Now Reading
2 Anggota Polis Ditahan, Disyaki Samun Warga Tempatan & Rogol Pelajar Uzbekistan

2 Anggota Polis Ditahan, Disyaki Samun Warga Tempatan & Rogol Pelajar Uzbekistan

Difahamkan, dua anggota polis itu telah membawa kedua-dua mangsa ke lokasi berasingan sebelum berlakunya insiden rogol dan samun.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Dua anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya ditahan selepas terlibat dalam kes samun dan rogol ke atas satu pasangan di Bukit Ampang, Ampang Jaya.

Dalam kejadian pada Selasa (9 Januari) jam 9.45 malam, kedua-dua suspek yang melakukan rondaan memeriksa sebuah kereta jenis Volkswagen Golf yang sedang berhenti dinaiki mangsa.

Mangsa yang merupakan pelajar kolej swasta adalah seorang lelaki tempatan berusia 18 tahun dan seorang wanita warga Uzbekistan berumur 17 tahun.

Kedua-dua suspek yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya itu kemudian dipercayai meminta mangsa untuk membayar RM500.

Mereka sebelum itu memaklumkan bahawa lelaki terbabit akan ditangkap dan dibawa ke Balai Polis sekiranya gagal membayar wang tunai RM2,000 atas satu kesalahan lalu-lintas yang dilakukan.


Mangsa Dibawa Ke Lokasi Berbeza Sebelum Disamun & Rogol

Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, kedua-dua suspek membawa dua mangsa terbabit ke lokasi berbeza sebelum berlakunya kejadian samun dan rogol.

“Salah seorang suspek kemudian dipercayai membawa mangsa ke sebuah bank di Taman Muda, Ampang, dengan menaiki kereta mangsa untuk mengeluarkan wang yang diminta oleh suspek.

“Salah seorang suspek (anggota polis) telah merogol mangsa wanita ketika seorang lagi suspek membawa mangsa lelaki ke sebuah bank,” katanya lapor Berita Harian.


Suspek Direman 7 Hari

Tambah Hussein Omar, suspek ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya kelmarin (10 Januari) jam 6 petang dan kini direman selama tujuh hari.

Mengulas lanjut, dua kes siasatan telah dibuka bagi insiden terbabit, satu di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan satu lagi di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Sekiranya disabit kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan sebat manakala Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Ampang Jaya di talian 03-42897222.

“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat dalam kes salah laku atau jenayah. Siasatan akan dijalankan secara telus,” tegasnya.

Baca Artikel Berkaitan: Pegawai Polis Langgar Murid Bakal Ditahan Kerja Lepas Didakwa Di Mahkamah Hari Ini


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd