Program MySaveFood Selamatkan Lebih 400kg Makanan Di Bazar Ramadan Kampung Baru
Makanan yang diselamatkan menerusi program MySaveFood diagihkan kepada para pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Apabila bulan puasa tiba, banyak bazar Ramadan dibuka di serata tempat seluruh negara dengan bermacam juadah yang dijual.
Namun dalam keseronokan orang ramai berbelanja di bazar Ramadan, ada juga segelintir yang kurang berkemampuan untuk membeli makanan bagi berbuka puasa.
Dalam masa yang sama, kecoh pula isu para peniaga membuang lebihan makanan dan minuman setelah selesai meniaga di bazar.
Menurut Majlis Keselamatan Negara, sebanyak 2,892 tan purata sisa makanan dilupuskan setiap hari di 29 tapak pelupusan pada Ramadan 2023 (1445H).
Baca Artikel Berkaitan: [Video] “Kenapa Tak Sedekah?” – Peniaga Bazar Buang Lebihan Air Balang Tidak Terjual Cetus Perdebatan
Program MySaveFood Elak Pembaziran Makanan Di Bazar Ramadan
Sehubungan itu, satu inisiatif bergelar Program Kempen Menyelamatkan Pembaziran Makanan (MySaveFood) telah dijalankan bagi mengelakkan makanan lebihan bazar Ramadan daripada dibuang.
Menerusi inisiatif itu, sebanyak 426.4kg makanan lebihan di bazar Ramadan Kampung Baru telah berjaya diselamatkan pada hari Ahad (17 Mac).
Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh, program tersebut telah dijalankan sejak tahun lalu di sana.
Ia melibatkan para peniaga bazar Ramadan dan bertujuan bagi mengelakkan pembaziran makanan, katanya.
Program MySaveFood di bazar Ramadan Kampung Baru dijalankan dengan kerjasama Gerakan Pengguna Siswa (GPS) serta Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia, lapor Kosmo.
Makanan Dari Bazar Ramadan Diagihkan Kepada Para Pelajar
Menerusi inisiatif itu, makanan yang diselamatkan akan diagihkan kepada para pelajar dan penerima yang telah dikenal pasti sejak awal.
Setakat ini, MySaveFood sedang dilaksanakan di 75 bazar Ramadan di 12 negeri seluruh negara, dengan 2,700 orang sukarelawan sebagai penggerak.
Salah satu kumpulan terlibat adalah GPS, yang merangkumi pelajar dari 19 universiti awam dan 16 universiti atau kolej swasta, kata Fuziah.
Para sukarelawan akan mengumpul makanan dari bazar berhampiran yang kemudiannya akan diagihkan kepada para pelajar di institusi masing-masing.
Hasrat kita agar pelajar-pelajar yang mendapat sumbangan makanan akan sedar pentingnya untuk tidak membazir dengan menyelamatkan makanan sekaligus membantu orang yang lapar.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh.
Jadikan MySaveFood Sebagai Inisiatif Elak Pembaziran Makanan
Bagi hari pertama puasa pula, Fuziah menyatakan bahawa program MySaveFood oleh pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengumpulkan sebanyak 429.8kg makanan dari tiga bazar Ramadan.
Sehubungan dengan itu, pihaknya menyeru agar peniaga dan orang ramai menjadikan projek MySaveFood sebagai salah satu inisiatif untuk mengelakkan pembaziran dan mengagihkan lebih makanan kepada individu yang memerlukan.
Dalam masa sama, Fuziah berkesempatan meninjau Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Kampung Baru dengan lebih 200 peniaga menawarkan pelbagai juadah dengan harga rahmah.
Sebagai info, BBR 2024 merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Payung Rahmah Madani yang dijalankan di 64 lokasi seluruh negara.
MySaveFood Selamatkan 5,500 kg Makanan Dari 24 Bazar Pada Minggu Pertama Puasa
Untuk makluman, program MySaveFood yang dijalankan pada bulan Ramadan telah bermula sejak tahun 2016 dengan skala kecil.
Pada tahun lepas, inisiatif ini telah menyelamatkan 25 tan makanan dengan nilai dianggarkan RM281,429.01.
Setakat minggu pertama Ramadan kali ini, Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia memaklumkan sehingga 5,500kg makanan dari 24 bazar berjaya diselamatkan menerusi MySaveFood.
Baca Artikel Berkaitan: Netizen Dakwa Mahu Boikot Bazar Ramadan, Pertikai Harga Makin Mahal & Tak Jaga Kualiti
Baca Artikel Berkaitan: Pengunjung 60 Bazar Ramadan Rahmah Bakal Terima e-Dompet RM20 – Fuziah Salleh
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.