Now Reading
Gara-Gara Tidak Tahan, Wanita Di Thailand Upah Orang Bunuh Anak Ketagih Dadah

Gara-Gara Tidak Tahan, Wanita Di Thailand Upah Orang Bunuh Anak Ketagih Dadah

Weeraphan yang berusia 31 tahun ditembak mati di rumahnya yang terletak di Chiang Kan pada 9 November kira-kira jam 9 malam.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Dadah merujuk kepada sejenis bahan yang boleh mendatangkan kemudaratan khususnya dari segi fizikal, mental dan emosi pengguna.

Malah, individu sekeliling seperti keluarga dan rakan-rakan turut terkesan jika seseorang itu telah terjebak dengan najis dadah.

Ini kerana kebanyakan penagih dadah sering bertindak di luar kawalan malah ada yang lebih teruk sehingga boleh mengancam nyawa orang lain.

Ibu Upah Penembak Bunuh Anak

Gara-gara tidak tahan dengan sikap anak lelaki yang menjadi hamba dadah, seorang wanita di Thailand mengupah penembak dengan tujuan membunuh anaknya itu.

Segalanya terbongkar apabila wanita yang dikenali sebagai Kaew Photong menyerah diri di Balai Polis Chiang Kan,Thailand dan mengaku mengupah orang bagi membunuh anak lelakinya yang dikenali sebagai Weeraphan Photong.

Weeraphan yang berusia 31 tahun ditembak mati di rumahnya yang juga terletak di Chiang Kan pada 9 November kira-kira jam 9.00 malam.

Kononnya Tahu Melalui Jiran, Tidak Mahu Siasatan Lanjut Diadakan

Pada mulanya, Kaew yang berusia 57 tahun itu mendakwa tidak tahu tentang kematian anaknya. Dia mendakwa hanya menyedari tentang insiden itu daripada jiran.

Wanita itu turut memaklumkan kepada polis bahawa dia tidak mempunyai apa-apa maklumat berhubung kejadian itu kerana rumahnya yang terletak dua kilometer dari tempat kejadian.

Malah, ketika disoal oleh pihak polis, Kaew dilihat kurang berminat dengan siasatan berhubung insiden tersebut serta turut meragui proses siasatan kematian anak lelakinya itu.

Serah Diri Dua Hari Selepas Kejadian

Walau bagaimanapun, wanita berkenaan kemudiannya menyerah diri di balai polis kira-kira jam dua petang pada 11 November dan mengaku merancang pembunuhan anak lelakinya itu.

Dia berbuat demikian selepas tidak tahan dengan ugutan oleh kakaknya yang turut bersubahat dalam rancangan pembunuhan tersebut.

Kakak Kaew yang dikenali sebagai Sarn Phothong telah membantu adiknya mengupah penembak dengan bayaran 25,000 Baht (kira-kira RM3,287) bagi menembak dan membunuh anak saudaranya itu.

Tidak Tahan Dengan Tingkah Laku Anak Sebagai Penagih

Hasil siasatan mendapati Kaew dikatakan tidak lagi boleh menerima perangai anak lelakinya yang ketagih dadah jenis methapethamine atau lebih dikenali sebagai syabu.

Dia mendakwa sering menjadi mangsa keganasan fizikal anaknya terutama apabila Weeraphan berada di bawah pengaruh dadah.

Bekas Isteri Turut Jadi Mangsa

Malah, bekas isteri Weeraphan yang dikenali sebagai Jaruphat Singchum juga mengakui pernah menjadi saksi keganasan bekas suami terhadap ibunya.

Menurut Jaruphat, lelaki berkenaan sering memukul dan menyerang Kaew terutama apabila mangsa meminta duit daripada ibunya.

Malah, Kaew pernah mengalami kecederaan di dagu akibat daripada tindakan anak lelakinya itu.

Jaruphat yang telah berkahwin dengan mangsa kira-kira enam tahun lalu dan mempunyai dua orang anak telah bercerai selepas dia juga turut menjadi mangsa keganasan suaminya.

Baca Artikel Berkaitan: Ibu Sanggup Racun Anak-anak Demi Raih Sumbangan

Baca Artikel Berkaitan: Beri Dadah Kepada Kanak-Kanak 3 Tahun, Ayah Tiri Mangsa Kini Diburu Polis Negeri Sembilan


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd