensional KWSP

Bagi yang tidak tahu, umat Islam perlu melakukan penyucian terhadap dividen yang diterima bagi Simpanan Konvensional.

Hal ini adalah kerana dividen konvensional KWSP terhasil daripada dua portfolio pelaburan iaitu Portfolio Konvensional yang tidak patuh syariah, dan Portfolio Syariah.

Menurut hantaran di laman X, KWSP memaklumkan bahawa Kadar Penyucian Dividen bagi dividen konvesional 2023 yang diterima ahli beragama Islam adalah sebanyak 66%.

Di samping itu, penyucian bagi dividen tahun-tahun lepas juga perlu dibuat jika masih belum dilakukan.

Peratus penyucian dividen Simpanan Konvensional KWSP. (Sumber: KWSP)

Penyucian Dikecualikan Sebelum Wujud Simpanan Shariah

Memandangkan Simpanan Shariah baru diperkenalkan pada tahun 2017, dividen konvesional sebelum itu dikecualikan daripada melakukan penyucian.

Hal ini adalah berdasarkan pandangan Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS) bahawa pencarum Islam tidak mempunyai Hak Tasarruf, iaitu hak untuk memilih simpanan secara syariah.

Dalam masa yang sama, penyucian dividen dikecualikan bagi individu yang telah menukar ke Simpanan Shariah tahun lepas, tetapi masih menerima dividen konvensional pada tahun ini.

Ini adalah kerana tarikh kuat kuasa adalah di luar bidang kuasa ahli.

Permohonan penukaran kepada Simpanan Shariah yang dilakukan selepas 1 Januari 2024 hanya akan berkuat kuasa pada tahun 2025.

3 Cara Sucikan Harta

Mungkin ada yang tertanya, mengapakah dividen tersebut perlu disucikan?

Menurut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) Kali ke-87, harta yang diperolehi secara bertentangan dengan syariah seperti riba, gharar dan rasuah adalah haram.

Ia juga tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri. Sebaliknya, harta tersebut perlu disucikan menerusi tiga kaedah:

  1. Diserah kepada Baitulmal untuk maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, dan tandas.
  2. Diberi kepada golongan fakir miskin.
  3. Jika harta tersebut dirompak atau dicuri, ia perlu dipulangkan kembali kepada pemilik asal. Jika pemilik telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, ia perlu diserahkan kepada ahli waris. Jika kedua-duanya tidak dapat dilakukan, harta diserahkan kepada pihak Baitulmal.

Bagi penyucian dividen konvensional KWSP, ia boleh dilakukan menggunakan simpanan KWSP yang layak dikeluarkan atau mana-mana sumber kewangan lain.

Sumber: Malay Mail.

Hukum Menyucikan Dividen Konvensional KWSP

Pihak KWSP di dalam kenyataannya berkata pencarum beragama Islam dinasihatkan agar melakukan penyucian terhadap dividen konvensional.

Namun, apakah hukum penyucian ini sebenarnya?

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, keputusan Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam menjelaskan bahawa wang dividen konvensional KWSP yang diterima sebelum bertukar ke Simpanan Shariah tidak perlu dibersihkan.

Ini adalah kerana ahli tiada hak untuk mengurus simpanan mereka. Sebaliknya, simpanan hanya akan menjadi hak milik pencarum setelah capai had umur ditetapkan.

Keputusan untuk melakukan penyucian dividen konvensional KWSP adalah atas pilihan ahli sendiri. Anda juga boleh mendapatkan pandangan daripada Majlis Agama Islam di negeri masing-masing.

Pencarum Islam juga dinasihati agar segera bertukar ke Simpanan Shariah.

Pertukaran ke akaun Simpanan Shariah boleh dilakukan di pejabat KWSP. (Sumber: Malay Mail)

Boleh Ke Lakukan Penyucian Melalui Zakat?

Selain daripada tiga kaedah yang disebut di atas, mungkin timbul pertanyaan jika penyucian ini boleh dilakukan menerusi pembayaran zakat.

Untuk makluman, zakat dan penyucian harta merupakan dua perkara yang berbeza.

Zakat dikenakan ke atas harta yang halal yang memenuhi syarat wajib zakat seperti telah cukup haul.

Sumber: Malay Mail.

Sebaliknya, penyucian khas bagi harta yang diperolehi secara tidak patuh syariah dan perlu diserahkan kepada Baitulmal atau fakir miskin.

Bagi ahli beragama Islam yang menggunakan Simpanan Konvensional, simpanan perlu diasingkan mengikut kadar ditetapkan terlebih dahulu sebelum menentukan jumlah yang diwajibkan zakat.

Baca Artikel Berkaitan: Netizen Beri Pelbagai Reaksi Terhadap Peningkatan Dividen KWSP 2023

Baca Artikel Berkaitan: Ahli KWSP Boleh Guna Akaun 2 Untuk Beli Insurans & Produk Takaful Untuk Ahli Keluarga

Baca Artikel Berkaitan: Perlu Ke Bayar Zakat Bila Keluarkan Duit KWSP? Ini Penjelasannya


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd