Now Reading
[Video] “Anak Luar Nikah Tidak Salah, Raikan Perkahwinan Mereka Seperti Biasa” – Ustaz Azhar Idrus

[Video] “Anak Luar Nikah Tidak Salah, Raikan Perkahwinan Mereka Seperti Biasa” – Ustaz Azhar Idrus

Ustaz Azhar Idrus turut memberi nasihat kepada ibu bapa supaya berterus-terang tentang status nasab anak-anak mereka.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Masyarakat kita sememangnya dipenuhi dengan stigma terhadap golongan yang dilihat tidak bersesuaian atau bertentangan dengan adat dan budaya setempat.

Salah satu daripada golongan tersebut adalah anak tidak sah taraf atau anak luar nikah yang sering dipandang serong hanya kerana status mereka.

Keadaan ini sedikit sebanyak menyebabkan sesetengah ibu bapa enggan memaklumkan perkara yang sebenar kepada anak mereka.

Walaupun kelihatan remeh, perkara ini sebenarnya boleh menyebabkan timbulnya pelbagai masalah pada masa hadapan, terutamanya dalam isu pernikahan anak wanita yang memerlukan wali yang sah.

Dalam sesi soal jawab di satu kuliah dhuha di Kolej Kemahiran Yayasan Terengganu, Ustaz Azhar Idrus menerima persoalan tentang cara meraikan perkahwinan anak luar nikah yang dinikahkan dengan kebenaran mahkamah tanpa timbul fitnah daripada masyarakat.

Beliau berkata perkahwinan tersebut sepatutnya diraikan seperti biasa dan agar mengabaikan segala kata-kata buruk oleh masyarakat. Katanya juga, seseorang itu tidak seharusnya hidup dalam keadaan bersembunyi.

Pasangan pengantin seharusnya diraikan tidak kira status diri mereka. (Sumber gambar: Pexels).

Ibu Bapa Perlu Jujur Status Anak-Anak

Dalam kuliah dhuha yang diadakan pada Sabtu (3 Februari 2024) lalu, Ustaz Azhar turut mengingatkan ibu bapa supaya bersikap jujur terhadap anak-anak mengenai status mereka.

Jika anak tersebut tidak sah taraf atau merupakan anak angkat, ibu bapa perlu berterus-terang dan tidak berterusan membohongi mereka.

Di samping itu, beliau menekankan bahawa anak-anak terbabit tidak bersalah, sebaliknya kesalahan itu terletak pada masyarakat yang gemar memandang rendah individu lain.

Ibu bapa perlu jujur tentang status anak-anak supaya tidak menimbulkan masalah berkaitan nasab keturunan kelak. (Sumber gambar: Pexels).

Masyarakat Gemar Menghukum Orang Lain

Menurut Ustaz Azhar, masyarakat sering merasakan hanya diri mereka yang betul, sebaliknya apa yang dilakukan oleh orang lain adalah salah. Beliau menasihati orang ramai supaya tidak melayan kata-kata masyarakat terhadap diri mereka.

Sebagai contoh dalam kes perkahwinan, masyarakat sering mempunyai tanggapan buruk terhadap pasangan pengantin seperti miang apabila hendak berkahwin awal dan pengantin wanita mempraktikkan sihir untuk mendapatkan pasangan lebih muda.

Apapun yang terjadi, perkara yang benar tentang perkahwinan perlu dihebahkan dan hanya abaikan jika masyarakat luar tidak mahu menerima perkara tersebut.

Beritahu perkara yang betul (soal perkahwinan) sama ada masyarakat luar mahu terima atau tidak, terpulang pada mereka sendiri.

Ustaz Azhar Idrus.

Wali Hakim Bagi Pernikahan Anak Tidak Sah Taraf

Bagi pernikahan seorang Islam, wali menjadi salah satu daripada lima rukun yang menjadikan ia sah. Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat tiga kategori wali iaitu Wali Hakim, Wali Mujbir dan Wali Ikhtiar.

Wali Mujbir dan Wali Ikhtiar merupakan wali nasab kepada seseorang wanita yang harus diutamakan bagi tujuan pernikahan. Terdapat susunan tertentu bagi wali nasab yang bermula dengan bapa kandung, datuk sebelah bapa ke atas, adik-beradik lelaki seibu-sebapa dan seterusnya.

Sebaliknya, jika wali nasab enggan mengkahwinkan, tinggal terlalu jauh atau pengantin wanita tidak mempunyai wali nasab, Wali Hakim atau Wali Raja akan menguruskan hal pernikahannya.

Berdasarkan kepada Seksyen 2 (Tafsiran) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Wali Hakim adalah wali yang mendapat tauliah oleh yang dipertuan Agong bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, atau oleh Raja bagi negeri-negeri lain, untuk mengkahwinkan seorang wanita yang tidak mempunyai wali nasab.

Hanya wali yang sah boleh menikahkan seseorang wanita. (Sumber gambar: Pexels).

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd