Now Reading
6 Rumah Terbakar Di Kampung Baru, Penduduk Dengar Bunyi Letupan 3 Kali Sebelum Kejadian

6 Rumah Terbakar Di Kampung Baru, Penduduk Dengar Bunyi Letupan 3 Kali Sebelum Kejadian

Kejadian telah dilaporkan berlaku di Lorong Raja Muda Musa 3, Kampung Baru sekitar jam 10 pagi tadi.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Dalam satu insiden kebakaran di Lorong Raja Muda Musa 3, Kampung Baru, hari ini (29 Januari), enam buah rumah telah hangus terbakar.

Salah seorang penduduk di kawasan tersebut, Mohtar Rahmad, memaklumkan bahawa dia dan isterinya dikejutkan dari tidur oleh bunyi letupan yang kuat sebanyak tiga kali di sebelah rumahnya sekitar jam 10 pagi tadi.

Mohtar telah keluar dari kediaman apabila pintu dan tingkap rumahnya diketuk oleh jiran tentangga. Dia terkejut tatkala melihat enam buah rumah yang berada di sebelah kediamannya sedang marak dijilat api, katanya kepada media Kosmo.

Dalam kejadian itu, dia bersama-sama isterinya sempat menyelamatkan dokumen-dokumen penting sebelum keluar dari rumah. Menurutnya, orang ramai telah menghubungi pihak bomba ketika dia melihat kebakaran itu berlaku.

Rumahnya turut dijilat api memandangkan berada bersebelahan kebakaran, sehingga kesemua perabot dan buku-buku miliknya hangus.


Tong Gas Penjual Jagung Kukus Meletup

Dia yang telah menetap di situ sejak lahir, masih belum mengenal pasti jumlah kerugian dialaminya.

Tambahnya lagi, satu rumah pusaka miliknya yang sudah berusia 110 tahun turut musnah dijilat api memandangkan kedudukannya yang terletak di tengah-tengah rumah sewa.

Menurut Mohtar, difahamkan satu tong gas milik seorang penyewa rumah di situ telah meletup ketika sedang menyiapkan barang jualan jagung kukus.


Saksi Kejadian Lihat Tong Gas Terbakar

Seorang saksi kejadian, Zaini Jumari, telah melihat asap tebal dan api yang agak marak ketika melalui jalan di situ. Pada mulanya dia menganggap kebakaran itu adalah pembakaran sampah.

Namun begitu, apabila menghampiri kawasan terbabit, dia melihat api keluar dari corong tong gas yang diletakkan di atas motosikal roda tiga sedang terbakar di hadapan sebuah rumah. Difahamkan motosikal itu digunakan untuk menjual jagung.

Menurutnya, dia telah memanggil beberapa individu berhampiran untuk memeriksa sama ada rumah-rumah bersebelahan mempunyai penghuni di dalamnya.

Berikutan dengan itu, dua lelaki yang sedang tidur di sebuah rumah yang dijadikan gerai makan sempat dikejutkan sebelum api menjadi lebih marak apabila dua tong gas lain meletup.

“Selepas berjaya mengejutkan mereka, saya suruh mereka pindahkan semua tong gas yang ada di rumah itu untuk elakkan kebakaran menjadi lebih besar dan kita bernasib baik tiada orang yang terkorban kerana ramai keluar bekerja,” katanya kepada Bernama.


Tiada Kemalangan Jiwa Dilaporkan

Dalam satu kenyataan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, panggilan kecemasan telah diterima pada jam 10.18 pagi.

Sejurus itu, lima jentera dengan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak dan Sentul telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran tidak melibatkan mangsa dan api dapat dipadamkan sepenuhnya pada 11.09 pagi, punca kebakaran masih dalam siasatan,” menurut kenyataan itu.

Pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati kebakaran membabitkan enam buah rumah separa kekal. Dengan keluasan sejumlah 8,800 kaki persegi, kesemua kediaman terbabit telah 100% terbakar.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd