Now Reading
4 Anggota Polis Ditahan Gara-Gara Peras Ugut Penjual Ketum Sebanyak RM10,000

4 Anggota Polis Ditahan Gara-Gara Peras Ugut Penjual Ketum Sebanyak RM10,000

Peniaga tersebut telah memberi wang sebanyak RM5,000 kepada suspek yang kemudiannya menghubungi mangsa beberapa hari kemudian bagi meminta cagaran bulanan RM1,000.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Polis merupakan anggota yang seharusnya membantu dan melindungi orang awam serta melakukan penangkapan ke atas individu yang melakukan kesalahan.

Namun begitu, sejak kebelakangan ini, banyak kes jenayah terjadi yang dilakukan oleh anggota atau pegawai polis sendiri.

Pada Jumaat lepas (19 Januari 2024), empat orang anggota polis telah ditahan kerana disyaki melakukan pemerasan ke atas seorang peniaga air ketum di Taman Desa Gombak, Kuala Lumpur pada November tahun lepas.


Suspek Diperas Ugut Sebanyak RM10,000

Menurut Kosmo yang memetik sumber, mangsa adalah seorang peniaga kedai makan dan sedang bersama rakannya apabila didatangi empat individu mengakui sebagai pegawai kanan polis.

Keempat-empat suspek kemudiannya telah memeriksa rumah mangsa dan menemui 20 bungkus minuman dipercayai air ketum.

Berikutan dengan itu, mangsa diminta supaya membayar sebanyak RM10,000 kepada suspek jika tidak mahu dikenakan tindakan. Dia diugut akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju jika tidak membuat pembayaran tersebut.

Walaupun begitu, mangsa telah berunding supaya hanya perlu membayar RM5,000 dan rakan mangsa diarahkan oleh suspek supaya mengeluarkan wang tunai tersebut dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM).


Mangsa Dipaksa Bayar RM1,000 Sebagai Cagaran Bulanan

Setelah wang terbabit diserahkan, sumber memaklumkan bahawa polis berbincang dengan mangsa berkenaan perniagaan air ketumnya yang boleh diteruskan dengan jaminan suspek.

Akan tetapi, mangsa dihubungi suspek beberapa hari kemudian yang meminta wang tunai sejumlah RM1,000 sebagai cagaran bulanan.

Perkara ini menyebabkan mangsa rasa ditipu oleh suspek dan ke balai polis pada Khamis (18 Januari 2023) untuk membuat laporan agar tindakan lanjut diambil.


Keempat-Empat Suspek Akan Digantung Kerja

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, keempat-empat suspek telah ditahan bagi membantu siasatan dan tempoh reman telah tamat.

Beliau berkata kertas siasatan (IP) bagi kes tersebut akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Dalam masa yang sama, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan bahawa tindakan tahan kerja, atau gantung kerja, ke atas keempat-empat anggota berkenaan masih dalam proses.

Siasatan dalaman akan selari dengan dengan tangkapan yang dibuat. Empat anggota ini diproses untuk tahan kerja.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

Ketum Di Bawah Akta Racun 1952

Pokok ketum atau nama saintifiknya Mitragyna speciosa, tumbuh secara liar di negeri sebelah utara dan pantai timur. Daunnya yang mengandungi bahan perangsang mitragynine dan diproses menjadi air minuman boleh memberi rasa khayal dan gembira.

Pengambilan air ketum secara berlebihan boleh menyebabkan seseorang tidak sedarkan diri dan menjadi sawan.

Daun ketum dikawal di bawah Akta Racun 1952 yang menjadikan tindakan mengimport, mengeksport, mengilangkan, menjual dan memiliki daun tersebut satu kesalahan.

Menerusi pindaan baharu yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2023, pengedar air ketum boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 dan penjara sehingga lima tahun.

Baca Artikel Berkaitan: Anggota Polis Tampar Orang Awam Dipindah Ke Jabatan Lain Sementara Siasatan Dijalankan

Baca Artikel Berkaitan: Kes Lelaki & Wanita Jatuh Dari Jambatan Pulau Pinang: Pegawai Kanan Polis Disiasat Cubaan Bunuh

Baca Artikel Berkaitan: 2 Anggota Polis Ditahan, Disyaki Samun Warga Tempatan & Rogol Pelajar Uzbekistan


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd