Now Reading
Baki Simpanan 6.3 Juta Ahli KWSP Bawah 55 Tahun Kurang RM10,000

Baki Simpanan 6.3 Juta Ahli KWSP Bawah 55 Tahun Kurang RM10,000

Dengan simpanan yang kurang daripada RM10,000 itu, ahli dijangka akan mempunyai pendapatan persaraan bulanan kurang daripada RM42 sebulan bagi tempoh 20 tahun.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kebiasaannya, tujuan utama kebanyakan individu menyimpan wang adalah bagi tujuan kecemasan. Namun, ia juga merupakan langkah persediaan dalam menghadapi hari tua.

Ini kerana buat segelintir individu, wang simpanan itulah yang akan menampung perbelanjaan kehidupan kelak.

Antara simpanan yang paling biasa didengar untuk hari tua adalah melalui caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

6.3 Juta Ahli Hanya Ada Simpanan Kurang RM10,000

Walau bagaimanapun, isu simpanan KWSP yang tidak mencukupi kini berada pada tahap serius apabila 6.3 juta ahli berumur bawah 55 tahun atau 48% hanya mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 sehingga 30 September yang lalu.

Dengan simpanan yang kurang daripada RM10,000 itu, ahli dijangka akan mempunyai pendapatan persaraan bulanan kurang daripada RM42 sebulan bagi tempoh 20 tahun.  

Jumlah Meningkat Berbanding Pengeluaran Khas Sebelum COVID-19

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), jumlah itu meningkat berbanding hanya 4.7 juta ahli atau 37% yang direkodkan pada April 2020 iaitu sebelum pengenalan pengeluaran khas berkaitan COVID-19.

“Ketika negara menghadapi fenomena penuaan penduduk yang pantas, keadaan itu bakal memberi impak amat besar kepada negara dan rakyat terutama dari segi ekonomi, produktiviti, kesejahteraan sosial, kualiti hidup dan kesihatan.

“Implikasi pengeluaran tambahan daripada Akaun 1 juga telah memberikan kesan jangka panjang iaitu pengurangan jumlah simpanan persaraan yang ketara dalam kalangan ahli KWSP,” kata MOF menerusi kenyataan tersebut.

Ia bagi menjawab soalan Zulkifli Ismail (PN-JASIN) mengenai inisiatif kerajaan dalam menangani masalah wang persaraan rakyat yang tidak mencukupi dan turut dihimpit dengan saiz sektor tidak formal yang besar di Malaysia dan nisbah tanggungan yang lebih tinggi.

Insentif Caruman Padanan KWSP, Tarik Lebih Ramai Ahli Carum Secara Sukarela

Tambah MOF lagi, kerajaan melalui Belanjawan 2024 telah mengumumkan untuk meningkatkan had caruman padanan kerajaan bagi program i-Saraan daripada RM300 kepada RM500 setahun.

Namun, ia tertakluk kepada had maksimum RM5,000 seumur hidup bagi individu yang layak.

Kerajaan juga akan memberikan insentif caruman padanan bagi setiap ringgit yang dicarumkan melalui program i-Suri oleh suri rumah berumur di bawah 55 tahun dan berdaftar dalam pangkalan e-kasih.

Kumpulan ini akan menerima insentif seumur hidup sebanyak RM3,000 setiap individu namun ia tertakluk kepada insentif padanan maksimum RM300 setahun.

“Kedua-dua insentif ini bertujuan untuk menarik lebih ramai ahli mencarum secara sukarela ke dalam program i-Saraan dan i-Suri serta pada masa yang sama membantu meningkatkan caruman ahli menerusi geran padanan yang diberikan tersebut.

“Strategi dan langkah-langkah KWSP untuk meningkatkan semula simpanan yang terjejas KWSP telah memperkenalkan pelbagai inisiatif dalam usaha membantu ahli membina semula simpanan persaraan mereka.

“Bagi ahli yang bekerja dan mempunyai majikan, mereka boleh memilih untuk mencarum melebihi 11% iaitu kadar caruman berkanun syer pekerja pada bila-bila masa,” menurut Kementerian Kewangan.

Tambah MOF lagi, individu boleh mencarum secara sukarela tertakluk kepada had caruman tahunan sebanyak RM100,000 setahun bermula 1 Jun 2023.

Lancar Pelbagai Kempen Saluran Pembayaran Bagi Memudahkan Urusan Ahli

Bagi memudahkan urusan ahli KWSP, pelbagai cara dan saluran pembayaran telah diperkenalkan antaranya melalui kaedah seperti berikut:

  • Aplikasi i-Akaun
  • Perbankan internet
  • Bank Simpanan Nasional (BSN)
  • Kaunter ejen bank
  • Kaunter KWSP

“Promosi dan program galakan termasuk pelancaran kempen “Jom Tambah”, program-program jangkauan (outreach programs), pemerkasaan lebih banyak mobile team KWSP terutamanya di kawasankawasan terpencil giat dilaksanakan bagi mendekati lebih ramai rakyat Malaysia untuk mencarum dalam KWSP.

“KWSP juga menjalin kolaborasi bersama agensi-agensi seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta beberapa penyedia platform gig seperti Grab Malaysia dan GoGet Malaysia bagi mempromosikan dan menyediakan saluran caruman secara terus bagi memudahkan pekerja-pekerja gig ini menyimpan bagi persaraan hari tua,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan: Bajet 2023: Kerajaan Sumbang RM500 Dalam Akaun 1 Buat Ahli KWSP

Baca Artikel Berkaitan: Rafizi Ramli Tampil Bersuara, Perjelas 4 Sebab Kenapa Kerajaan Tak Benar Wang KWSP Dikeluarkan


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd