Now Reading
Alif Teega Setuju Semua Harta Sepencarian Diserahkan Kepada Aisyah Hijanah

Alif Teega Setuju Semua Harta Sepencarian Diserahkan Kepada Aisyah Hijanah

Aisyah Hijanah turut berkongsikan dokumen perjanjian penyelesaian antaranya dengan Alif Teega.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pasangan influencer Aisyah Hijanah dan Alif Teega telah menjadi perbualan orang ramai sejak beberapa bulan lalu. Ia bermula apabila Aisyah membawa suaminya berubat kerana dipercayai terkena penyakit ain yang mana sikapnya berubah dengan tiba-tiba.

Namun tidak lama kemudiannya, Alif, seorang influencer Islamik, tampil membuat pengakuan telah mempraktikkan poligami.

Baca Artikel Berkaitan: Alif Teega Umum Kahwin Dua, Netizen Pertikai Tindakan Influencer Islamik Ini

Walaupun Alif telah berkahwin dengan isteri keduanya yang merupakan seorang pekerja di butik Hijanah milik pasangan itu, mereka masih kekal bersama.

Terkini, satu hantaran Instagram oleh Aisyah (@aisyahhijanah) menjelaskan tentang status harta sepencarian pasangan terbabit.

Aisyah berkata walaupun wanita secara fitrahnya lebih emosi berbanding lelaki, namun mereka tidak sepatutnya membiarkan amarah mengatasi kebijaksanaan.

Turut memetik nasihat Rasulullah SAW bahawa orang yang kuat adalah yang mampu menahan marahnya, Aisyah mengingatkan para wanita supaya tidak membuat keputusan dalam keadaan marah mahupun sedih.


Aset Harta Sepencarian Menjadi Milik Aisyah 100%

Menurut Aisyah, dia dan suami telah membina aset harta sepencarian bersama-sama sejak mula. Antara harta sepencarian mereka adalah syarikat @hijanahofficial, rumah dan kereta.

Aisyah berkata wanita harus menjamin hak dan segala usaha mereka. Dalam menjamin harta sepencarian, kesemua aset bersama harus dicatat dan satu dokumen perjanjian khas perlu dihasilkan. Katanya lagi, khidmat peguam boleh didapatkan bagi mereka yang mampu.

Aisyah turut berkongsi gambar dokumen perjanjian penyelesaian atau ‘settlement agreement’ yang dipercayai berkaitan dengan proses perundingan harta sepencarian mereka.

Jelas Aisyah, kini segala aset harta sepencarian mereka, termasuk saham syarikat butik Hijanah telah menjadi hak milik wanita itu sepenuhnya.

Aisyah mengingatkan bahawa perkara ini perlu dilakukan oleh isteri yang dipoligami bukan dengan sebab tamak atau gila harta, tetapi sebagai jaminan bagi masa depan diri sendiri dan anak-anak.

Aisyah berharap agar hantaran yang dilakukannya itu dapat membantu para wanita yang dipoligamikan. Dia berpesan supaya wanita yang menghadapi perkara itu tidak terburu-buru mahukan penceraian, sebaliknya menjamin diri sendiri dan anak-anak terlebih dahulu.

“Jangan terburu-buru untuk bercerai. Jaga kesucian hati kita. Sabar dan cuba bertenang dahulu. Beringat dengan apa yang terjadi dan bagaimana untuk menghadapi segala-galanya,” kata Aisyah.

Di samping itu, Aisyah turut memberikan penghargaan buat Alif atas segala kerjasama yang diberikan dan kerana memberikan hak yang sepatutnya kepada isteri.


Harta Sepencarian Boleh Dituntut Ketika Tuntutan Poligami

Untuk makluman, harta sepencarian merujuk kepada harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan dan mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh syarak.

Harta sepencarian bukan sahaja termasuk sumbangan secara langsung seperti sama-sama mengeluarkan wang bagi membeli suatu aset, tetapi juga sumbangan secara tidak langsung.

Sumbangan secara tidak langsung tiada kaitan dengan wang, tetapi membantu dalam pemerolehan suatu aset, seperti idea, nasihat, dan menjaga keluarga.

Harta sepencarian boleh dituntut oleh kedua-dua suami dan isteri atau waris, semasa tuntutan poligami, selepas perceraian atau selepas kematian salah satu pasangan.

Kadar pembahagian harta sepencarian ditentukan oleh mahkamah berdasarkan takat sumbangan, sebarang hutang bagi manfaat bersama dan keperluan anak-anak.

Pembahagian harta sepencarian boleh dibuat dengan beberapa cara seperti dibahagi dua atau secara pengantaraan (sulh) iaitu pengakuan dan penyerahan hak oleh satu pihak kepada pihak satu lagi.

Baca Artikel Berkaitan: Megaklinik Zahran Nafi Sebarkan Laporan Perubatan Aisyah Hijanah Seperti Yang Tular Di Media Sosial


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd