Now Reading
Oyen Hilang Dari Hotel Kucing Ditemui Semula Setelah Lebih Sebulan

Oyen Hilang Dari Hotel Kucing Ditemui Semula Setelah Lebih Sebulan

Menurut tuannya, Sharah, Oyen ditemui oleh kenalan pihak hotel setelah satu bulan tiga hari hilang dari jagaan mereka.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Bagi pencinta haiwan, kehilangan kucing peliharaan merupakan suatu pengalaman yang amat menyedihkan. Kalau kucing hilang atau lari dari rumah, selalunya orang cakap sebab dia dah hampiri penghunjung nyawanya dan tak mahu tuannya bersedih dengan pemergiannya.

Kini terdapat banyak hotel haiwan peliharaan yang menawarkan servis menjaga kucing bagi tuannya yang hendak ke tempat lain untuk urusan kerja mahupun melancong. Hotel haiwan peliharaan sememangnya memudahkan pemilik yang tiada pilihan lain selain menghantar kucing ke hotel.

Tapi, mesti korang pernah dengar kisah kucing yang ditinggalkan di hotel haiwan hilang.

Sebelum ini, seorang pengguna laman X (@QueenTelekungSK) telah berkongsi kisah kucingnya, Oyen, yang telah hilang daripada satu hotel haiwan di Kelantan. Kejadian tersebut berlaku lebih sebulan yang lalu iaitu pada 23 November.

Menurutnya, Oyen dihantar ke hotel terbabit kerana dia dan keluarga akan ke Selangor untuk urusan kerja selama 10 hari.


Oyen Terkejut Dengan Bunyi Kereta

Sebelum Oyen melarikan diri, pihak hotel sedang merakam videonya di kaunter hadapan dengan pintu kedai dibiarkan terbuka. Mereka mempercayai Oyen manja dan tidak akan lari.

Namun begitu, Sharah sebenarnya telah memaklumkan kepada mereka sejak awal bahawa Oyen sangat penakut. Kucing tersebut kemudiannya berlari keluar apabila terkejut dengan bunyi kereta dan telah masuk ke kawasan belukar sebelum tidak lagi ditemui.

Sharah tidak berputus asa untuk mencari kucingnya. Pada 2 Disember, dia memuat naik gambar poster ‘Kucing Hilang’ untuk mencari Oyen. Namun tiada sebarang khabar berita tentang Oyen setelah itu.

https://twitter.com/QueenTelekungSK/status/1730832168954503536

Oyen Ditemui Selepas 1 Bulan 3 Hari Hilang

Siapa sangka, Oyen akhirnya ditemui semula selepas satu bulan 3 hari hilang! Menerusi hantarannya, difahamkan bahawa Oyen dijaga oleh seseorang dan ditemui oleh kenalan pihak hotel. Makluman lanjut mengenai penemuan Oyen tidak dikongsi oleh Sharah.

Oyen kelihatan sihat, namun terdapat sedikit luka dan tompok bulu tercabut pada badannya. Ia mungkin disebabkan oleh jangkitan fungus atau kucing menjilat terlalu banyak akibat stress.

Oyen juga dikatakan mempunyai najis berwarna hijau dan cair. Sharah mendapati ia mungkin disebabkan kerana Oyen telah memakan pelbagai jenis makanan yang diberikan kepadanya sepanjang berada di luar rumah.

Sharah dinasihati supaya membawa Oyen ke vet untuk pemeriksaan lanjut.

https://twitter.com/QueenTelekungSK/status/1739649895253119070

Sharah berterima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama membantu mencari dan mendoakan kucingnya. Dia turut meminta maaf kerana secara tidak langsung telah menyebabkan hotel kucing tersebut viral atas sebab kehilangan Oyen.

https://twitter.com/QueenTelekungSK/status/1739632844576903556

Tips Untuk Cari Kucing Hilang

Kalau korang kehilangan kucing, di sini kami kongsikan beberapa tips untuk mencari haiwan kesayangan tersebut.

#1. Cari Segera

    Apabila korang perasan kucing telah hilang, cari dengan segera kerana ia mungkin masih berada di kawasan berdekatan.

    #2. Bawa Makanan Kegemaran

    Makanan kegemaran perlu dibawa ketika mencari kucing supaya dapat memujuknya keluar dari tempat persembunyian. Boleh juga membawa mainan kegemarannya.

    #3. Memanggil Kucing Dengan Lembut

    Walaupun tengah cari kucing hilang, korang jangan jerit sekuat hati kerana mungkin menyebabkannya ketakutan. Cuba panggil kucing dengan suara yang lembut seperti memujuknya.

    #4. Pasang Telinga

    Sentiasa peka dengan keadaan sekeliling ketika proses pencarian untuk mendengar bunyi kucing korang. Diingatkan juga supaya mengambil masa ketika mencari kucing supaya ia dapat mendengar suara dan mencium bau korang.

    #5. Minta Bantuan Orang Ramai

    Maklumkan pada jiran tetangga tentang kehilangan kucing supaya mereka cakna dengan situasi itu. Dengan teknologi masa kini, sosial media juga boleh digunakan untuk menyebarkan berita tersebut kepada orang ramai. Perkara ini akan meluaskan radius pencarian.

    #6. Meletakkan Baju Di Luar Rumah

    Korang juga boleh letak baju yang telah dipakai di luar rumah atau kawasan kucing terakhir kali dilihat. Ini dikatakan dapat menyebarkan bau korang dan menarik perhatian kucing.

    #7. Berkomunikasi Dengan Kucing Lain

    Walaupun kedengaran pelik, namun ini adalah tips yang paling kerap digunakan. Dipercayai dimulakan oleh orang Jepun, korang boleh cuba bercakap dengan kucing lain di kawasan berdekatan untuk meminta mencari kucing yang hilang dan memesannya supaya pulang ke rumah.


    Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

    Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

    © 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd