SPRM Siasat Aliran Wang Tunai Aman Palestin, Kenal Pasti Beberapa Nama Penerima
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki berkata pihaknya sedang menjejaki aliran wang Aman Palestin dan telah diberi beberapa nama penerima.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pada 23 November 2023, 41 akaun Aman Palestin Berhad dan entitinya telah dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan melakukan penyelewengan ke atas dana sejumlah RM70 juta.
Aman Palestin kemudiannya telah memberi SPRM masa tiga hari untuk menyahbekukan akaunnya sebelum mengambil tindakan undang-undang.
SPRM kemudiannya menjalankan siasatan bagi mengenal pasti aset-aset pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut yang dipercayai diperolehi hasil penyelewengan dana diterima daripada orang awam.
Terkini, SPRM dilaporkan memberi fokus untuk menyiasat kesahihan agihan dan wang yang dibelanjakan Aman Palestin kepada penerima, lapor Utusan.
Menurut Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, aliran tunai dan agihan bantuan daripada pertubuhan tersebut menjadi persoalan buat SPRM ketika ini.
“Cubaan Jejaki Aliran Wang Sedikit Sulit” – Azam Baki
Dia berkata, SPRM sedang menyiasat bagaimana wang dibelanjakan termasuk syarikat-syarikat yang ditubuhkan. Siasatan juga akan mengenal pasti jika benar wang tersebut dihantar kepada pihak Palestin dan bagaimana ia dilakukan.
Antara perkara yang perlu disiasat ialah seperti pelaburan melalui jongkong emas, jelas Azam ketika ditemui di Simposium Tatakelola Baik Nasional 2024 hari ini (8 Januari).
Malah, jika terdapat perkara yang tidak benar, pihaknya akan mencadangkan pertuduhan kepada pihak pendakwa raya.
Selain itu, Azam memaklumkan bahawa pihaknya memerlukan lebih masa untuk melakukan siasatan serta pembekuan aset dilakukan atas sebab tersebut.
Dalam masa yang sama, Azam berkata penjejakan aliran wang oleh Aman Palestin adalah sedikit sulit.
“Itu sedikit kesulitan, mereka dakwa sudah hantar, tetapi isunya siapa penerima. Perkara itu kena siasat, sebab itu ambil masa dan ia antara sebab kenapa wang dalam bank (Aman Palestin) kena sita,” kata Azam.
SPRM Terima Beberapa Nama Penerima
Di samping itu, Azam memaklumkan bahawa pihaknya ada menerima nama beberapa orang penerima.
“Mereka juga ada bagi nama beberapa orang (penerima), kita mensyaki siapakah individu berkenaan dan pegawai penyiasat ada banyak perkara yang mencurigakan,” katanya.
Menurut Utusan yang memetik sumber, sembilan daripada 41 akaun dibeku dengan nilai lebih RM15.86 juta, adalah akaun yang didaftarkan di atas nama Aman Palestin.
Dua akaun lagi milik sebuah syarikat lain dan 30 selebihnya adalah akaun melibatkan tujuh orang individu.
Baca Artikel Berkaitan: 41 Akaun Aman Palestin Dibekukan SPRM, Disyaki Seleweng Dana RM70 Juta
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.