Jurufoto UK Dakwa Di Petaling Street Ada Kedai Jual Daging Kucing Raih Perhatian Ramai
Perkongsian Ragib Choudhur di akaun Instagram miliknya telah mendapat perhatian ramai, di mana rata-rata pengguna media sosial terkejut dengan dakwaan yang dibuat jurugambar itu.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Baru-baru ini, tular di media sosial pendedahan seorang jurugambar dari United Kingdom (UK) yang mendakwa menemui sebuah gerai di Petaling Street, Kuala Lumpur yang menjual daging kucing.
Pendedahan dan perkongsian gambar oleh jurugambar yang dikenali sebagai Ragib Choudhur itu telah dimuat naik di akaun Instagram miliknya @iragib kelmarin (6 Februari).
Dalam hantarannya itu, jurugambar tersebut menyatakan bahawa dia menyedari terdapat individu yang keluar masuk di sebuah pintu yang kelihatan lusuh, susulan itu dia ingin tahu apa yang sedang berlaku.
Jurugambar ajak sepupu masuk untuk memeriksa kawasan tersebut
Dia menyatakan bahawa lorong itu tidak kelihatan seperti kawasan pelancongan yang popular. Dia mengajak sepupunya yang ada pada ketika itu untuk memeriksa apa yang ada di belakang pintu itu bersama-sama tetapi dia menolaknya.
“Saya mengambil beberapa gambar dengan pantas dan terus bergerak, sehingga saya melihat satu lagi bilik yang menarik perhatian saya. Saya pernah mendengar cerita orang makan kucing, tetapi sangat sukar untuk membayangkannya.
“Di hadapan saya, saya melihat seekor anak kucing dalam sangkar. Pada masa itu, saya hanya berfikir, ‘Oh baguslah’, mungkin haiwan peliharaan seseorang,” katanya dipetik The Sun.
Jurugambar perasan ada gerai daging dengan dua sangkar kucing di atas kaunter
Menurutnya, dia perasan terdapat gerai daging dengan dua sangkar di atas kaunternya, masing-masing menempatkan seekor kucing. Dia juga mendakwa bahawa tukang daging tersebut tidak menjual ayam atau daging lembu.
“Kali ini terdapat label di atas sangkar yang mengatakan, ‘bukan untuk dijual. Ini adalah haiwan kesayangan saya. Bukan untuk dimakan’.
“Kemudian saya melihat seorang wanita berpakaian seperti penjahat Bond (dia kelihatan sangat menarik, sejujurnya) pergi ke kaunter, dan berdiri di hadapan saya, wanita itu adalah tukang pemotong daging kucing.
“Mereka berdua berpaling untuk melihat saya ketika saya cuba menangkap gambar terakhir dengan senyap. ‘Yang saya tahu hanyalah saya perlu tinggalkan tempat itu secepat mungkin’,” katanya lagi.
Jurugambar padam kapsyen dan tukar kepada tarikh 22 Jun 2018
Perkongsian lelaki berkenaan di akaun Instagram miliknya telah mendapat perhatian ramai, di mana rata-rata pengguna media sosial terkejut dengan dakwaan dibuat jurugambar itu.
Bagaimanapun, semakan kami mendapati bahawa kapsyen yang ditulis oleh jurugambar tersebut telahpun dipadam dan ditukar menjadi begitu ringkas yang hanya tertera, “KL, 22 Jun 2018”.
Namun, ade pengguna media sosial yang berjaya menangkap layar (screenshot) kapsyen asal yang ditulis oleh jurugambar terbabit dan menularkannya.
Segelintir netizen mendakwa tidak pernah mengetahui tentang lokasi tersebut meskipun telah lama menetap di Malaysia.
Netizen dakwa itu kenyataan yang tidak benar, gambar daging tersebut adalah daging khinzir
Selain itu, ada juga beberapa pengguna Instagram yang meragui kenyataannya dan berpendapat ia adalah tidak benar dan daging yang ditunjukkan di dalam gambar tersebut adalah daging khinzir atau daging lembu.
Ada juga netizen yang meminta agar pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung dakwaan lelaki itu.
Satu persoalan yang timbul, mengapakah dia bertindak mengubah maklumat dalam kapsyennya yang kini menjadi begitu singkat tanpa sebarang info selepas isu berkenaan menjadi tular dan mendapat perhatian ramai.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar tidak boleh sesuka hati ambil tindakan tanpa bukti
Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menerusi satu komen balas seorang pengguna X menyatakan mereka tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan tanpa kes dan bukti.
Susulan itu, pihaknya meminta agar sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung isu terbabit untuk tampil membuat aduan dengan menggunakan saluran yang betul.
Terima kasih untuk soalan dan ya cik/puan aduan perlu dibuat. Pihak kami tak boleh sewenang-wenangnya take action tanpa kes dan bukti. Jadi untuk itu, kita minta sebarang aduan boleh terus dibuat ke saluran yang tepat supaya proses aduan lebih lancar
— Jabatan Perkhidmatan Veterinar 🇲🇾 (@DVSMalaysia) February 7, 2024
Berikut komen yang diberikan netizen:
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.