Now Reading
Pegawai Polis Langgar Murid Bakal Ditahan Kerja Lepas Didakwa Di Mahkamah Hari Ini

Pegawai Polis Langgar Murid Bakal Ditahan Kerja Lepas Didakwa Di Mahkamah Hari Ini

Menurut Jabatan Peguam Negara, suspek akan didakwa hari ini (18 Disember) di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak atas kesalahan menyebabkan kematian seorang pelajar 17 tahun.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Semalam (17 Disember), Jabatan Peguam Negara telah membuat keputusan bahawa suspek yang melanggar seorang pelajar 17 tahun daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Meru, Ipoh sehingga maut akan didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak hari ini (18 Disember) selepas mempunyai keterangan mencukupi.

Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husin, tindakan mendakwa suspek yang juga merupakan pegawai berpangkat Deputi Superintenden (DSP) di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaaan di Mahkamah Majistret Ipoh akan diputuskan Jabatan Peguam Negara berdasarkan bukti dan keterangan diperoleh hasil siasatan menyeluruh oleh pegawai penyiasat.

“Keputusan ini memperlihatkan ketelusan polis dalam melakukan siasatan terhadap sebarang kes jenayah termasuk melibatkan pegawai kanan polis. Siasatan kes ini dikendalikan oleh Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah Ipoh bersama pasukan siasatan dengan baik dan berkredibiliti.

“Saya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota atau pegawai yang melakukan jenayah. Saya akan pastikan siasatan telus dan adil dijalankan bagi menjaga nama baik pasukan ini,” jelasnya.

Sumber: Jabatan Peguam Negara

Pegawai Kanan Polis Akan Ditahan Kerja

Tambah Razarudin Husin, pegawai terbabit juga akan ditahan kerja sejurus sahaja didakwa di mahkamah hari ini.

Dalam pada itu, beliau berharap agar setiap kakitangan dan anggota polis menjadikan insiden tersebut sebagai satu pengajaran terhadap diri masing-masing.

Mengulas lanjut, Razarudin Husin berkata setiap anggota pasukan keselamatan perlulah sentiasa menjaga nama baik pasukan dan reputasi serta tidak berselindung di sebalik pakaian seragam polis apabila melakukan sebarang jenayah.

Pada Jumaat lalu (15 Disember), mangsa, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie telah dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Ativa milik pegawai kanan polis ketika sedang menunggang motosikal selepas pulang daripada sekolah.

Dia yang masih lengkap berpakaian sukan sekolah kemudiannya terjatuh lalu diseret kereta berkenaan sejauh lebih lima meter. Difahamkan, kejadian berlaku kerana suspek tidak berpuas hati dengan mangsa kerana telah membuat bunyi bising menggunakan ekzos motosikal.

Menerusi video yang tular di media sosial, seorang jururawat yang juga kakak kepada mangsa telah memberikan bantuan pernafasan CPR sebelum ketibaan pasukan perubatan dan ambulans. Namun, Muhammad Zaharif tidak dapat diselamatkan.

Sumber: Media sosial.

Saksi Diminta Tampil Buat Laporan

Razarudin Husin dalam masa sama menyeru saksi kes langgar pelajar tingkatan lima itu untuk tampil membuat laporan.

Beliau berkata, segala bentuk maklumat daripada orang awam mampu membantu siasatan dijalankan pihaknya.

“Setakat ini, kita sudah menerima laporan daripada lapan saksi yang membabitkan pelajar sekolah berkenaan. Kita mengalu-alukan saksi lain untuk tampil sekiranya melihat kejadian dan mempunyai maklumat lain,” katanya.

Beliau juga meminta saksi di tempat kejadian untuk menyerahkan maklumat rakaman kamera papan pemuka (dashcam) dan televisyen litar tertutup (CCTV) sekiranya ia dapat membantu siasatan.

Ulas beliau, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi atau melindungi kes berkenaan meskipun ia membabitkan pegawai kanan polis.

Baca Artikel Berkaitan: Pelajar 17 Tahun Maut Kes Langgar Lari Depan Sekolah Di Ipoh

Baca Artikel Berkaitan: “40 Minit Anak Merintih Macam Ayam Kena Sembelih” – Luahan Bapa Zaharif Buat Ramai Sebak


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd